Kali pertama saya mendengar nama tempat ini ialah ketika anak saya diberi tawaran melanjutkan pelajaran di sini. Sebutannya agak istimewa, menggambarkan seorang wanita yang bernama Anne. Ini bukan kali pertama saya ke sini. Bandar ini kemungkinan besar maju disebabkan wujudnya universiti ini, University of Michigan, Ann Abor. Oleh itu bolehlah dikatakan Ann Arbor ini sebuah 'university town'. Sama seperti Bandar Baru Bangi yang maju disebabkan kewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia. Ketika kami sampai di sini pada bulan Julai yang lepas, Stadium Michigan kelihatan lengang. Cuti musim panas masih belum berakhir. Cuaca pula panas membahang. Kunjungan kami ke tempat ini mengimbau kembali detik bersejarah bagi kami sekeluarga bulan Mei,tahun 2012 yang lalu.
'Pagi itu kami bangun awal memandangkan kami terpaksa menaiki kereta dan seterusnya bas untuk ke Stadium Michigan. Majlis ini ialah bahagian pertama bagi keseluruhan majlis graduasi di sini. Anak saya yang kedua, Basyirah bakal menerima segelung ijazah pada hari tersebut.
Suhu ketika itu sangat sejuk terutama sekali apabila angin bertiup kencang. Dalam keadaan menggeletar kesejukan, tiba-tiba kami ternampak cebisan-cebisan putih seperti kelopak bunga kecil berterbangan di udara. "Eh, eh ‘flurries’lah" kata anak sulungku, teruja sambil menadah tangan, cuba mengumpul ‘flurries’. Walau bagaimanapun ‘flurries’ sangat kecil dan ringan. Ia akan cair sebaik sahaja tiba di tangan. Flurries sebenarnya ialah butir-butir salji yang sangat kecil dan ringan yang turun apabila cuaca terlalu sejuk. Oleh kerana terlalu teruja, kami berlima terus ikut menadah tangan sambil seronok memerhatikan flurries yang turun. Cuaca dingin di luar kini tidak terasa dek terlalu teruja. Agak mengejutkan sebab flurries ini turun dalam bulan Mei! Kebiasaannya bulan ini ialah bulan perantaraaan musim bunga dan musim panas di hemisfera utara dan bukannya musim dingin. Bas yang kami naiki sudah sarat dengan para siswa dan keluarga. Bak kata orang Melayu, macam dalam tin sardin! Ruang yang ada hanya muat untuk berdiri sahaja. Namun kami bersyukur ia dapat membawa kami ke tempat yang lebih dekat dengan majlis graduasi ini. Sebahagan daripada dedaundi pohon tepi jalan mula tampak titik-titik putih kecil tersekat di permukaannya. Bagi aku, suami dan anak bongsuku itulah kali pertama kami menyaksikan keindahan suasana ketika ‘flurries’ turun. Sebelum ini kami pernah mengalami salji turun dengan lebatnya di Lake Tahoe, California sewaktu kami datang ke Amerika Syarikat pada akhir tahun 2005.'Kadangkala,disebalik kesulitan menghadapi satu-satu cabaran hidup, Allah selitkan setitis kegembiraan agar kita dapat terus mengharung dugaan yang merintang. Bagi kami, misalnya bukannya mudah untuk sampai ke tempat majlis graduasi anak, namun dengan sedikit kehadiran flurries ini yang Allah turunkan cukup mengembirakan kami sekelurga buat seketika. Alhamdulillah. Bagi mereka yang sedang menghadapi dugaan hidup, sematkan dalam diri ayat ini agar sentiasa memotivasikan diri. Ini janji Allah kepada kita sekiranya kita yakin denganNya. Firman Allah yang bermaksud: " Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." Al Insyirah 94:5-6
Bersambung. Insha Allah.
No comments:
Post a Comment