Friday, January 4, 2019

Pulau Kecil Di Sempadan Negara


Dulu pulau ini hanya digunakan untuk padang ragut ternakan sahaja. Masa berlalu. Disebabkan kedudukannnya berhampiran bandar dan sempadan Amerika Syarikat dan Kanada,  pulau ini dijadikan satu tempat rehat warga kota.
Belle Isle terletak dalam daerah Detroit, salah satu kota yang sangat maju suatu masa dulu dengan kehadiran industri Motor Ford. Namun beberapa tahun yang lalu Detroit telah diisytiharkan bankrup dan banyak tempat tempat menarik dan perniagaan besar di sini telah ditutup. Setelah pengurusan Belle Isle ambil alih oleh syarikat persendirian, barulah tempat ini kelihatan menarik kembali. 

Untuk sampai ke sini amat mudah. Sebuah jambatan didirikan bagi menyambungkan tanah besar dan pulau ini. Jadi kami boleh memandu kereta sahaja untuk sampai ke sini tanpa perlu menaiki bot. 

 Menariknya hampir keseluruhan pulau ini ini adalah satu taman rekreasi.  Sebuah 'conservatory' (rumah kaca), akuarium, taman kolam air pancutan, muzium, pusat alam semulajadi,  pantai antara tempat kunjungan ramai di sini. Oleh itu pelbagai aktiviti keluarga dapat dijalankan di Belle Isle ini. 

Kami hanya sempat singgah  tiga tempat sahaja di sini memandangkan kami datang selepas menunaikan solat Jumaat di Dearborn.  Kebanyakan tempat yang mempunyai bangunan tertutup dibuka sehingga 5 petang sahaja.
'Conservatory' atau rumah kaca ini antara yang tertua di Amerika Syarikat(mula didirikan pada tahun 1904). Ruang didalamnya dibahagikan mengikut jenis tumbuhan. Antaranya tumbuhan tropika, tumbuhan padang pasir dan paku pakis. Tumbuhan di sini disusun menarik dan kebanyakan dilabel untuk pengetahuan pengunjung. Tanpa 'Conservatory' ini mungkin tumbuh-tumbuhan tersebut tak dapat hidup sebab musim dingin di kawasan Detroit biasanya suhunya rendah dan diliputi salji. Bahagian luar dan belakang 'conservatory' dihias indah dengan kolam dan tumbuhan berwarna warni yang boleh kekal hidup  dengan 4 musim. Malangnya kami kekurangan  masa untuk melawat bahagian hadapan 'conservatory' ini sebab ia ditutup beberapa minit selepas kami keluar daripada bahagian rumah kaca ini. 

Singgah sebentar di kolam pancutan air  dalam cuaca panas memang menyejukkan  walaupun sekadar menyaksikan dan mendengar air memancut ke atas dan deruan air mengalir ke bawah. Rupanya ramai juga yang datang ke sini sebentar untuk melihat keindahan kolam ini. Seketika kami terpandang seorang jurufoto  mengambil gambar sepasang pengantin muslim untuk diabadikan hari istimewa mereka. Daripada rupa paras mereka kami mengagak mereka berketurunan Arab. 

Kanada kelihatan sangat dekat, hanya diseberang sungai sahaja. Bangunan-bangunan di bandar Windsor seberang sungai Detroit sangat jelas dari taman ini. Namun untuk sampai ke Kanada memerlukan bayaran visa sebanyak USD 150 setiap seorang. Tak berbaloi sekiranya seseorang hanya pergi ke sana sehari dua sahaja. 

Perkhidmatan bot dan ferry cruise menyusuri sungai ini juga disediakan oleh kedua-dua pihak Kanada dan Amerika Syarikat. Biasanya musim panas inilah musim paling ramai pelancong menaiki bot dan feri ini.  Untuk tahu yang mana satu bot Amerika dan yang mana satu bot Kanada bolehlah  kita  lihat pada bendera yang dipasang di bot tersebut. 

Melihat air sungai Detroit yang mengalir tenang mengingatkan saya tentang ayat terakhir daripada surah al Mulk, satu surah yang dianjurkan kita membacanya setiap malam dan telah saya pelajari di kelas tafsir Harfiyyah:
" Katakanlahn( Muhammad),Adakah kamu tengok (berfikir) jika telah berlaku air kamu menjadi kering, maka siapa yang membawa untuk kamu dengan air (mata air) yang mengalir (daripada perut bumi)?"
Al Mulk 67:30
Nikmat air biasanya dipandang  mudah bagi kita di Malaysia ini. Allah s.w.t. berkuasa menarik nikmat air ini dengan spontan sahaja dan pastinya kita akan resah. Air adalah nikmat yang sangat penting bagi kita dan makhluk hidup di bumi ini. Jangan alpa dengan segala nikmat yang diberikan Allah yang telah dan sedang kita kecapi selama ini.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts