Friday, November 23, 2018

Secekak Bunga Lavender

Kami diberikan gunting dan tali pengikat untuk menuai bunga ini. Secekak bunga yang dituai dan boleh diikat di kenakan hanya $5. Sebenarnya bukan bunganya yang kami inginkan sangat, tapi pengalaman mendekati, memegang dan menghidu haruman bunga kecil ini yang lebih kami hargai. Saya percaya ramai yang melawat ladang-ladang bunga atau buah setuju dengan pendapat saya, bukan?

Ladang lavender milik Lavender Hill Farm ini terletak tidak sampai 100 m dari kedainya. Dari jauh pokok-pokok kecil ini seperti padang rumput berwarna ungu. Pokoknya tidak punya batang hanya dahan berkayu keras sedikit daripada rumput. Untuk menuainya perlu guna gunting sahaja.
 Rupa-rupanya bunga Lavender yang berwarna ungu ni pun mempunyai pelbagai jenis seperti English  Lavender dan Grosso Hybrid antara jenis yang terdapat di sana. Namun kesemuanya berbau harum bila dihidu. 
Allah jadikan manusia makhluk yang suka kepada bauan yang harum. Antara perkara yang paling disukai Rasulullah juga ialah wangi-wangian. Bahkan Rasulullah juga pernah mengaitkan cara memilih sahabat yang baik dengan minyak wangi.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
" Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi atau engkau boleh membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapat bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, boleh jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap."
Hadith Riwayat al Bukhari dan Muslim

Berada di kawasan yang penuh tumbuhan berbunga agak mencabar ketika ini. Lebah-lebah madu begitu banyak menghisap madu bunga dan menjalankan tugasnya sebagai agen pendebungaaan. Saya yang tidak biasa dengan keadaan sedemikian agak gusar bila berada di sana namun memilih untuk tidak kisah dengan kehadiran mereka. Maklumlah peluang melawat ladang lavender bukannya datang selalu. Ikut kebiasaan sekiranya kita tidak bertindak agresif, lebah-lebah tidak menyengat.
Sungguhpun demikian takdir Allah seekor  lebah masuk dan menyengat juga bahagian lengan walaupun saya memakai baju berlengan panjang. Alhamdulillah sengatannya tidak berbisa dan meninggalkan bekas. 
Puas memerhati, menghidu dan menggunting pokok lavender secekak, kami pun berhenti rehat seketika dan kemudian ke kedai semula untuk membayarnya. Keluar daripada kedai, kami ternampak beberapa orang peminat lavender sudahpun berada di ladang walaupun cuaca masih membahang. Mungkin kaedah U pick(memetik sendiri) ini menguntungkan juga di sini walaupun menanam hanya satu jenis bunga.  Kaedah U pick  ini belum popular lagi di Malaysia. Agak-agaknya tumbuhan 
apa yang sesuai untuk U pick di Malaysia?

Kedai Ladang Lavender-satu idea agrotourism

Tempat pertama yang kami tuju ialah kedai ladang itu yang terletak betul-betul di belakang rumah tersebut.  Papan tanda  'U pick Starts Here ' memudahkan kami tahu apa yang perlu dilakukan sebaik saja sampai di ladang itu. Oleh itu tidaklah perlu kami mundar-mandir di situ menanyakan orang di sana. Satu idea yang baik bagi tuan punya dusun atau ladang di Malaysia yang ingin mengusahakan perniagaan 'U Pick' atau seumpamanya seperti agrotourism.
Sebaik saja melangkah masuk, kami ternampak pelbagai produk lavender yang dihasilkan oleh pihak ladang ini. Sabun, minyak dan potpurri antara puluhan produk yang boleh dihasilkan oleh bunga kecil ini. Gaya susun kedai ini nampak kemas dan profesional meskipun tereltak dalam sebuah ladang. Terdapat sampel minyak wangi lavender yang boleh di hidu sebelum pelanggan memilih mana yang berkenan di hati. Sampel lavender kering  dipamerkan utk pelanggan lihat sebelum membuat keputusan membeli potpurri atau produk bunga kering. Produk lukisan lavender di atas ceramic, kotak kayu dan kad juga di jual disini. Semuanya berkenaan alam bunga lavender. 

Sebelum kami melangkah ke arah ladang lavender ini, kami singgah sebentar untuk minum jus lavender sejuk yang di campurkan dengan lemon.  Ini disediakan oleh pihak ladang secara percuma. Ya, lavender juga boleh dijadikan jus. Sangat sesuai diminum sebagai pembasah tekak dalam cuaca yang sangat panas ketika itu selain daripada punya khasiat yang pelbagai. 

