Kereta kuda sedang menunggu penumpang di Mesopotamia |
"Orang Amish ni tak suka ambil gambar" aku mengingatkan anak- anakku sebaik saja sampai ke perkampungan Amish. " Jadi hati- hati bila ambil gambar nanti," sambungku lagi. Sememangnya kaum Amish tidak suka berposing depan kamera. Demikianlah apa yang aku baca dalam brosur yang aku ambil semasa dalam perjalanan ke perkampungan Mesopotamia, Cleveland.
Kaum Amish ini yang sebenarnya berasal dari Eropah dikenali sebagai kaum Menonite. Tetapi mereka berpecah dan salah satu daripadanya ialah kaum Amish. Kaum Amish yang berada di Ohio ini merupakan kelompok yang keempat terbesar di dunia.
Kaum Amish ini berugama Kristian (biblicist) dan berpegang kepada prinsip agama mesti dipisahkan daripada politik (Separation of Church and State). Dalam Islam, kehidupan sehari- hari mahupun politik tidak boleh dipisahkan dari agama kerana Islam adaah satu cara hidup . Alhamdulillah, syukur kita dilahirkan sebagai orang Islam, dengan itu mudahlah kita berpendapat sedemikian. Namun sejauh mana kita mengamalkan Islam dalam kehidupan sehari- hari kita?
Patung kuda bersama kereta kuda terbesar di Cleveland |
Di sepanjang perjalanan kami melepasi beberapa buah kereta kuda berpenumpang. Kereta tidak banyak di sini dan berdasarkan brosur, orang luar mesti menghormati dan memberi ruang kepada kereta kuda di jalan raya. Orang Amish yang kuat kepada pegangan mereka tidak dibenarkan memiliki kereta. Mereka hanya boleh menyewanya sekiranya keadaan memerlukan.
Kenderaan utama disini juga ialah kereta kuda. "Perasan tak? Kebanyakan rumah orang Amish ni ada kereta kuda.," kata ku apabila kereta kami meluncur melepasi beberapa buah rumah yang berjauhan antara satu sama lain kerana adanya ladang- ladang gandum di situ. Terlintas pula dalam fikiranku kalau di Malaysia memiliki kereta kuda melambangkan satu kemewahan, di sini pula ia hanya merupakan kenderaan biasa!
"Tengok, orang Amish tu guna mesin rumput tanpa elektrik!" kata anak bongsuku. Orang Amish yang kuat kepada agama mereka .tidak menggunakan elektrik dalam kehidupan sehari- hari. Oleh itu peralatan yang mereka gunakan adalah amat terhad. Namun terdapat golongan Amish yang berfikiran moden menerima perlunya tenaga elektrik sebagai satu sumber tenaga. Contohnya, kedai runcit yang kami singgah di satu simpang perkampungan ini mempunyai peti sejuk dan peralatan lain untuk menjalankan perniagaannya.
Ladang Gandum di perkampungan Amish, Mesopotamia |
Namun disebalik pengamatan kami, kami bersyukur kerana beragama Islam, agama yang tidak menghalang teknologi asalkan ia digunakan mengikut syariah dan tujuan. Meskipun negara kita hebat dengan teknologi, banyak penyelewengan dalam agama yang dilakukan oleh orang Islam di Malaysia ini terutama sekali dengan teknologi ICT, teknologi dunia kini tanpa sempadan .
Bersambung.
No comments:
Post a Comment