Kesibukan menghadiri rumah terbuka dan kenduri kahwin menyebabkan kita terpaksa singgah bersolat di masjd supaya kita tak ketinggalan solat. Aku sempat singgah di beberapa buah surau dan masjid semasa pergi ke majlis perkahwinan atau dalam perjalanan pergi dan balik ke rumah terbuka.
Satu keadaan yang ketara ialah tempat solat wanita yang dibuat secara terbuka. Biasanya keadaan ini terdapat di masjid- masjid besar yang baru di bina. Kita tidak menafikan di Mekah atau Madinah tiada ruang pemisah atau tirai yang memisahkan antara jemaah lelaki dan perempuan. Namun bagi saya sebagai seorang perempuan adalah lebih selesa sekiranya diletakkan tirai yang menutup sepenuhnya ruang solat perempuan agar tidak boleh dilihat oleh lelaki. Biarlah saya ceritakan keadaan beberapa masjid yang saya kunjungi dan kenapa perlunya adanya ruang yang tertutup.
Masjid Besi (Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin) yang terletak di Putra Jaya merupakan antara masjid yang mempunyai pemandangan yang sangat mendamaikan kerana ruang solat yang terbuka menghadap ke sungai. Pemandangan air sungai disamping bayu dari sungai sudah semestinya membuatkan jemaah terpesona.
Sewaktu aku mengunjungi masjid ini untuk menunaikan solat, aku dapati ruang solat perempuan amatlah terbuka. Hanya 2-3 pengadang saja digunakan sebagai tandanya ianya ruang solat. Oleh kerana 'escalator' di bahagian ini rosak, ia sedang dibaiki oleh beberapa orang lelaki bukan Islam. Pekerja itu juga dengan selambanya lalu di kawasan solat ini tanpa mengambil kira keadaaan kaki dan stokinnya yang kotor. Kelihatan juga beberapa orang lelaki muslim berada di situ sambil mengambil gambar kawasan sekitar. Agak agaknya selesa ke tidak kaum wanita yang sedang bersolat di situ. Oleh kerana aku sudah pergi ke merata- rata tempat, kadangkala aku berasa was-was dengan kebersihan kainku dan terpaksa membuka kain dan solat bersama kain telekong. Aku tiada pilihan selain daripada melakukannya di tempat terbuka sebegitu kerana bagiku kebersihan dan keselesaan semasa solat penting bagiku. Orang lelaki tiada masalah menyalin seluar mereka kerana tanpa segan silu melakukannya di tepi kereta atau di mana-mana saja asalkan aurat mereka terjaga.
Masjid Al Bukhari yang terletak di Alor Setar sangat unik senibinanya dengan deretan pokok kurma yang terletak dihadapan bangunan. Masjid ini mempunyai ruang solat di bahagian atas. Tempat solat perempuan dipisahkan dengan beberapa pengadang kayu yang memisahkan ruang solat wanita dan lelaki. Malangnya pengadang ini tidak rapat terutama sekali dibahagan belakang. Ruang wanita dibahagian tepi dan belakang juga terbuka dimana ruang ini memang menjadi laluan lelaki terutama sekali dibahagian belakang. Memang tiada ruang tertutup langsung di sini kerana semasa saya hendak menyalin kain, saya terpaksa melakukannya di bahagian belakang walaupun terdapat lelaki yang kadangkala terjenguk ke bahagian solat perempuan.
Harapan saya dengan perbincangan saya disini,biarlah ada perubahan dibahagian ruang solat wanita di masjid berkenaan agar kami dapat bersolat dengan selesa dan khusyuk.
Ikuti perbincangan saya seterusnya tentang contoh- contoh ruang solat yang saya kunjungi yang saya rasa lebih selesa walaupun kecil dan juga contoh ruang solat yang perlu dipertingkat lagi keadaannya di negara kita.
Ingin mengikuti kisah pengembaraan saya bersama keluarga di Amerika Syarikat? Klik di sini.
No comments:
Post a Comment