Tuesday, September 24, 2019

Azadi-Istimewa daripada Arab Kurdish

Kedai Azadi di Nashville yang kami kunjungi ini milik sebuah keluarga Kurdish yang berhijrah ke 
negara ini akibat pergolakan politik di tempat mereka. Dugaan Allah yang terlalu berat untuk ditanggung menyebabkan mereka mengambil langkah yang sukar untuk sampai ke sini. Namun ini semua ketentuan Allah, yang sudah pastinya lebih baik bagi mereka sekeluarga. Orang Kurdish berasal daripada wilayah pergunungan Kurdistan, satu wilayah autonomi yang termasuk dalam 4 buah negara iaitu Turki, Iraq,Iran dan Syria. Pergolakan politik di sana menyebabkan ramai yang menjadi pelarian. Amerika Syarikat merupakan antara tempat pilihan kaum Kurdish untuk membina hidup baru. Mengikut Wikipedia, terdapat lebih kurang 17 000 orang Kurdish di Amerika Syarikat pada tahun 2014.  
Kebanyakan kaum Kurdish ini beragama Islam dan mengikut ajaran sunni(ahli sunnah wal jamaah).  Kenapa mereka memilih negara ini, tidak akan saya bincangkan. Namun semua perancangan dan ketetapan Allah pasti ada hikmah dan pengajaran buat mereka dan kita. Kedai Azadi ini menyediakan pelbagai jenis daging halal seperti ayam, kambing,biri-biri dan lembu. Makanan dalam tin dan dalam bentuk pek daripada negara Arab, India dan Pakistan begitu banyak tersusun di rak-rak di dalam kedai. Rempah ratus yang biasa digunakan untuk masakan Asia pun banyak di sini. Alhamdulillah amat mudah bagi mereka yang menggemari makanan Arab dan Asia mendapat bekalan di sini. Dijual pula oleh orang Islam sendiri. Lebih meyakinkan!
Istimewanya kedai ini mempunyai satu bakeri di bahagian belakang yang membolehkan kita membeli roti sebaik saja dikeluarkan daripada ketuhar batu mereka. 'Fresh from the oven!' Menarik! Kami mengambil peluang untuk melihat dan menunggu  mereka membuat roti Arab(flat bread). Rotinya terlalu panas nak dimakan terus ketika itu. Semasa bermusafir, ada diantara kita yang kurang mengambil berat tentang makanan halal. Selalunya yang hanya dititik beratkan ialah daging halal. Sedangkan banyak lagi kandungan bahan makanan yang perlu diteliti sebelum di makan. Contohnya, di dalam roti biasanya terdapat bahan mono and diglycerides dan whey yang mungkin bersumberkan binatang yang tidak disembelih.

Benar, sewaktu saya mula-mula belajar di Amerika Syarikat, ini adalah perkara yang paling sukar. Terpaksa teliti kandungan setiap makanan yang dijual. Tambah pula kebanyakan makanan yang kelihatan lazat tidak boleh di makan. Namun kami terpaksa ketepikan keinginan kami itu demi memastikan apa yang masuk ke dalam perut benar-benar halal.

Namun kini di Amerika Syarikat lebih mudah untuk mengenal makanan yang mana halal dimakan. Antara caranya ialah memerhatikan simbol U pada pek makanan tersebut.Selain itu senarai barang-barang yang halal dimakan amat mudah dilayari di internet.  Banyak lagi cara-cara untuk tahu samada makanan di sini halal dimakan atau tidak telah pernah saya bincangkan satu ketika dahulu. 
Tidak sempat untuk menunaikan solat  bila berada di sini? Tiada masalah. Sebenarnya terdapat sebuah masjid hanya beberapa langkah dari sini. Salahadeen Center yang merupakan sebuah pusat Islam mempunyai ruang solat yang besar. Selain daripada itu, mereka juga mempunyai bangunan-bangunan lain yang menempatkan kelas-kelas pengajian agama, perpustakaan dan kedai. Kami sempat untuk menunaikan solat zuhur di sini  sebelum pergi ke Azadi.
Alhamdulillah, dapatlah masyarakat Islam yang tinggal di kawasan ini menunaikan solat lima waktu dengan selesa. Para peniaga pula tidak perlu menyediakan ruang solat untuk pekerja muslim mereka. Sememangnya kami yang bermusafir ini lebih bersyukur dengan kewujudan masjid di kawasan kedai ini sebab ia memudahkan kami solat dengan selesa. Semoga Allah memberkati orang Islam yang menyediakan masjid ini buat kemudahan pengunjung dan pekerja.

Wednesday, September 11, 2019

The Halal Guys- Zabihah, Halal dan Toyyiban

Bila berada di negara yang ramai bukan Islam seringkali makanan segera fast food memang bukan dalam senarai restoran yang boleh di singgah. Tak banyak kedai makanan segera (walaupun ada) yang menyediakan 100% halal.

Walau bagaimanapun rangkaian food truck dan restoran makanan segera 'The Halal Guys' memberi peluang pada orang Islam yang tinggal di Amerika Syarikat dan musafir yang singgah di sana menikmati makanan segera yang pasti halal. 

'The Halal Guys' memulakan perniagaan mereka 
di Bandaraya New York. Bandaraya New York? Tempat berlakunya tragedi Sept 11,2001? Ya di sinilah bermulanya perniagaan mereka! Hanya dengan sebuah gerai kecil! Kehadiran orang Islam yang begitu ramai di sini dan permintaan drebar-drebar teksi Islam yang menginginkan makanan panas yang halal menyebabkan lahirlah gerai 'The Halal Guys'. Mulanya dijual untuk memenuhi permintaan untuk orang Islam namun lama kelamaan makanan mereka mendapat sambutan dalam kalangan orang bukan Islam juga. Bukankah makanan halal ini sebenarnya baik untuk semua insan? Makanan di Halal Guys ini berasaskan gyro dan ayam. Mulanya kami tak pasti bagaimana rasa gyro tapi rupa-rupanya rasanya enak. Gyro di sini ialah campuran daging lembu dan biri-biri. Kesemua makanan mereka mendapat sijil halal daripada International Halal Food Council, IFANCC (Islamic Food and Nutrition Council Of Canada) dan AMCVH (sebuah agensi halal yang berpusat di Montreal, Canada) dan HalalCo (sebuah agensi halal di Atlanta Georgia). Insha Allah kita tidak was-was dengan makanan di sini dari segi sembelihan(zabihah) serta halal dan baik (Halalan Toyyiban).
Alhamdulillah, sempat juga kami merasa hidangan The Halal Guys bila berada di Nashville. Sebenarnya The Halal Guys mempunyai rangkaian restoran di seluruh Amerika Syarikat dan juga di luar negara. Satu kejayaan bagi orang Islam di Amerika Syarikat yang bermula dengan hanya satu gerai kecil di Manhattan New York! Satu motivasi bagi kita di Malaysia juga. Sekali sekala dapat juga kami menikmati masakan panas siap dimasak di restoran halal. Biasanya kami hanya makan nasi berlaukkan 'ringkas dan simple'  semasa bermusafir. Apa yang penting makanan itu halal dan tidak syubhah. 'Ibn Abbas r.a. memohon kepada Baginda Rasulullah SAW agar memohon kepada Allah SWT supaya apa sahaja permohonan doanya (Saad) dikabulkan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Wahai Saad, makanlah yang baik baik, pasti dimakbulkan doamu. Demi Tuhan yang jiwa
Muhammad berada dalam genggamanNya, sesungguhnya satu suapan daripada makanan yang haram yang di suap oleh seseorang ke perutnya maka tidak akan diterima amalannya selama empat puluh hari. Dan mana-mana hamba yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba maka api neraka lebih layak untuk daging tersebut." (Riwayat Ibnu Mardawiah)' Sumber:Rahsia Makanan Sunnah-Ust Fauzi Mustaffa


Semoga kita lebih berhati-hati dalam menentukan makanan mana yang halal khususnya bagi mereka yang bermusafir.

Thursday, August 8, 2019

Pintu Gerbang Tertinggi Di Dunia

Missouri negeri yang ke lima yang kami pergi dalam pengembaran USA 2018. Bandaraya St Louis ialah bandar yang kedua terbesar di Missouri selepas Kansas City. Walau bagaimanapun ibu negeri Missouri ialah Jefferson City.   

Mercu tanda St Louis ialah The Gateway  Arch yang melambangkan pintu masuk ke bahagian barat Amerika Syarikat. Salah satu cabaran di sini ialah tempat memarkir kereta  ke Gateway Arch betul betul di tebing Sungai Mississippi, tanpa bertembok mahupun berpagar.  Sungai keempat terpanjng di dunia ini melalui 10 buah negeri di Amerika Syarikat. Dahulu,sungai ini merupakan jalan perhubungan utama  dan petempatan kaum native Americans. Sungai ini pernah terkenal dalam cerita cerita Tom Sawyer dan Huckleberry Finn karya Mark Twain satu ketika dahulu. Kini, perkhidmatan feri ala-ala cerita Tom Sawyer menyusuri sungai Mississippi antara tarikan pelancung yang datang ke sini.

Siap dibina pada tahun 1965 dan berketinggian 192 m, The Gateway Arch merupakan gerbang yang
tertinggi di dunia. Sakit juga leher kami bila mendongak ke atas melihat binaan yang menjadi simbol penting kepada bandar ini.  Jangan terkejut sebenarnya pelawat boleh menaiki tram sehingga ke bahagian atas gerbang ini. Walaupun kelihatan seperti sekeping logam nipis namun sebenarnya terdapat sebuah 'observation deck' di tempat paling atas yang boleh memuatkan sehingga 160 orang dalam satu satu masa! Pun begitu, sejauh mana kekaguman kita melihat bangunan pencakar langit ini ataupun memikirkan tentang teknologi pengembaraan angkasa lepas, jangan kita lupa manusia  hanya mampu mengembara setakat langit dunia sahaja. Sedangkan Allah telah mencipta 7 lapisan langit yang tak dapat di tembusi manusia melainkan dengan kehendakNya. Dan 7 lapisan langit ini banyak kali disebutkan dalam Al Quran. Salah satu daripadanya ialah Firman Allah yang bermaksud:
'Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah;(jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan(mu)-dapatkan engkau melihat sebarang kecacatan?'
(Al Mulk 67:3)
Perjalanan Nabi Muhammad dalam peristiwa Israk dan Mikraj membelah tujuh lapisan langit menunjukkan Allah Maha Berkuasa mencipta lapisan-lapisan langit yang terlalu tinggi dan luas. Juga buraq tungangan Nabi yang jauh lebih hebat daripada jet supersonik atau space shuttle yang pernah diciptakan manusia. Malah Rasulullah sampai ke sana dengan jasadnya sekali bukannya dalam bentuk bayangan 5G dalam era digital kini! Allahuakbar!

Keseluruhan kawasan ini diwartakan sebagai National Historic Landmark yakni tempat di bawah pengawasan jabatan sejarah negara. Oleh itu, kemungkinan besar tempat ini tidak akan dirobohkan untuk pembangunan. Di bahagian bawah tanah The Gateway Arch ini terdapat muzium, kedai, cafeteria dan tempat penjualan ticket. Mulanya difikirkan  sebuah muzium mungkin membosankan. Rupanya tidak, sebab  muzium ini yang disediakan dalam bentuk innovatif dan interaktif. Banyak informasi sejarah St Louis dan Amreika boleh di dapati di sini secara percuma.
Mempelajari sejarah satu-satu tempat boleh memberi iktibar kepada kita tentang susah payah usaha sesuatu bangsa dan kaum untuk membangunkan tempat tinggal mereka. Semoga dengan pengetahuan ini kita berusaha bersama-sama membangunkan negara kita aga

Carbondale- Ramai Orang Malaysia Tahu Tempat Ini!




