Friday, December 6, 2013

Tisu sebagai alat istinjak



Tandas- tandas di luar negara 
kebiasaannya menyediakan tisu. 

Tisu ini boleh digunakan 
untuk beristinjak, dengan syarat:

A. Kertas itu kering

B. tidak kurang daripada 
     tiga kali sapuan
C. Setiap sapuan menggunakan 
    kertas yang baru

Ust Umar M Noor
Al Ustaz isu 20

Wednesday, November 27, 2013

Makanan 'Kosher'- Kenapa Ia Halal Dimakan.

Tanda circle U di label
menandakan ia makanan
kosher
Pernahkah anda dengar tentang makanan 'kosher"? Berikut ialah sedikit penerangan tentang makanan tersebut.


Allah berfirman:

 " ..dan makanan ahli kitab dihalalkan bagimu."
     Surah al Maidah: 5


Menurut ahli tafsir, makanan dalam ayat ini maksudnya ialah haiwan sembelihan mereka. Justeru halal  bagi kita memakan haiwan sembelihan ahli kitab terutamanya Yahudi yang sangat ketat menjaga makanan mereka. 
Orang Yahudi memililki istilah khusus yang berfungsi seperti label halal dalam agama kita. Istilah itu dinamakan kosher. Setahu saya, tiada makanan haram yang mereka halalkan melainkan arak sahaja. 


Kesimpulannya, saudara boleh memakan masakan Yahudi melainkan jika saudara mengetahui mereka  memasukkan bahan berunsur arak ke dalam makanan tersebut. Semua ini tentu saja dibolehkan selagi mana ia tidak mengandungi aktiviti haram di sisi Islam.

Imam Ahmad berkata: 
Perkara yang dilarang hanyalah memasuki kuil dan gereja mereka. Adapun membeli makanannya, maka tidak haram."


Demikian diriwayatkan oeh Ibn Muflih dalam al Adab al Syar'iyyah.

Ust Umar M. Noor- al Ustaz isu 20


Tanda  kosher yang disahkan
oleh The Union of Orthodox
Congregations, New York


Tanda kosher yang
disahkan oleh Chabad
of Fresno, California


Antara produk kosher
yang bertanda circle U


Salah satu produk kosher
yang bertanda circle U










Thursday, November 21, 2013

Soalan Seorang Atheis Kepada Seorang Muslim Bahagian 1

Salah satu soalan orang Atheis kepada seorang Muslim 
Soalan: Bila Tuhan mula- mula muncul?



Jawapan: Kita keliru dengan waktu kemunculan tuhan kerana adanya masa. 
                Masa adalah ciptaan tuhan. 
                Apabila masa itu ada menyebabkan 
                kita berfikir waktu lampau yang sebelum dan sebelum.  
                Andaikata masa itu tiada, 
                sudah tentu tidak akan timbul persoalan sejak bila tuhan                  muncul. 

         Tuhan itu ada sebelum  masa dicipta.
                 Bahkan tuhan yang menciptakan masa

Banyak perkara di dunia ini yang tidak ada permulaannya. 

Nombor  ialah  satu contoh.  
Sebelum dua, satu. 
Sebelum satu, kosong. 
Sebelum kosong, nombor negatif 
tapi ia tidak di anggap nombor lagi  
                                                               kerana ia hanya nombor hutang.

Dari Tuhan Lebih Saintifik- Dr Farhan Hadi

Monday, November 4, 2013

Keputusan Membuat Pembedahan Tulang Belakang

Dec 2010 aku membuat keputusan untuk menjalani pembedahan setelah rawatan alternatif yang lain tidak menampakkan 'improvement'. Dr Ali, pakar tulang belakang menerangkan  segala langkah yang perlu dilakukan sebaik sahaja aku menyatakan persetujuanku untuk menjalani pembedahan pada bulan itu juga. Aku perlu mendapat pelepasan daripada pakar thyroid dan pakar asthma yang aku merawat aku sebelum pembedahan itu dijalankan.

Oleh kerana tahap  thyroid aku sudah kembali normal, aku mendapat perlepasan dengan mudahnya daripada pakar thyroid. Walaubagaiamanapun ketika aku membuat keputusan untuk pembedahan tersebut, aku masih batuk. Bagi seorang pesakit asthma, batuk boleh membawa kepada asthma jika tidak dikawal.  Pesakit asthma juga adalah dianggap 'high risk patient' bagi pembedahan. Oleh itu, pelbagai 'ujian' yang perlu dibuat sebelum doktor memberi aku pelepasan pembedahan tersebut.

Akhirnya setelah memeriksa segala ujian yang berikan, doktor tersebut memberi pelepasan walaupun ketika itu aku masih belum baik sepenuhnya dari batuk. Sebagai pesakit asthma memang payah bagiku bebas daripada batuk  dalam masa yang singkat.. Sekali terkena  batuk dan asthma ia mengambil masa lebih  tiga bulan untuk sihat kembali.  Sekiranya terkena asthma yang teruk, badan menjadi lemah dan komunikasi amat terbatas.

Sehari sebelum pembedahan, aku 'check in' ke wad. Sebaik saja aku berehat di katil, maka pelbagai ujian di lakukan sebelum pembedahan. Aku terpaksa menjalani x ray untuk memastikan kedudukan terkini tulang aku dan  ecg untuk menentukan jantung ku 'ok'. Untuk melegakan batuk, doktor telah mengarahkan aku menjalani ventolin inhalation berkali kali. Ubat batuk dan pelbagai ubat terpaksa aku ambil supaya aku lebih selesa semasa pembedahan. Ini tidak termasuk tekanan darah yang sentiasa diambil oleh jururawat di sana. 

Untuk menenangkan kegerunanku menghadapi pembedahan, aku mengambil ar zam- zam yang aku beli sebelum aku masuk wad.Aku juga percaya dengan kuasa Allah, air zam zam juga boleh melegakan  batuk.   Solat fardhu dan hajat juga mententeramkanku..Aku hanya sempat tidur beberapa jam saja sebelum ke bilik pembedahan.

Aku bersyukur suamiku sentiasa di sampingku untuk  mententeramkan aku. Walaubagaimanapun  segala kemungkinan bermain difikiran ku. Aku hanya mampu berdoa di saat aku di bawa ke bilik pembedahan "Ya Allah, ampunkanlah  aku.. Amalanku yang amat sedikit ini mampukah menampungku ke syurga. Ya Allah, hanya dengan rahmatmu akan ku ke syurga. Hanya kepadamu aku berserah."

Bersambung

Thursday, October 31, 2013

Cara Minum Yang Dianjurkan Rasulullah

Cara minum yang di anjurkan Rasulullah

Tutuplah tempat minum selalu. Jangan biarkannya terdedah lama.

Tutuplah tempat minum dan jangan biarkannya terdedah lama

Monday, October 28, 2013

Sakit Hanya Satu Cubaan Dari Allah- Pengalamanku sendiri - Bahagian 1

Jarang orang akan berbicara pengalaman pahit yang dilaluinya kerana dengan mengimbau kembali kisah- kisah itu ia akan menyebabkannya sedih atau trauma. Sungguhpun begitu, pengalaman yang dilalui jika diceritakan kadangkala boleh membantu orang lain yang mengalami pengalaman yang sama. 

Pengalaman aku sewaktu mula- mula  mengalami sakit tulang belakang sememangnya mengejutkan. Pada suatu waktu awal subuh, ketika aku bangun dari tidur aku terasa kakiku berat dan sangat sakit ketika hendak melangkah menuruni katil. Sakitnya bukan kepalang seperti tersilap urat. Namun aku berusaha juga untuk solat subuh tanpa diketahui sesiapapun. 


Awal pagi barulah aku memberitahu suamiku berkenaan kesakitanku. Pada mulanya aku menyangka ia berkaitan tentang penyakit hyperthyroid yang sedang aku alami. Lalu aku terus membuat temujanji dengan pakar thyroid yang biasa aku kunjungi. 

Namun setelah aku bertemu dengan doktor tersebut, aku dan suamiku telah diberitahu bahawa kesakitan yang aku alami itu sebenarnya berkaitan dengan tulang. Lantas dia terus menghubungi pakar tulang belakang yang juga mempunyai klinik di sana. 

Maka daripada saat itu  bermulalah pelbagai 'medical test' yang terpaksa kulalui x-ray, ujan darah yang pelbagai termasuklah melakukan ct scan yang pada mulanya agak menakutkan namun setelah beberapa kali aku menjadi tenang semasa berada di dalamnya. 


Selesai ct scan doktor telah mengesahkan salah satu tulang belakangku telah terkeluar dari kedudukannya dan hanya pembedahan yang dapat membetulkannya, InsyaAllah.  Jika terlambat, pelbagai kemungkinan akan terjadi termasuk lumpuh.

Perasaanku ketika mendengarnya Allah saja yang tahu, terkejut,sedih dan pelbagai kemungkinan buruk bermain di fikiranku.Bagaimana tulang belakangku boleh jadi sedemikian. Aku bukan ahli sukan. Aku tak pernah jatuh dari tempat yang tinggi. Tak pernah pula aku alami sakit yang amat sangat walaupun pernah tergelincir di lantai licin beberapa kali.  

Namun kenyataan itu akhirnya terpaksa ku terima dengan redha walaupun pahit. Hanya Allah yang mengetahui hikmah disebalik cubaan ini. 
Daripada Abu Hurairah r.a. 
bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Perumpamaan orang Mukmin adalah tanaman
 yang selalu digoncang angin,
( begitu juga) orang Mukmin selalu diduga 
dengan pelbagai dugaan dan cubaan."


(Riwayat Tarmizi)

Bersambung.

Friday, October 25, 2013

Hershey- Bukan Coklat tapi Sebuah Bandar

Di hadapan Chocolate World
Pernah dengar tentang cokat Hersheys.? Dulu coklat Hersheys tidak sepopular coklat Cadbury. Akhir- akhir ini coklat Hersheys semakin terkenal, terutama sekali Hersheys Kisses. Kali pertama aku kenali coklat Hersheys ialah semasa belajar di California dahulu. Namun aku bukanlah seorang penggemar coklat! 

Tak ramai yang tahu tentang kewujudan bandar Hershey di Amerika Syarikat walaupun kini ramai di Malaysia yang mengunyah coklat Hershey. Malah ramai yang pernah atau sedang menuntut di Amerika Syarikat pun  tidak tahu pun adanya bandar Hershey. 

Apa agaknya yang sedang kami lakukan di sini?

Aku sendiri sewaktu mengembara di Amerika Syarikat tidak pernah mendengar tentang bandar ini. Dengan takdir Allah, sewaktu  aku sedang melayari internet untuk merancang perjalanan kami di sana aku menemui satu tempat yang kelihatan menarik. Daripada situlah aku mendapat tahu tentang bandar Hershey ini. Biasanya perancangan tentang pengembaraan ini kami lakukan beberapa bulan sebelum kami bertolak. Maklumlah jika tersilap perancangan bermakna bertambahlah perbelanjaan kami. Bukan untuk seorang tapi untuk 6 orang!

Bandar Hershey ini terletak di Pennsylvania, salah sebuah negeri di Amerika Syarikat. Bandar yang mempunyai jolokan nama 'The Sweetest Place on Earth' ini di asaskan oleh Milton Hershey, pemilik syarikat Hershey sendiri. Satu yang menarik tentang bandar Hershey ini ialah ianya satu bandar yang biasa tapi replika coklat kelihatan di merata- rata tempat. Malah lampu jalannya banyak yang berbentuk Hershey kisses!
Di hadapan The Hershey Story Museum

Bandar Hersheys bukannya keseluruhannya taman tema.Terdapat beberapa buah museum, sekolah, taman bunga, perpustakaan, balai polis, balai bomba, hospital dan beberapa buah hotel di bandar ini . Sudah tentu kilang coklat Hershey juga terdapat di sini! Satu kelebihan bandar ini ialah ia mempunyai Hershey Park iaitu taman tema Hershey ,Chocolate World dan sebuah muzium yang dipanggil The Hershey Story. 

Ikuti pengembaraan kami seterusnya.
Ingin mengikuti pengembaraanku bersama keluarga di Amerika Syarikat?Klik di sini

Keunikan dan Khasiat Surah Al Kahfi

Dalam surah al Kahfi terdapat empat kisah unik yang tidak berulang 
dalam surah- surah lain

Gua tempurung- Gambar sekadar hiasan
1. Pemuda Kahfi.
2. Perguruan Nabi Musa dengan Khidir
3. Zulkarnain
4. Dua pemilik kebun

Khasiat Surah Al Kahfi
" Sesiapa yang membaca 
surah al Kahfi 
pada hari Jumaat 
maka ia akan mendapat 
pancaran cahaya antara 
dua Jumaat yang dilaluinya."

Riwayat al Hakim

Solusi isu 59

Tuesday, October 22, 2013

Aidil Adha - Perlunya Balik Kampung

 Melihat raut wajah ibuku dan bapa saudaraku yang sudah berusia sewaktu meraikan Aidil Adha baru- baru ini memberiku pelbagai kesedaran. Dalam usia sebegini sudah tentu mereka berasa sunyi dek kesibukan anak -anak yang berada jauh dari mereka. Kekangan kerja dan keluarga menyebabkan anak- anak susah hendak balik berjumpa mereka selalu.  Meskipun ibuku tidak pernah menyuarakan isi hatinya tapi satu frasa ' tak ada mood' yang dikeluarkan oleh pakcikku sudah cukup memberi kami 'clue'  bahawa golongan usia sebegini  sedang mengalami  kesunyian yang mendalam. 

Aidil Adha merupakan antara dua hari perayaan yang terpenting bagi umat Islam. Kita tak menafikan Aidilfitri disambut begitu meriah di negara kita. Tapi usah kita lupa, Aidil Adha juga perayaan yang penting bagi kita. Bagi si ibu atau si bapa yang anak-anaknya sudah meningkat dewasa dan berkeluarga, dua perayaan inilah  peluang bagi mereka berkumpul sebagai satu keluarga secara  beramai- ramai. Hari perayaan ini jugalah digunakan untuk ziarah- menziarahi di kalangan sanak saudara. 

Namun senario ini semakin berubah. Duduk berkumpul sebagai satu keluarga bukannya perkara utama semasa perayaan. Apa lagi aktiviti masak memasak atau mengemas rumah di kampung dianggap perkara yang membebankan.  Ziarah menziarahi sanak saudara di anggap satu perkara yang melecehkan. Lebih baik buka computer, I pad atau smart phone untuk melayari internet atau berchatting sesama kawan.

Rasulullah saw bersabda:  Sesiapa yang menziarahi saudaranyanya yang sakit atau mengunjungi saudaranya semata mata kerana Allah, maka malaikat akan membuat seruan bahawa kamu bertuah dan angkah langkah kamu membawa keberkatan dan kamu telah menyediakan sebuah mahligai dalam syurga." Riwayat al Tarmizi

Itu dari segi menzarahi sahabat atau saudara mara. Apatah lagi menziarahi ibu dan bapa, sudah tentu pahalanya berganda. 
Mungkin kita punya pelbagai alasan untuk tidak dapat balik kampung. Tapi eloklah kita pertimbang yang mana lebih diberatkan. Sekiranya kita punya anak- anak yang bersekoah, bagi saya tidak ada salahnya anak kita ponteng sehari dua jika mereka tidak terlibat dengan peeriksaan yang utama. Ini pandanganku sebagai seorang bekas guru. 

Jika kita tidak mempunyai tugas yang penting sehari dua selepas hari raya, eloklah diambil cuti. Hari Raya Aidil Adha merupakan perayaan hasil daripada pengorbanan kita, Oleh itu anak- anak berkorbanlah demi ibu bapa anda yang sentasa menunggu kepulangan anda di kampung. InsyaAllah pengorbanan anda akan diberi pahala berganda kerana anda berkorban tenaga dan wang  demi ibubapa tercinta. Jangan biarkan ibubapa tertunggu - tunggu kepulangan anda dan jangan biarkan mereka kecewa terutama di hari perayaan.

Wednesday, October 9, 2013

Jadilah Ejen Perubahan yang Sering Mengucapkan Terima Kasih.

Ucapkan terima kasih apabila seseorang melakukan kebaikan dan pengorbanan.
Ia akan menggalakkan orang lain untuk lebih bertimbang rasa 
Terdapat ramai orang yang kurang ajar dan tidak bertimbang rasa di dunia, tetapi kita boleh menjadi ejen perubahan yang sering mengucapkan terima kasih atas segala kebaikan walaupun kecil.

Nabi saw bersabda:
" Sesiapa menerima kebaikan daripada orang lain, maka balaslah perbuatannya itu dengan ucapan : 'Jazakallah khairan.' Ucapan itu cukup untuk menyatakan kesyukuran." 
Riwayat al Tarmizi

Sesetengah orang begitu sibuk memikirkan tentang orang yang tidak suka kepadanya tetapi mereka lupa untuk  menghargai dan meluangkan masa untuk orang yang menyayanginya. Kita patut menerima kekurangan orang lain kerana kita harus sedar bahawa kita sendiripun banyak kekurangan. 

Penghargaan akan membakar semangat untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik. Jika semua orang dapat menerima galakan yang mereka perlukan, pasti dunia kita dikelilingi oleh orang yang positif, bijak bermotivasi dan seumpamanya.

Ingat, orang yang paling bahagia bukanlah golongan yang mempunyai hidup yang sempurna segala- galanya, mereka ialah orang yang berterima kasih untuk segala- galanya yang mereka miliki. Jika kita tidak suka menghargai orang lain, diri kita juga tidak akan dihargai.

 Hj Zainuddin Ali- Solusi Isu 59

Monday, October 7, 2013

Dubuque- Satu Bandar Tiga Negeri


Dubuque? Pelik bunyinya.Tidak ramai yang tahu tentang bandar  ini, Lebih- lebih  lagi orang Malaysia.  Yang pernah atau biasa mereka  dengar ialah  Albuqurque, laksamana Portugis yang pernah cuba menghancurkan kesultanan Melayu Melaka dahulu. 

Bandar ini tidaklah sebesar Chicago, New York ataupun Los Angeles tapi yang menarik ialah ianya satu bandar  di tiga buah negeri. Dubuque sebenarnya sebuah bandar yang terletak di sempadan tiga negeri iaitu Iowa, Wisconsin dan Illinois.Jadi kita boleh berada di 3 buah negeri dalam masa beberapa minit saja.

Menarik juga ialah  sempadan Wisconsin dan Iowa di bandar ini  dipisahkan oleh sungai Misissippi, sungai keempat terpanjang di dunia dan juga kesepuluh terbesar di dunia. Ia  mengalir dari Kanada hinggalah ke Teluk Mexico. Sungai ini mengalir melalui 10 buah negeri !Negeri negeri tersebut ialah  Wisconsin, Iowa, Minnesota, Illinois, Missouri, Kentucky. Tennessee, Arkansas, Mississippi dan Louisiana. Cuba bayangkan jika kita menyusuri sungai ini sampai ke selatan  sudah tentu kita boleh sampai ke 10 buah negeri tersebut. Namun rasanya keselamatan lebih terjamin dan perjlanan tentu lebih cepat dan selesa  sekiranya kita menggunakan lebuhraya sahaja.

Sebenarnya hajat kami ialah hendak melihat panorama  tri state ini  dari sebuah puncak bukit. Namun, disebabkan  keletihan akibat selalu  dalam pengembaraan, aku tak berkesempatan untuk mencari tempat tersebut. Akibatnya kami tersesat ke sebuah taman 'Eagle Point Park' di Iowa. Taman ini terletak di atas sebuah bukit yang  menghadap  Sungai Mississippi.

Taman ini agak besar dan dibahagikan keada beberapa bahagian. Kami memilih untuk makan tengahari disini setelah difikirkan tempat ini sangat sesuai untuk berkelah. Tempat yang kami pilih ini menghadap ke sebuah empangan yang dibina merentasi Sungai Mississippi. Panorama di sini antara yang terindah bagi melihat sungai yang luas ini. Alhamdulillah.  

Demikanlah Allah jadikan sungai sebagai sumber air dan juga sumber tenaga bagi orang- orang yang berfikir. 
" Dan Dialah yang melebarkan bumi dan dijadikan di atasnya gunung- ganang dan sungai- sungai."
Ar Ra'd:3

Friday, October 4, 2013

Pesona Bumi Syam- Kenapa Kita Perlu peka Dengan Pergolakan di Syria

www.popularresistance.org 
Usah kita memandang dengan sebelah mata pergolakan yang sedang berlaku di Syria. Kerana di sanalah bumi Syam yang Allah muliakan. Banyak hadis yang menggambarkan keistimewaan bumi Syam.

Rasulullah saw bersabda: Beruntunglah Syam."
Kami bertanya :" Mengapa wahai Rasulullah?"
" Kerana malaikat rahmat mengembangkan sayap di atasnya."
( Riwayat al Tarmizi dan Ahmad)

Sabda Nabi lagi :
" Akan sentiasa ada satu kumpulan daripada umatku yang tegar melawan musuh- musuhnya. Tatkala Allah sesatkan hati- hati  banyak kumpulan, maka kumpulan tersebut tersebut memerangi mereka semua. Ketahuilah pusat negara orang beriman ialah Syam."
(Riwayat Ahmad)

Sabda Nabi lagi: " Aku bermmpi melihat tiang kitab ( Islam)  ditarik dari bawah bantalku. Aku mengikutinya dengan pandanganku. Jelas sekali ia cahaya sangat terang sehingga aku pasti bahawa cahaya itu membawa pandangan ku ke Syam. Dan aku mentafsirkan ( mimpiku), tatkala fitnah- fitnah berlaku kelak, iman akan berada di Syam."
( Riwayat al Hakim)

Sumber: Solusi isu  59

Friday, September 27, 2013

Jangan tersalah niat dalam hidup

Madrasah di Pulau Mabul. Sabah
Orang yang tersalah niat dalam mencari harta akan hidup bagai hamba sahaya. Ia melihat wang  dan kekayaan sebagai tujuan utama sehingga dibayangi kefakiran dan takut miskin.

Orang yang tersalah niat dalam belajar menghabiskan hidupnya untuk perkara yang sia- sia. Ia membuang energi untuk mengejar ijazah , bukan untuk menimba ilmu. Kaum muslimin khasnya, dan masyarakat dunia amnya, memuliakan seseorang kerana sumbangan yang diberikan, bukan kerana ijazah yang dipegang.

Orang yang tersalah niat dalam berdakwah akan hidup dalm kebencian. Hakikat dakwah adalah simpati yang lahir dalam hati seseorang lalu mendorongnya untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kebinasaan. Jika dakwah berakhir dengan kebenaran, mesti ada yang salah dalam motif dan niat awal dakwah tersebut.

Dan yang paling rosak adalah orang yang tersalah niat bahkan tidak mempunyai niat dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini. Orang seperti ini tidak sedar arah dan tujuan hidup.

Manusia seperti ini sangat pandai dalam urusan dunia namun sangat jahil tentang urusan akhirat. 
" Mereka mengetahui yang lahir daripada kehidupan dunia; sedang tentang akhirat mereka sangat lalai." 
Surah al Rum 30:7

Ayat ini sebenarnya berbicara tentang sifat orang kafir, namun sayangnya ayat ni juga untuk sebahagian profesional Muslim pada masa ini. Mereka sangat pakar dalam politik, sains, muzik, ekonmi dan pelbagai  ilmu sekular yang lainnya, namun tidak mengetahui apa apa yang berkaitan hukum halal  haram dalam keluarga, fardhu ain, muamalat dan ibadahnya.

Imam Hassan al Basri menggambarkan keadaan ini seperti berikut:
" Kerana kepandaiannya, salah seorang daripada mereka mampu mengetahui kadar emas hanya dengan mengetuk dengan jari. Namun, ia tidak boleh melakukan solat dengan benar."( disebut oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya.)
sumber: Umar M Noor- solusi isu 27

Wednesday, September 18, 2013

Parthenon, Nashville - Bangunan Tarikan Pelancong dan Penuh Bersejarah

Parthenon, Nashville.
Bandingkan saiz kami dengan  saiz replika Parthenon ini. 
Sebelum aku merancang untuk ke Nashville buat kali ketiga ini aku tidak pernah mendengar nama Parthenon. Hanya selepas aku melayari internet, barulah aku tahu kewujudan replika Parthenon di Nashville.

