Wednesday, October 7, 2015

Hijrah Rasulullah- Dari Rumah Abu Bakar ke Misfalah, kemudian ke Gua Thur (bahagian 4)

Kata pakar ' Untuk berjaya, setiap malam sebelum tidur, senaraikanlah rancangan untuk hari seterusnya." Perancangan ialah tindakan yang penting sebelum diri bergerak melakukan sesuatu yang penting. Adakah anda selalu membuat perancangan sebelum mulakan aktiviti anda?

Jika dikaji sirah hijrah Rasulullah ke Madinah, semua perancangan telah dilakukan oleh baginda sejak awal-awal lagi. Tentang masa untuk mula bergerak ke Madinah, orang yang terlibat dalam menjayakan penghijrahan ini dan pelbagai perkara lagi yang dirancang baginda. Ceramah demi ceramah kita hadiri tentang penghijrahan Rasulullah. Namun jarang kita ambil iktibar daripada segala perlakuan dan perancangan Rasulullah dalam peristiwa tersebut.

Jom kita telusuri sedikit bahagian ke 4 daripada peristiwa hijrah Rasulullah ini.

Dari rumah Saidina Abu Bakar, Rasulullah bersama sahabatnya melewati  jalan ke arah selatan di bahagian al Misfalah. Nabi saw menyedari bahawa orang-orang Quraisy akan berusaha mencarinya dan jalan utama ke Madinah ialah jalan ke utara. Oleh itu baginda melalui jalan yang terletak diselatan Mekah menuju ke Yaman.

Antara jalan yang dilalui Baginda s.a.w. ialah berhampiran Masjid Saydina Hamzah yang terletak di Misfalah. Masjid Sayidina Hamzah di Misfalah ini terletak di Jalan Ibrahim Al Khalili. Hotel yang pernah kami tinggal semasa mengerjakan umrah terletak di kawasan Misfalah. Ianya lebih kurang 800 m dari  Masjidil Haram. Oleh itu bolehlah kita anggarkan jarak dari Makkah ke kawasan Misfalah  lebih kurang 1 km.

Dalam keadaan yang masih gelap, baginda dan sahabat karibnya meneruskan perjalanan ke Jabal Thur. Jabal thur terletak lebih kurang 6 km  dari Makkah. Ini bermakna Rasulullah telah berjalan kaki  lebih 6 km untuk ke Jabal Thur. Sanggupkah kita berjalan dan mendaki sebegini jauh dalam keadaan gelap gulita tanpa mengetahui bahaya yang mungkin muncul di hadapan. Namun mereka berdua menyerahkan hal keselamatan mereka sepenuhnya kepada Allah. Dengan berkat keyakinan itu dan keadaan yang berjaga-jaga akhirnya mereka berjaya juga sampai di tempat yang dirancangkan.

Bila mengerjakan umrah, kita akan dibawa dengan bas yang akan mengambil masa hanya beberapa minit sahaja dari bandar Makkah. Namun Rasulullah terpaksa berjalan kaki dan mendaki Jabal Thur yang tinggi dan berbatu. Mungkin terlintas di fikiran kita tentang betapa kuatnya stamina baginda Rasulullah dan sahabatnya berjalan kaki sebegini jauh, namun tanpa keazaman yang kuat dan keyakinan kepada Allah, mungkin perjalanan ini juga tidak akan berjaya.

Sekiranya ada yang berkesempatan ke Makkah, carilah kawasan Misfalah dan anggarkan berapa lama yang anda akan ambil sekiranya anda berjalan dari Misfalah ke Gua Thur.




Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan perasaan takut dan kelaparan, kekurangan harta benda dan jwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar."
Al Baqarah 2:155

Sumber :
Sirah Nabawiyyah - Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri
Bayu Kerinduan di Bumi Haramain- Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

No comments:

Post a Comment

Popular Posts