Dulu  di sini antara tempat yang  paling ramai pelajar Malaysia. Kalau tak silap saya, beribu pelajar Malaysia yang telah tamat pengajian dalam pelbagai bidang di universiti ini sejak tahun 1970an lagi. 
Kini pelajar Malaysia tidaklah seramai dulu. Mungkin kos pengajian yang tinggi menyebabkan penaja biasiswa berfikir dua tiga kali untuk menampung perbelanjaan pelajar.  Namun saya percaya ramai yang pernah  belajar di luar negara setuju yang pengalaman pahit manis yang ditempuhi semasa belajar memberi yang kesan yang sangat positif dari segi berdikari dan urusan kewangan di kemudian hari. 

Southern Illinois University terletak di Carbondale, Illinois, negeri di bahagian tengah Amerika Syarikat. Kakak saya antara menjadi penuntut terawal di sini, belajar akhir tahun 1970an. Tentunya banyak ilmu yang bermanfaat dan banyak memori indah di perolehinya di sini. 

Kedatangan kami ke sini adalah bersama kakak saya yang pernah belajar di sini dahulu. Sudah tentu  dia teruja melawat kampus, tempat dia menimba ilmu dan mendapat pengalaman suatu ketika dahulu.   
Antara bangunan yang sempat kami singgah di sini ialah  perpustakaan dan Student Center. Banyak juga kemudahan disediakan buat para pelajar SIU ini di Student Center. Kawasan kafeteria penuh dengan pelajar yang mungkin ketika itu minggu orientasi. Demikian juga kedai buku yang terletak di bangunan yang sama. Ruang rehat dan santai menghiasi bahagian dalam Student Center ini.





Bangunan Biology Greenhouse and Conservatory,tempat pelajar dan pensyarah di sini membuat penyelidikan tentang tumbuhan. Bangunan ini sebenarnya dibuka untuk orang ramai namun ketika kami ke sana, tempat ini tutup. Deretan bunga dan tumbuhan berwarna-warni menghiasi bahagian tepi 'Conservatory' ini. 

Kami berehat seketika di sebuah pondok tidak jauh dari 'Conservatory' ini. Bentuk pondok ini agak pelik,bersegi-segi bumbungnya.Rupa-rupanya pondok ini ialah pondok yang membekalkan kuasa solar dan boleh bertindak sebagai power bank untuk mengecas telefon bimbit, komputer dan sebagainya. Penggunaan teknologi hijau yang unik! 

Menariknya di bangunan Student Center terdapat kemudahan meditation center yang boleh digunakan sebagai surau. Bahkan  tempat berwuduk juga disediakan. Mungkin dulu pelajar di sini terpaksa bersolat di tempat-tempat umum seperti di sudut-sudut bilik ataupun di bawah pokok. Alhamdulillah,kini lebih mudah. 

Solat, belajar, bekerja  mahupun aktiviti yang lain yang bermanfaat  sebenarnya ialah ibadah jika betul caranya. Kita diberikan Allah 24 jam untuk menguruskan kehidupan kita sehari-hari. Namun ramai daripada kita kurang arif tentang hal yang dianggap ibadah ini.  Petikan dibawah mungkin sedikit panduan bagi kita bagaimana aktiviti kita selama 24 jam boleh dijadikan ibadah. 

'Kita wajib beribadah 24 jam. Bagaimana? Bangun sahaja daripada tidur, kita akan mualakan dengan doa. Doa ialah ibadah sunat. Kemudian kita ke bilik air mengambil wuduk dan selepas itu mendirikan solat subuh. Solat itu ibadah asas. Dan kemudiannya kita bersiap pergi ke kerja. Dan bekerja itu ibadah umum.
Ketika waktu tengahari kita mengerjakan solat zuhur dan makan. Kedua-duanya ibadah asas dan umum.  Jadi yang dikatakan ibadah 24 jam itu ialah berlaku perpindahan daripada satu ibadah ke satu ibadah . 
Kalau kita dapat mengatur ketiga-tiga ibadah ni maka hidup kita  dalam sehari itu  telah bermakna 24 jam ibadah. Ini lah yang dikatakan 'full time ibadah'. Dari sini nampak indahnya Islam sehingga disebut ' Islam is a way of life'. 
Bukan Senang nak Tenang- Ust Pahrol  Mohanad Juoi

Jom kita sama-sama berusaha menjalankan ibadah sepanjang 24 jam setiap hari. 