Apakah sebenarnya Parthenon? Parthenon ini ialah sebuah  kuil di Acropolis, Greece yang dibina oleh orang Athens.  Ia dibuat untuk didedikasikan kepada dewa Athena, kepercayaan orang Greece dahulu. Pada asalnya ia adalah sebuah kuil dan perbendaharaan negara.  

Selepas merehatkan diri beberapa jam di sebuah motel di Nashville, kami melawat Centennial Park, sebuah taman yang tidak  jauh daripada Vanderbilt University, tempat anakku pernah belajar dahulu. Taman in hanyalah sebuah taman awam. Tapi yang menjadikannya istimewa ialah terdapatnya sebuah replika Parthenon bersaiz sama dengan Parthenon yang asal  di sini. 

Dari jauh, bangunan ini kelihatan kecil sahaja dan seperti bangunan biasa. Namun apabila mendekatinya, barulah  kami nampak keunikkannya. Tiang tiangnya yang tinggi  berbentuk roman dan ukiran yang terdapat pada bangunan ini menyebabkan kami berasa seolah- olah kami  berada di zaman dahulu.

Sebenarnya Parthenon ini merupakan satu bangunan yang istimewa kerana ia dicipta mengikut ukuran  Golden Ratio. Golden Ratio merupakan dua nombor yang apabila dinisbahkan nilainya menjadi 1.618. Golden Ratio ini juga  di perkenalkan oleh Phidias yang juga dikatakan terlibat dalam pembinaan Parthenon ini. 

Sebenarnya banyak makhluk dan alam sekitar dalam alam semulajadi  ciptaan Allah ini yang dijadikanNya mempunyai sukatan 'Golden Ratio'.Bahkan jarak Kaabah di antara kutub selatan dan kutub utara juga apabila dinisbahkan mempunyai nilai yangb hampir kepada Golden Ratio.   Manusia pula setelah mengkaji tentang nombor ini menggunakannya semasa mencipta bangunan dan alat- alat yang lebih canggih dan tampak eksklusif..

Bangunan replika Parthenon ini rupanya sangat besar. Lenguh juga kaki nak mengelilinginya. Di satu sudut terdapat satu pintu menghala ke bawah seolah- olah ia mempunyai satu muzium. Setelah memikirkan tidaklah berbaloi bagi kami menghabiskan wang sebegitu banyak untuk memasuki muzium,  kami memgambil keputusan untuk bersiar- siar sahaja di taman.

Balik ke Malaysia aku melayari internet tentang The Parthenon, Nashville ini. Rupa- rupanya di dalamnya terdapat sebuah patung dewa yang setinggi bangunan tersebut di dalamnya. Syukur Alhamdulillah kami dilindungi Allah daripada melawat patung tersebut  walaupun ia sekadar replika.  

Islam melarang keras umatnya menyembah berhala kerana ini perbuatan syirik. Dalam sejarah islam peristiwa tentang  berhala  yang biasa kita dengar ialah semasa Nabi ibrahim memecahkan patung berhala yang besar diMakkah. Juga semasa semasa Fathul Makkah dimana Rasulullah menyuruh semua berhala di kawasan Kaabah di hapuskan.

Melayari internet seterusnya menemukan aku dengan satu perkara menarik tentang Parthenon yang asal  di Acropolis. Mengikut Wikipedia, Parthenon  sebenarnya pernah di tukarkan menjadi gereja Kristian. Dan yang paling mengejutkan aku ialah ianya pernah juga ditukarkan menjadi sebuah masjid sebelum diletupkan oleh orang Athens. Dikatakan orang yang bertanggungjawab menukarkan Parthenon ini kepada sebuah masjid ialah Sultan Muhammad Al Fatih daripada Empayar Uthmaniyah. Sultan ini jugalah yang telah menakluk Konstantinople pada tahun 1435 daripada Maharaja Konstantin,

 Nabi saw bersabda: "Kota Constantinople akan jatuh ke tangan Islam. Pemerintah ketika itu sebaik- baik pemerintah dan tenteranya sebaik- baik tentera."(Riwayat Ahmad)
 Allahhuakbar.

Wednesday, September 4, 2013

Saulte Ste Marie- Dua Bandar, Dua Negara, Satu Nama

Saulte Ste Marie ini satu bandar yang istimewa kerana ia terdapat di dua negara, Saulte Ste Marie di bahagian Ontario, Kanada dan Saulte Ste Marie di Michigan, Amerika Syarikat. Keduanya terpisah dengan  satu jambatan yang agak panjang di atas  terusan yang menghubungkan Tasik Superior ke Tasik Huron. Terusan ini sangat besar dimana terdapat pelabuhan yang memuatkan kapal-kapal besar dalam perjalanan dari Kanada ke arah selatan tasik Michigan dan Huron. Dikatakan terusan ini sangat sibuk di waktu selain daripada musim sejuk kerana di musim sejuk sebahagian kawasan tasik  ini membeku. 

Tatkala kami sampai di kawasan ini cuaca masih mendung. Namun hujan telah reda. Mulanya kami begitu teruja dapat sampai di bandar yang paling utara di Michigan dan bersempadankan Kanada ini. 

Namun kami terasa begitu pelik apabila mendapati seluruh bandar ini begitu sunyi. Walaupun cuaca mendung di petang hari dan agak gelap,  hanya satu lampu sahaja yang kelihatan dinyalakan di beberapa buah rumah. Ada juga rumah yang  tiada lampu dinyalakan langsung. Di kawasan perumahan itu tiada kelihatan orang bersiar- siar walaupun ketika itu hari masih siang. Kecut juga terasa di hati. "Kenapa tiada orang di sini sedangkan rumah-rumahnya elok dan kemudahannya banyak." bisik hatiku.


Suamiku terus memandu ke bahagian tengah bandar. Tak sampai 10 buah kereta sahaja yang kelihatan. Kedai- kedai banyak ditutup kecuali sebuah dua restoran. Kami cuba untuk memasuki taman  awam yang terdapat di situ. Ia berpagar. Pintu pagarnya berkunci. Pelik!

Bermacam macam bermain di fikiranku. Adakah bandar ini terkena wabak? Ada krisis ke di sini sehinggakan tiada orang kelihatan berjalan- jalan di sini? 

Kami menghentikan kereta kami di hadapan sebuah restoran yang kelihatan telah dibuka. Suamiku masuk ke dalam dan  cuba bertanya kepada salah seorang pelayan restoran di situ tentang kenapa keadaan sebegitu sunyi di bandar ini. Setelah diberi penerangan barulah kami faham. rupa- rupanya bandar ini hanya dibuka pada pertengahan bulan Mei dan tutup sebelum musim dingin. Ini bermakna bandar ini hanya dibuka beberapa bulan sahaja dalam setahun!. Ini juga bermakna kebanyakan penduduk di sini mempunyai pertempatan lain apabila musim sejuk bermula! Pelik tapi benar. Inillah kali pertama kami bertemu dengan bandar yang sebenarnya aktif hanya beberapa bulan dalam setahun!

Ingin mengikuti pengembaraan kami sekeluarga di Amerika Syarikat? Klik di sini!

Wednesday, August 28, 2013

Bilakah kita berbangga melihat berkibarnya bendera Malaysia kita?

Bendera Malaysia berkibar
di hadapan Islamic Center, Washington DC
Biasanya rakyat Malaysia lebih menyanjungi negara mereka sendiri apabila berada di luar negara. Sesuatu yang dikaitkan dengan Malaysia dari sekecil- kecil duit syiling hinggalah kepada bangunan Kedutaan Malaysia menjadi kebanggaan setiap rakyat yang berkunjung di luar negara.

Washington DC merupakan bandar yang mempunyai  pusat pentadbiran Amerika Syarikat. Banyak bangunan penting terdapat di sini seperti White house, Pentagon dan Washington Monument . Kami berpeluang untuk singgah di sebuah Islamic Center di sini semasa berkunjung di sini.

Selesai bersolat kami terus ke bahagian perkarangan masjd untuk menikmati pemandangan di sekitarnya. Di satu sudut halaman bangunan ini di naikkan beberapa bendera negara yang mempunyai ramai Islam yang kebanyakannya terdiri daripada negara- negara Arab.

Alangkah bangganya kami melihat bendera Malaysia berkibar di sebalik bendera- bendera tersebut. Ini menandakan umat Islam di sana mengiktiraf dan tahu Malaysia sebuah negara yang mempunyai ramai rakyat Islam. Berbanding dengan 30 tahun dahulu, rakyat di sini langsung tidak tahu langsung kewujudan Malaysia, sebuah negara kecil di Asia Tenggara.

Perasaan bangga dan gembira melihat bendera Malaysia ini  hanya rakyat Malaysia yang akan merasai. Turun dan naiknya sesebuah bendera merupakan peristiwa penting bagi sesebuah negara  mahupun suatu agama. Contohnya kita berbangga apabila bendera Malayan Union diturunkan dan bendera Persekutuan  Tanah Melayu dinaikkan pada 31 Ogos 1957. 

Rasulullah juga menekankan kepentingan  bendera atau panji perang  semasa peperangan. Kisah yang paling menyentuh hati ialah dalam perang Mu'tah dimana terdapat 3 pemegang panji perang yang mati syahid dalam perang tersebut iaitu  Zaid b. Harithsah, Jaafar b. Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah. 

Perang Mu'tah diketuai pada mulanya oleh Zaid b. Harithsah. Selepas  Zaid syahid dibunuh, Jaafar mengambil alih kepimpinan dalam perang tersebut. Semasa Jaafar memegang bendera dengan tangan kanannya, tangannya itu telah ditetak hingga putus. Menyedari betapa pentingnya bendera tersebut,  Jaafar tidak membiarkan bendera itu jatuh ke tanah. Dia memegangnya pula dengan tangan kirinya. Tak lama selepas itu tangan kirinya pula ditetak hingga putus. Jaafar tidak berputus asa lalu menyandarkan bendera itu ke dadanya. Akhirnya pedang musuh membelah  badan Jaafar lalu beliau mayi syahid. Allahuakbar.  Kemenangan akhirnya berpihak kepada Islam setelah Khalid al Walid mengambil alih panji perang daripada Abdullah b. Rawahah.

Oleh itu berbanggalah dengan bendera kita dan kibarkanlahnya samada dirumah, kedai dan pejabat.
 Salam kemerdekaan. Be a proud  Malaysian Muslim .


Monday, August 26, 2013

Sejenak di Perkampungan Amish, Cleveland, Ohio- Bahagian 2

Kereta kuda sedang menunggu penumpang di Mesopotamia


"Orang Amish ni tak suka ambil gambar" aku mengingatkan anak- anakku sebaik saja sampai ke perkampungan Amish. " Jadi hati- hati bila ambil gambar nanti," sambungku lagi. Sememangnya kaum Amish tidak suka berposing depan kamera. Demikianlah apa yang aku baca dalam brosur  yang aku ambil semasa dalam perjalanan ke perkampungan Mesopotamia, Cleveland. 

Kaum Amish ini yang sebenarnya  berasal dari Eropah dikenali  sebagai kaum Menonite. Tetapi mereka  berpecah dan salah satu daripadanya ialah kaum Amish. Kaum Amish yang berada di Ohio ini merupakan kelompok yang keempat terbesar di dunia. 

Kaum Amish ini berugama Kristian (biblicist) dan berpegang kepada prinsip  agama mesti dipisahkan daripada politik (Separation of Church and State).  Dalam Islam, kehidupan sehari- hari mahupun politik tidak boleh dipisahkan dari agama  kerana Islam adaah satu cara hidup . Alhamdulillah, syukur kita dilahirkan  sebagai orang Islam, dengan itu mudahlah kita berpendapat sedemikian. Namun sejauh mana kita mengamalkan Islam dalam kehidupan sehari- hari kita?
Patung kuda bersama kereta kuda terbesar di Cleveland
Di sepanjang perjalanan dalam kawasan kampung ini, kelihatan pokok- pokok gandum tumbuh subur di ladang- ladang  yang agak besar. Sekiranya di Malaysia kawasan kampung terutama sekali di Kedah dan Kelantan, dipenuhi dengan sawah padi di sini ia dipenuhi ladang gandum kerana makanan ruji mereka di sini ialah gandum. Kebanyakan ladang di sini masih menggunakan tenaga haiwan dan mesin-mesin yang ringkas. 

Di sepanjang perjalanan kami melepasi beberapa buah kereta kuda berpenumpang. Kereta tidak banyak di sini dan berdasarkan brosur,  orang luar mesti menghormati dan memberi ruang kepada kereta kuda di jalan raya.  Orang Amish yang kuat kepada pegangan mereka tidak dibenarkan memiliki kereta. Mereka hanya boleh menyewanya sekiranya keadaan memerlukan.

 Kenderaan utama disini juga ialah kereta kuda. "Perasan tak? Kebanyakan rumah orang Amish ni ada kereta kuda.," kata ku  apabila kereta kami meluncur melepasi beberapa buah rumah yang berjauhan antara satu sama lain kerana adanya ladang- ladang gandum di situ. Terlintas pula dalam fikiranku  kalau di Malaysia memiliki kereta kuda melambangkan satu kemewahan, di sini pula  ia hanya  merupakan kenderaan biasa! 

"Tengok, orang Amish tu guna mesin rumput tanpa  elektrik!" kata anak bongsuku. Orang Amish yang kuat kepada agama mereka .tidak menggunakan elektrik dalam kehidupan sehari- hari. Oleh itu peralatan yang mereka gunakan adalah amat terhad. Namun terdapat golongan Amish yang berfikiran moden menerima perlunya tenaga elektrik sebagai satu sumber tenaga. Contohnya, kedai runcit yang kami singgah di satu simpang perkampungan ini mempunyai peti sejuk dan peralatan lain untuk menjalankan perniagaannya. 
Ladang Gandum di perkampungan Amish, Mesopotamia

Namun disebalik pengamatan kami, kami bersyukur kerana beragama Islam, agama yang tidak menghalang teknologi asalkan ia digunakan mengikut syariah dan tujuan. Meskipun negara kita hebat dengan teknologi, banyak penyelewengan dalam  agama yang dilakukan oleh orang Islam di Malaysia ini  terutama sekali dengan teknologi ICT, teknologi dunia kini tanpa sempadan .

Bersambung.


Popular Posts