Kadangkala bila kita mengembara, banyak pengetahuan yang kita perolehi yang boleh digunakan untuk membangunkan atau menambah baik ekonomi negara kita. Mungkin kita bukan dalam bidang perniagaan agrotourism mahupun pelancongan. Namun tak salah kiranya kita dapat mewar-warkan idea-idea menarik agar dapat diketengahkan kepada pihak yang melaksanakannya. Setiap perbuatan yang baik, insha Allah akan mendapat balasannya. Rebutlah balasan Allah yang lebih besar. 
Firman Allah:

" Bersegeralah memohon keampunan Allah. Syurga seluas langit dan bumi disediakan untuk orang yang bertakwa. iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berbuat kebaikan."
Surah Ali 'Imran 3: 133-134)
Bersambung

Singgah Sebentar di Ladang Lavender

Allah anugerahkan bunga ini antara bunga kegemaran wanita selain daripada bunga ros. Sebagai pencinta bunga memang sudah  lama saya idamkan lawatan ke ladang bunga ini. Namun setiap kali ke negara ini atau negara negara lain, saya belum berkesempatan melawatnya. Takdir Allah saya selalu  tiba sebelum musimnya atau musim menuainya sudah berakhir, ataupun cengkaman masa semasa mengembara menyebabkan rancangan sering tertunda.

Sebut saja lavender, mesti ramai yang mengingati warna ungunya. Meskipun lavender wujud dalam warna-warna lain, namun warna ungulah yang paling diminati. Umumnya ramai yang mengetahui tentang pelbagai kegunaan lavender, sejenis bunga yang terkenal dengan  keharuman yang istimewa. 

Lavender Hills Farm sebuah ladang yang terletak di kawasan luar bandar Niles, Michigan. Sengaja saya pilih sebuah ladang U Pick yang membolehkan kami melihat secara dekat dan mendapat pengalaman menuai bunga yang unik ini.  

Kami di sambut dengan satu pemandangan yang menarik bila setibanya di Lavender Hill Farm ini. Sebuah rumah kayu kecil yang dihadapannya tersusun deretan bunga lavender ungu yang sedang kembang mekar. Subhanallah. Sangat indah. 

Melangkah ke bahagian belakang rumah ini barulah kami ternampak ladang lavendernya yang luas. Dari jauh kelihatan seperti sebuah padang rumput yang ungu. Namun di asingkan mengikut jenis-jenis yang berlainan. 
Bila berbincang tentang bunga, kita sering mengaitkannya dengan keindahan dan keharumannya. Kadangkala bunga juga boleh dikaitkan dengan kebaikan.
 
'Jika kebaikan yang diberi, sekalipun tersembunyi, pasti akan ketara jua akhirnya. Tangan yang menghulurkan bunga mawar, pasti harum baunya. Namun sebaliknya, meskipun pandai berkilas, kejahatan pasti terbalas.'
Dimana DIA diHatiku-Pahrol Mohd Juoi.
Bersambung

Pengaruh Belanda di Michigan

Sebut saja Holland, mesti ada yang teringat tentang Belanda. Negara yang terkenal dengan bunga tulips dan kasut kayu yang digelar clogs. Holland yang kami singgah ini tidak terletak di Belanda. Holland ini sebuah bandar yang terletak di tepinTasik Macatawa dan tidak jauh dari Tasik  Michigan.
Nama Holland sudah pasti memberi gambaran tentang pengaruh budaya Belanda di sini. Kawasan mula di diami secara besar besaran oleh imigran Belanda sekitar tahun 1880an. Asalnya kawasan ini di didiami oleh kaum native Americans.

Kemuncak tempat ini ialah sewaktu Tulip Time Festival. Tulip festival difokuskan kepada pameran budaya orang Belanda dan hiasan beribu-ribu  bunga tulip di satu kawasan yang sangat besar,  hampir sama dengan floria fest yang diadakan di negara kita. Biasanya Tulip Festival di Holland ini ialah pada bulan Mei, sedangkan kami tiba di sana pada bulan July. Saya berkesempatan ke Tulip Time Festival di Pella, Iowa pada tahun 2012. Ketika itu sebahagian besar  bandar itu dihias istimewa bagi acara tersebut. 