Monday, July 22, 2019

3 Pertemuan di Carbondale Muslim Center

Hari kedua kami berada di Carbondale ialah hari Jumaat, penghulu segala hari. Biasanya bila hari Jumaat kami mengambil peluang untuk menunaikan solat Jumaat di masjid atau Islamic Center.
Carbondale Muslim Center hanya 10 minit perjalanan dari Southern Illinois University (SIU). Sangat mudah menjumpainya.
 
Tiba di masjid ini, kami dapati sudah ramai jemaah yang tiba. Masjid dua tingkat ini mempunyai ruang solat di bahagian atas. Bilik air dan bilik wudhu di bahagian bawah. Tempat solat kaum wanita di bahagian belakang di tingkat atas juga. Ramai juga wanita yang solat jumaat di sini. Tak dapat saya bayangkan betapa ramainya lagi jemaah bila pengajian semester di universiti bermula. 

Usai solat, seorang wanita menghampiri kami dan menanyakan samada kami orang Malaysia. Ooh rupanya masih ada orang Malaysia di Carbondale ini yang tidak balik bercuti ke Malaysia. Rupa-rupanya mereka sekeluarga. Kedua-dua Masita dan suaminya sedang belajar di peringkat Phd di SIU. Selepas bersembang panjang, Masita mengajak kami ke 'Bake Sale' di tingkat bawah masjid. Banyak juga makanan yang di jual di sini yg sesuai dijadikan juadah tengahari. Cara membelinya ialah dengan menggunakan tiket. Ramai para jemaah memilih untuk makan terus di sini memandangkan meja dan kerusi disediakan.
Di sini saya bersua pula dengan seorang 'senior' yang pernah belajar di sekolah yang sama  dengan saya satu ketika dahulu. 'Small world!'. Walaupun saya tidak mengenali beliau, sikap peramahnya menyebabkan saya dan suami mudah untuk bersembang dengannya. Rauzan(Awang) sudah lama menetap dan bekerja di negara ini. Sudah semestinya dia seronok berjumpa dengan rakan senegaranya. Khabarnya dia akan berpindah ke Chicago beberapa hari selepas itu.
Tak lama selepas itu, anak sulung saya sekeluarga tiba di masjid. Alhamdulillah Allah pertemukan kami setelah lebih 2 tahun mereka kembali ke negara ini. Itulah kali pertama juga kami bertemu Adam, cucu kedua kami. Oleh kerana sudah agak lewat, kami mengajak mereka merasa juadah yang dibeli dahulu sebelum ke tempat lain.
Tiga pertemuan yang di atur Allah. Mulanya kami  merancang untuk hanya solat Jumaat di situ. Namun Allah jua perancang terbaik sebab mentaqdirkan 3 pertemuan ini. Semuanya hanya dengan kehendaknya dan berlaku di rumahNya. Kami bertambah yakin dalam permusafiran ini sekiranya kita dekat dengan Allah, Allah akan tambahkan nikmatNya dengan tidak di sangka sangka.  Alhamdulillah.

