Tempat makanan Melayu Hammer Bay tak jauh dari Queensbay mall |
"Kat Penang ni makanan mamak aje ke? Makanan Melayu kat mana?",tanya seorang sahabatku. " Errr... kalau kat kawasan pekan tu susah sikit," kataku, agak susah menerangkan arah jalan mencari makanan Melayu kepada kawanku yang tak pernah ke Pulau Pinang. Agak lama juga aku memberi arahan kepadanya agar sampai ke tempat yang dituju.
Ye tak ye juga. Kalau pagi petang siang malam asyik makan makanan mamak saja memang boleh menjemukan. Keadaan Ini biasa bagi orang yang pergi bercuti di Pulau pinang. Untuk mendapatkan makanan halal paling senang ialah di gerai atau restoran mamak.
Sebenarnya di sebelah petang atau malam terdapat pelbagai tempat yang boleh kita nikmati pelbagai makanan Melayu. Makanan melayu lebih tertumpu di kawasan Jelutong, Gelugor, Bayan Baru dan Bayan Lepas. Ke arah barat laut makanan Melayu tertumpu di kawasan Tanjung Tokong. Ini ialah kawasan pertempatan Melayu walaupun tokong melambangkan tempat ibadat ugama Buddha dan lain- lain.
Sekiranya dari arah Seberang Perai , sebaik saja susur keluar ke arah Bayan Lepas, kita akan sampai di kawasan Hammer Bay, kalau dalam bahasa Pulau Pinang, Teluk Marton. Marton dalam bahasa Melayu Pulau Pinang ialah Penukul.
Tak jauh dari susur keluar dari jambatan Pulau Pinang, terdapat satu kawasan makanan Melayu yang dipanggil Marton Corner. Marton Corner ini menyediakan pelbagai makanan laut yang kesemuanya disajikan oleh orang Melayu. Kalau tak silap saya terdapat lebih daripada 3 gerai yang menyediakan makanan laut di sini. Gerai ini agak besar dan terdapat tempat letak kereta khas disediakan untuk kemudahan pengujung.
Satu tempat makanan Melayu yang agak simple tapi terletak di atas pasir pantai ialah di Bayan Mutiara. Ia terletak ke selatan dari Marton Corner tetapi betul- betul di tepi pantai. Oleh kerana ia dibuka awal, biasanya saya makan tengahari di sini. Sambil menikmati hembusan bayu laut dan bunyi ombak laut memecah ke pantai, kita boleh menikmati beberapa makanan Melayu Pulau Pinang yang 'simple' seperti laksa, rojak buah, mi , mihun sup dan nasi ayam. Gerai disini adalah jenis gerai mudah alih. Oleh itu kemudahan untuk membasuh tangan dan tandas tiada di sini.
Satu lagi kawasan makanan Melayu yang popular di sini ialah Hammer Bay. Kawasan ini terletak tidak jauh dari Queensbay Mall tapi tempat nya agak tersembunyi sedikit. Jangan terkejut, sebenarnya terdapat beberapa gerai yang besar di sini. Gerai ini yang kesemuanya tempat menjamu seleranya menghadap ke laut agak istimewa dari segi dekorasinya. Gerai ini dibuka waktu tengahari dan malam. Walaubagaimanapun terdapat lebih ramai orang pada waktu malam dan selalu berlaku masalah letak kereta kerana tiada tempat letak kereta yang khas. Oleh itu sesiapa yang hendak merasa makanan laut di sini, seelok- eloknyanya datang sebaik sahaja solat maghrib. Solat dulu baru berkat.
Begitulah sedikit sebanyak tentang tempat makanan Melayu sekitar Teluk Marton di Pulau Mutiara ni. InsyaAllah gerai gerai ini adalah alternatif bagi mereka yang sudah jemu dengan makanan mamak.
Jemput Mai Tanjung(Nama lain bagi Pulau Pinang)!
No comments:
Post a Comment