 Tempat yang kami tuju ialah sebuah kawasan pelacongan. Takdir Allah kami terlewat sampai ke Windmill Island Gardens. Tempat ini  telah ditutup pada pukul 5 petang. Walau bagaimanapun pelawat dibenarkan bersiar-siar di kawasan persekitarannya. 

Meskipun bunga tulips tidak kelihatan di sini sebab musimnya sudah habis, bunga-bunga lain yang pelbagai warna n mekar kembang menghiasi sebahagian besar taman ini. Sungguh, fitrah manusia suka kepada pelbagai warna. Bunga-bunga yang terhasil daripada  makhluk ciptaan Allah ini memberi ketenangan setiap kali memandang.  

Rasulullah s..a.w. bersabda," Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka pada keindahan."
(Riwayat Muslim)

Satu petikan yang sering mengingatkan diri:
'Alam ciptaan Allah dapat memberi ketenangan  kepada hati orang yang beriman. Bukan kerana warna, keindahan dan keunikannya tetapi kerana alam ini sangat dekat dengan Allah. Alam adalah " mahakarya" Allah yang belum diusik oleh perbuatan manusia. 

Laut,  gunung, bukit, hutan ialah alam "semulajadi" yang terbina secara sunnatullah. Tidak ada campur tangan manusia. Oleh itu apabila manusia beriman dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah(alam ini), maka hati mereka akan terhibur!'
 Tenang Ada di sini - Pahrol Mohd Juoi

Windmill Island Gardens-Warisan Belanda

Taman warisan orang Belanda ini agak unik sebab terdapat barang- barang yang asalnya daripada negara Belanda sendiri. Ada yang  dibuat lebih seratus tahun dan masuh berfungsi. 


Di bahagiann hadapan taman ini terdapat sebuahnrumah kayu yang menempatkann sebuah alat muzik 'street organ' yang besar.  Digelar sebagai  The Four Columns Organs, alat muzik ini dibina pada tahun 1928  dan dihadiahkan oleh bandaraya Amsterdam sendiri. Walaupun antik danbsiznya sangat besar, Organ ini dikatakan masih berfungsi sehingga sekarang. 

Di satu sudut lain kelihatan sederet bangunan setingkat  yang  dicat berwarna warni. Ini ialqh sebuah replika sebuah kampung Belanda " Dutch Village"  Berdasarkan TripAdvisor.com terdapatbkedai kedai yang menjual barang barang yangnberkait rapatndengan priduk orangnbelanda sperti clogs dan barangan yang berkaitrapat dengan orang Belanda. Kami tak dapat masuk ke dalam sebab wakt itu kedai-kedai ini telah ditutup.
Di satu sudut dib hujung kelihatan sebuah kincir angin yang besar. Kincir angin merupkan satu ikon bagi negara Belanda.  Asalnya kincir angin digunakannuntuk memproses gandum, namun telah digunakan untuk memproses pelbagai bend kain seoerti cat dan minyak.

Mengikut sejarah de Zwaan windmill ini dibina pada tahun 1761 dan telah mengalami pengubahsuaian beberapa kali.  De Zwwan yang bermaksud angsa( The Swan)) telah dibawa ke Michigan pada tahun 1965. Ia merupakan kincir angin terakhir yang dibawa dari negara belanda. De Zwaan ini masih berfungsi dan di gunakan untuk mengisar gandum di kawasan ini. 

Kami kurang pasti kenapa orang belanda sanggup membawa kincir angin yang begitu besar ke sini. Berdasarkan pembacaan saya,  ini bukan satu satunya kincir angin yang di bawa dari negara Belanda. Mungkin ada sejarah tersendiri atau 'sentimental value' oleh imigran Belanda di Amerika Syarikat. 

Berdasarkan sejarah, kincir angin telahpun wujud dizaman khalifah Umar Al Khattab lagi dalam kurun ke 7 Masehi. Pernah dengar nama Al Jazari dan Taqi al Din? Mereka  ialah  jurutera Islam  zaman empayar Uthmaniyyah dan Abbasiyah yang banyak merekacipta pelbagai alat teknologi yang kompleks. Antaranya ialah kincir air, enjin stim dan jam. Rekacipta ini kemudiannya di ubahsuai oleh jurutera Eropah.  Malangnya ramai daripada kita yang mbih mengenali jurutera  atau saintis barat. Jom kita ambil langkah kendeoan mengenali saintis dan jurutera Islam zaman silam. 




