Bangunan ini sangat mudah dicari sebab lokasinya di tepi jalan dan tidak jauh dari kawasan universiti. Islamic Center of Greater Lansing ini merupakan Islamic Center yang ke dua kami kunjungi selepas Muslim Education Center di Chicago.
Walaupun hanya bangunan setingkat, Islamic Center ini mempunyai peranan yang sangat besar dalam pembangunan Islam di sini. Asalnya orang Islam di sini hanya menumpang sebuah bilik di kawasan universiti untuk solat fardhu dan solat Jumaat.
Hasil sumbangan orang ramai dan daripada negara-negara Islam, terbangunlah sebuah bangunan yang memuatkan sebuah masjid dan sebuah sekolah Islam sepenuh masa di sini. Pahit maung dugaan ditempuhi oleh penduduk Islam di sini dengan menyaksikan pembinaannya pernah tergendala beberapa kali terutama sekali selepas kejadian 11 September 2001. Alhamdulillah tahun 2005 bangunan ini siap sepenuhnya lengkap dengan tempat parkir kenderaan untuk kemudahan sekolah dan masjid. Islamic Center ini memainkan peranan penting dalam kemaslahatan umat Islam di sini. Daripada urusan aqad nikah, cerai, pengkebumian hinggalah zakat dan sedekah semuanya boleh dibantu oleh pengurusan masjid ini. Bahkan masjid ini juga memiliki tanah perkuburan orang Islam sendiri.
Bangunan sekolah yang terletak bersebelahan masjid menempatkan sekolah sepenuh masa, sekolah tambahan(Sunday School) untuk kanak-kanak dari umur 5 tahun hingga 13 tahun(Pre K hingga Middle School). Juga Dar Al Quran yang dikhususkan untuk golongan dewasa untuk mempelajari Al Quran dan mendalami agama Islam. Subhanallah,besar sungguh peranan Islamic Center ini. Walaupun dari luar mungkin ia tidak kelihatan gah seperti masjid besar yang bertingkat-tingkat, ia di imarahkan dengan begitu banyak aktiviti oleh komuniti Islam di sini. Tahukah anda lebih kurang berapa bilangan umat Islam yang menunaikan setiap kali solat Jumaat di sini? 1500 orang. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment