Chicagoland seolah-olah nama satu taman tema. Sebenarnya Chicagoland ialah nama tidak rasmi bagi Chicago Metropolitan Area. Kawasan ini meliputi bandaraya Chicago dan pinggir bandar tersebut termasuklah sebahagian daerah Illinois, Indiana dan Wisconsin. Ini bermakna Chicagoland meliputi sebahagian daerah dalam tiga negeri di Amerika Syarikat.
Chicago antara kawasan yang ramai orang Islam di Amerika Syarikat. Bilangan umat Islam di sekitar Chicago menurut 'The Council on American Islamic Relations (CAIR) ialah diantara 300 000 hingga 500 000 orang. Dengan bilangan orang Islam sebegini ramai sudah semestinya bilangan masjid juga banyak. Berdasarkan laman web Salatomatic.com terdapat lebih daripada 100 buah masjid di kawasan Chicagoland. Banyak!
Lebih selesa rasanya saya memulakan cerita tentang pengembaraan saya ini dengan persinggahan di rumah Allah. Dalam pemusafiran terutama di tempat yang jauh dari negara asal, lebih tenang hati ini sekiranya rumah Allah dijadikan tempat utama persinggahan. Memohon agar dipermudahkan Allah dan dijauhkan segala bencana semasa perjalanan.
Benar seperti apa yang dibincangkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya, Tenang Ada Di Sini.
'Solat itu hakikatnya zikir. Bahkan ia sebesar-besar zikir. Solat akan memberi ketenangan pada jiwa kerana dalam solat orang beriman akan mengingati, mengadu, memohon, menyerah seluruh dirinya kepada Allah. Apabila hati manusia telah berjaya berhubung dengan Allah Yang Maha Perkasa, Maha Kaya, Maha Pengasih dan Penyayang, maka ketika itulah hati akan menjadi tenang.
Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
Surah al Ra'd 13: 28
Solat jika benar benar difahami, dihayati dan dirasai, maka ia akan memberi kerehatan pada fizikal, mental, emosi dan jiwa. Ia suatu kerehatan buat jiwa. Bayangkan dalam solat, orang beriman akan dapat merayu, mengadu, merintih dan mengharap kepada Tuhan yang Maha Kuasa, Maha Penyayang dan Maha Mendengar. '
Masjid yang pertama kami singgah ini terletak di satu kawasan perumahan pinggir bandar Chicago. Dari jauh kompleks Muslim Education Center ini tampak gah, luas dan moden.Kawasan parkir yang agak luas memudahkan kami meletakkan kenderaan kami.
Selain daripada Masjid, kompleks MEC ini menempatkan sebuah pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah Menengah Islam di bawah satu bumbung. Kompleks MEC ini dibawah kelolaan Muslim Community Center. Berdasarkan laman web MEC, sekolah ini mengikuti kurikulum standard yang sama dengan sekolah biasa di Illinois dan ditambah dengan mata pelajaran Islam, Al Quran dan bahasa Arab. Bilangan pelajar di sini mengikut perangkaan 2017 sudah hampir menjangkau 700 orang.
Jumlah ini belum termasuk pelajar daripada sekolah biasa yang menghadiri kelas agama tambahan untuk kelas hari Sabtu dan hari Ahad. Ramai! Belum juga ditambah dengan aktiviti masjid untuk para muslimin dan muslimat. Alhamdulillah, kompleks ini seperti aktif hampir setiap hari!
Bersambung.
Rujukan:
1. https://mccchicago.org/mcc-past-and-present/
2. https://chicago.suntimes.com/politics/growing-muslim-population-means-more-services-to-keep-up/
No comments:
Post a Comment