https://www.independent.co.uk/news/science/how-islamic-inventors-changed-the-world-6106905.html

http://www.muslimheritage.com/article/mechanical-devices

https://www.arabamerica.com/arabislamic-contributions-to-world-mechanics-and-engineering/





Lansing, bukannya Detroit

Dahulunya sebelum dijadikan ibu negeri, bandar ini hanya sebuh kampung. Asalnya ibu negeri Michigan ialah Detroit. Namun disebabkan kedudukan Detroit terlalu dekat dengan Kanada dan atas faktor keselamatan ia dipindahkan ke Lansing.
Michigan State Capitol ialah tempat bersidangnya 'State Legislative' (hampir sama dengan Dewan Undangan Negeri di negara kita) dan pejabat-pejabat Senat dan ketua-ketua kerajaan negeri.
Terletak di downtown Lansing, State Capitol ini dibina pada tahun 1871 dan telah mengalami beberapa pengubahsuaian. Rekabentuk bangunan ini dikatakan daripada seni bina zaman Rennaisance. Khidmat  'guided tour' memang disediakan di sini bagi yang ingin menghayati sejarah dan rekabentuk bangunan ini. Bahagian dalam bangunan ini mempunyai banyak kesan dan hiasan  sejarah samada yang asal atau replika. Walau bagaimana pun kami tidak berkesempatan untuk masuk sebab kesuntukan masa. 
Sebuah tugu peringatan Austin Blair diletakkan di bahagian hadapan State Capitolini juga. Austin Blair ialah gabenor Michigan semasa perang saudara Amerika tahun 1860an.
sumber capitol. michigan. gov

Tidak jauh dari situ terdapat tugu Veterans Memorial yang dibina untuk memperingati pengorbanan perajurit yang berkhidmat dalam Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, Perang Korea dan Vietnam. 

Bahagian hadapan State Capitol ini dihiasi dengan 'Carpet beds' yakni pokok-pokok bunga yang ditanam berdasarkan corak dan warna. Carpet beds ini disusun mengikut susunan corak Victoria dan English Garden. Carpet beds corak sebegini ini sangat popular tahun1800an dahulu. 

Sejenak berfikir, untuk membuat susunan sebegini pun memerlukan ilmu, meskipun ia hanya ilmu menyusun bunga.  Ilmu Allah ini terlalu luas. Saya teringat satu ayat yang sering arwah emak tersekat-sekat ketika membaca bersama-bersama saya tidak lama dahulu. Ayat ini juga sering kita baca setiap hari Jumaat.
"Katakanlah (Muhammad):" Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sesungguhnya habislah lautan itu sebelum habis ditulis) kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu(pula)"" 

Al Kahfi 18:109

Allah pemberi rahmat kepada semua makhluknya samada Islam atau pun bukan Islam. Ilmu diilhamkan Allah kepada kita agar kita menggunakannya untuk manfaat makhluk dibumi seluruhnya.  
Selangkah kita melakukan sesuatu untuk menenangkan dan membahagiakan seluruh alam, berkali-kali ganda ganjaran Allah berikan pada 









diri kita ini. Insha Allah. 

Islamic Center di Ibu Negeri Michigan

Bangunan ini sangat mudah dicari sebab lokasinya di tepi jalan dan tidak jauh dari kawasan universiti. Islamic Center of Greater Lansing ini merupakan Islamic Center yang ke dua  kami kunjungi selepas Muslim Education Center di Chicago.

Walaupun hanya bangunan setingkat, Islamic Center ini mempunyai peranan yang sangat besar dalam pembangunan Islam di sini. Asalnya orang Islam di sini hanya menumpang sebuah bilik di kawasan universiti untuk solat fardhu dan solat Jumaat. 

Hasil sumbangan orang ramai dan daripada negara-negara Islam, terbangunlah sebuah bangunan yang memuatkan sebuah masjid dan sebuah sekolah Islam sepenuh masa di sini. Pahit maung dugaan ditempuhi oleh penduduk Islam di sini dengan menyaksikan pembinaannya pernah tergendala beberapa kali terutama sekali selepas kejadian 11 September 2001. Alhamdulillah  tahun 2005 bangunan ini siap sepenuhnya lengkap dengan tempat parkir kenderaan untuk kemudahan sekolah dan masjid.