Tuesday, March 26, 2019

Pengembaraan di Indiana, Ibrah Antara Kematian dan Berkejar Membuat Kebaikan



Indiana sebuah negeri yang besar dan ke barat Ohio. Sekitar tahun 1980an dahulu ramai pelajar Malaysia yang belajar di negeri ini, khususnya di Bloomington dan Terra Haute Kami pernah singgah solat di Islamic center Bloomington dan Indianapolis beberapa tahun lepas.
Kali ini pengembaraan kami di Indiana hanya sebentar.  Indianapolis, ibu negeri Indiana, hanya tempat kami melepaskan lelah. Berehat semalam untuk mengumpul tenaga bagi hari seterusnya. Tanpa disangka keesokkan harinya kami dikunjungi oleh sekeluarga sepupu saya yang kini menetap di Bloomington. Rasa sedih menyelubungi kami bila kami saling menceritakan ibunya yang baru meninggal ketika itu. Sebenarnya ibu beliau meninggal selepas beberapa hari  kami tiba di Amerika Syarikat. Alhamdulillah dia sempat pulang ke Malaysia dan menatap wajah ibunya sebelum meninggal. Kami juga sempat menziarahi ibunya sebelum berlepas ke sini. Allah sediakan pelbagai hikmah disebalik ujian yang Dia berikan. Setelah puluhan tahun inilah kali pertama kami bertemunya sekeluarga. Alhamdulillah.

Satu tempat yang sempat kami kunjungi  di Fairfield,Indiana ialah ibu pejabat ISNA(Islamic Society of North America).  ISNA ialah salah sebuah pertubuhan Islam yang terbesar di Amerika Syarikat. Di bawahnya terdapat pelbagai pertubuhan Islam yang lebih  kecil seperti Muslim Students Association, American Muslim Scientists and Engineers dan Islamic Teaching Center. ISNA  juga memberi bantuan kepada penduduk Islam dan para imigran muslim di Amerika Syarikat. Pelbagai dialog interfaith di adakan agar gejala Islamophobia dpt dikurangkan. 
Walau bagaimanapun kunjungan kami ke sana agak mengecewakan sebab bangunan ini tutup. Mungkin Cuti musim panas menyebabkan kebanyakan pekerja mengambil cuti. Oleh itu kami tidak berpeluang untuk masuk dan bersua dengan para pekerja di sana untuk mendapat maklumat terkini daripada mereka. Silap kami juga sebab tidak pastikan terlebih dahulu tentang waktu tempat ini dibuka untuk lawatan ketika itu. Namun, Alhamdulillah kami sampai juga ke tempat pertubuhan istimewa bagi orang Islam ini. 
Antara kematian dan ISNA mungkin tidak ramai yang dapat melihat perkaitannya. Yang pertama berkenaan kembli ke alam barzakh. Yang kedua berkenaan dengan usaha membantu orang Islam. Namun petikan daripada sebuah artikel majalah Solusi ini mungkin akan membuat kita berfikir yang kedua-duanya berkait. Mungkin artikel ini panjang sedikit namun membacanya membuat kita berfikir lebih mendalam. 'Siapa manusia yang paling jahat? Jika soalan ini di tujukan kepada kita, mungkin ramai yang menjawab ;"Firaun!" Benar, tidak ada sesiapa yang dapat menandingi kejahatan Firaun. Dia bukan sahaja derhaka kepada Tuhan, bahkan mengaku sebagai Tuhan. Itulah puncak segala kejahatan. Ya, secara sinis kita boleh berkata:" Sesiapa yang tidak menganggap Firaun jahat, dia juga orang jahat." Namun sejahat-jahat Firaun, dia tetap percaya akan adanya hari akhirat(kehidupan selepas akhirat). Buktinya, Firaun membina piramid dan disediakan di dalamnya semua bekalan untuk menghadapi kehidupan selepas mati. Walaupun caranya salah, namun dia yakin dan melakukan persiapan untuk menghadapi akhirat dengan caranya sendiri.  Kita pula bagaimana? Bagaimanakah keyakinan kita terhadap hari akhirat  dan apa pula persediaan kita untuk menghadapinya? Ah! ironinya, kita yang mengaku  lebih baik daripada Firaun, namun tidak pula 'seserius' dia di dalam persediaan menghadapi hari akhirat yang pasti datang itu! Mungkin sesetengah kita beranggapan bahawa keyakinan kepada hari akhirat hanya berguna untuk "kehidupan" di akhirat sahaja. Atas keyakinan itu, iman kita di kira sah dan kita menjadi seorang muslim. Sekiranya keyakinan itu tidak terjejas hngga ke akhir hayat, kita berpeluang memasuki syurga. Namun keyakinan kepada hari akhirat sebenarnya sangat memberi kesan kepada kehidupan kita di dunia. Dalam erti kata lain, beriman dengan hari akhirat akan memberikan manfaat yang sangat besar semasa hidup di dunia lagi.  Apabila manusia yakin akan adanya nikmat kekal abadi di dalam syurga, maka itu memberi kekuatan, ketabahan dan harapan untuk mengharungi apa apa jua kesusahan di dunia. Dia rela susah ketika melakukan ketika melakukan kebaikan. Dia akan sabar menempuh ujian-ujian dalam kehidupan. Tegasnya dia rela menerima penderitaan yang sedikit dan sementara di dunia demi mengharapkan kesenangan dan kebahagiaan yang lebih baik dan lebih kekal di akhirat,  Apabila manusia yakin akan adanya azab neraka , maka dia akan rela meninggalkan segala kejahatan dalam kehidupan walaupun kejahatan itu kelihatan seronok, indah dan mengiurkan. Segala kesusahan, ketidak selesaan ketika meninggalkan kejahatan sanggup diredahnya kerana menyedari azab neraka lebih pedih dan berkekalan. Prinsip hidupnya, biarlah bersakit-sakit dahulu di dunia, agar tidak bersakit-sakit di akhirat. ' Kenang akhirat, tenang di Dunia - Pahrol Mohd Juoi - Solusi  isu 101


