Tuesday, October 27, 2015

Pasangan Ayah dan Anak yang Beriadhah di Park Point,Tasik Superior


Cuaca pagi  itu memang cerah. Kelihatan ramai orang begitu seronok melakukan aktiviti, bermain bola, berbasikal, jogging. Namun bagi kami yang baru sampai ke situ  kaki ini terasa agak berat untuk melangkah keluar daripada kereta yang mempunyai pemanas udara.Masakan tidak, suhu ketika itu 7-9 darjah Celsius. Sangat sejuk! Kenapa orang di sini begitu teruja melakukan riadhah dalam suhu begini rendah? Pemandangan tasik yang membiru di kawasan taman ini sungguh menenangkan. Kelihatan seorang perempuan dalam lingkungan usia 20an bersama-sama seorang lelaki yang agak berumur sedang berhenti berehat seketika selepas berbasikal. "Hi, Nice weather, huh?" Sapaku. "Yeah, we've been waiting for this sunny day for so long," kata perempuan itu dengan tersenyum."It had been a long winter for us here," katanya lagi.

Perempuan muda itu sebenarnya berbasikal  bersama bapanya yang sudah berusia namun masih kuat untuk berbasikal. Rumah mereka tidak jauh dari kawasan taman itu.
Seronok saya melihat dua beranak ini mengambil kesempatan beriadah bersama.

Zaman ini jarang kelihatan anak-anak remaja mahupun sudah dewasa yang sama-sama beriadhah dengan ibu bapa mereka yang dah berusia. Tidak ramai juga yang mengambil kesempatan  untuk membawa ibu bapa mereka ke taman-taman untuk menghirup udara segar. Ya, mungkin ibu bapa mereka tak mampu berjalan laju ataupun terpaksa bertongkat untuk ke sana ke mari. Namun itulah sedikit sebanyak pengorbanan anak-anak kepada ibu bapa. Kadangkala ibu bapa juga perlu keluar daripada rumah untuk menenangkan diri, sama seperti kita semua.

Memang fitrah manusia, keluar beriadah atau bersiar-siar memerhati alam ciptaan Allah ini boleh menenangkan jiwa insan yang berkecamuk. Rebutlah peluang sebegini untuk bersama ibu dan ayah selagi kudrat anda masih kuat.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah  berbuat baik kepada ibu bapamu. Jika salah seorang  atau kedua-duanya telah lanjut usia dalam jagaanmu, maka jangan sekali-kali engkau mengatakan 'ah' dan janganlah engkau membentak kedua- duanya, dan ucapkanlah kepada kedua-duanya perkataan yang baik. Rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah ,' Wahai Tuhanku, sayangilah kedua-duanya sebagaimana mereka berdua mendidikku semasa aku kecil."
(Al Isra' 17: 23-24)
Peringatan bagi diriku sendiri agar tidak terlupa.

Oh ya, tahukah di mana kami ketika itu? Sebenarnya kami berada di satu anak tanjung di Park Point, Tasik Superior, salah satu tasik besar (The Great lakes) yang paling utara di benua Amerika. Setiap kali musim dingin keseluruhan tasik ini akan membeku. Musim dingin 2015 agak panjang bagi penduduk di kawasan ini. Kami tiba di sana pada bulan Mei 2015 dan ketika itu suhu baru meningkat sedikit . Cuaca terang  inilah yang  menyebabkan penduduk di sana begitu teruja dapat keluar beriadah. Keadaan cuaca terang ini hanya di alami beberapa bulan sahaja. Selepas itu cuaca akan mula kelam menjelang musim luruh.


Syukur tak terkira bila mengenangkan cuaca Malaysia tidak sebegini dan keadaan ini membolehkan kita selalu keluar beriadah (sekiranya tidak hujan atau berjerebu). Namun adakah orang di Malaysia mengambil kesempatan melakukan aktiviti menyihatkan badan dalam cuaca  baik sebegitu?Bila agaknya kali terakhir anda bersiar-siar bersama ibu dan ayah anda?

No comments:

Post a Comment

Popular Posts