Islamic Center ini memainkan peranan penting dalam kemaslahatan umat Islam di sini. Daripada urusan aqad nikah, cerai, pengkebumian hinggalah zakat dan sedekah semuanya boleh dibantu oleh pengurusan masjid ini. Bahkan masjid ini juga memiliki tanah perkuburan orang Islam sendiri. 
Bangunan sekolah yang terletak bersebelahan masjid menempatkan sekolah sepenuh masa, sekolah tambahan(Sunday School) untuk kanak-kanak dari umur 5 tahun hingga 13 tahun(Pre 
K hingga Middle School). Juga Dar Al Quran yang dikhususkan untuk golongan dewasa untuk mempelajari Al Quran dan mendalami agama Islam. 

Subhanallah,besar sungguh peranan Islamic Center ini. Walaupun dari luar mungkin ia tidak kelihatan gah seperti masjid besar yang bertingkat-tingkat, ia di imarahkan dengan begitu banyak aktiviti oleh komuniti Islam di sini. Tahukah anda lebih kurang berapa bilangan umat Islam yang menunaikan setiap kali solat Jumaat di sini? 1500 orang. Alhamdulillah.  

Ann Arbor, Kenangan Lama



Kali pertama saya mendengar nama tempat ini ialah ketika anak saya diberi tawaran melanjutkan pelajaran di sini. Sebutannya agak istimewa,  menggambarkan seorang wanita yang bernama Anne.

Ini bukan kali pertama saya ke sini. Bandar ini kemungkinan besar maju disebabkan wujudnya universiti ini, University of Michigan, Ann Abor. Oleh itu bolehlah dikatakan Ann Arbor ini sebuah 'university town'. Sama seperti Bandar Baru Bangi yang maju disebabkan kewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Ketika kami sampai di sini pada bulan Julai yang lepas, Stadium Michigan kelihatan lengang. Cuti musim panas masih belum berakhir. Cuaca pula panas membahang. Kunjungan kami ke tempat ini mengimbau kembali detik bersejarah bagi kami sekeluarga bulan Mei,tahun 2012 yang lalu. 

'Pagi itu kami bangun awal memandangkan kami terpaksa menaiki kereta dan seterusnya bas untuk ke Stadium Michigan. Majlis ini ialah bahagian pertama bagi keseluruhan majlis graduasi di sini. Anak saya yang kedua, Basyirah bakal menerima segelung ijazah pada hari tersebut.


Suhu ketika itu sangat sejuk terutama sekali apabila angin bertiup kencang. Dalam keadaan menggeletar kesejukan, tiba-tiba kami ternampak cebisan-cebisan putih seperti kelopak bunga kecil berterbangan di udara. "Eh, eh ‘flurries’lah" kata anak sulungku, teruja sambil menadah tangan, cuba mengumpul ‘flurries’. Walau bagaimanapun ‘flurries’ sangat kecil dan ringan. Ia akan cair sebaik sahaja tiba di tangan. Flurries sebenarnya ialah butir-butir salji yang sangat kecil dan ringan yang turun apabila cuaca terlalu sejuk. Oleh kerana terlalu teruja, kami berlima terus ikut menadah tangan sambil seronok memerhatikan flurries yang turun. Cuaca dingin di luar kini tidak terasa dek terlalu teruja. Agak mengejutkan sebab flurries ini turun dalam bulan Mei! Kebiasaannya bulan ini ialah bulan perantaraaan musim bunga dan musim panas di hemisfera utara dan bukannya musim dingin.  Bas yang kami naiki sudah sarat dengan para siswa dan keluarga. Bak kata orang Melayu, macam dalam tin sardin! Ruang yang ada hanya muat untuk berdiri sahaja. Namun kami bersyukur ia dapat membawa kami ke tempat yang lebih dekat dengan majlis graduasi ini.  Sebahagan daripada dedaun Kadangkala,disebalik kesulitan menghadapi satu-satu cabaran hidup, Allah selitkan setitis kegembiraan agar kita dapat terus mengharung dugaan yang merintang. Bagi kami, misalnya bukannya mudah untuk sampai ke tempat majlis graduasi anak, namun dengan sedikit kehadiran flurries ini yang Allah turunkan cukup mengembirakan kami sekelurga buat seketika. Alhamdulillah. Bagi mereka yang sedang menghadapi dugaan hidup, sematkan dalam diri ayat ini agar sentiasa memotivasikan diri. Ini janji Allah kepada kita sekiranya kita yakin denganNya. Firman Allah yang bermaksud: " Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." Al Insyirah 94:5-6
Bersambung. Insha Allah. 

Popular Posts