Semoga menjadi panduan bagi kita semua untuk berkejar-kejar melakukan kebaikan menuju alam akhirat.

Thursday, February 21, 2019

Sejenak di Restoran halal dan Taman di Columbus

Dari jauh restoran halal ini kelihatan  kecil dan lama. Namun bahagian dalamannnya kelihatan kemas dan 'homely'. Restoran Durbo,sebuah restoran Somalia antara tumpuan pelajar muslim di Columbus. Kami singgah di sini sebelum menuju ke rumah anak kami tidak jauh daripada Ohio State University. 
Kami hanya memesan hanya 3 hidangan di sini memandangkan jumlah setiap hidangan sangat banyak. Bahkan ada hidangan di sajikan terus dalam talam!Alhamdulillah, sedap juga makanan yang disediakan di sini.
 
Tuttle Park hanya terletak tidak jauh dari apartment anak kami




. Taman ini merentasi Sungai Olentangy Pemandangan air sungai yang  mengalir perlahan menyejukkan mata bagi orang yang bersiar-siar. Ramai pelajar pelajar universiti yang tinggal berhampiran taman ini mengambil peluang berjogging dalam cuaca yang panas ini. Bagus juga melakukan aktiviti sebegini terutama di waktu petang.
Sungguh, Allah mengurniakan anggota badan kepada kita dan mengamanahkan kita menjaganya. Setiap anggota badan punya hak untuk dijaga agar ia sentiasa sihat. Sebagai orang Islam kita harus percaya hak anggota badan itu harus dijaga samada yang fizikal mahupun rohani. Ini sebab kedua-duanya saling berkait. Benar apa yang dibincangkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya Tenang Ada Di Sini
 
'Anggota badan umpama  anak sungai yang mengalirkan air ke hati. Sekiranya pancaindera dan anggota badan terlibat dengan maksiat seperti mengumpat, mengadu domba, memandang yang haram dan bercakap kotor, maka itu umpama air berkeladak yang akan mencemarkan kejernihan hati. 

Sebaliknya jika pancaindera membuat banyak kebaikan seperti memakan makanan yang halal, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah dan sebagainya, maka anak sungai yang mengalir ke hati ialah air yang jernih dan bersih. Hati akan bersinar dan bercahaya jadinya.' 
Semoga kita bersama-sama menjaga pancaindera kita. 

Friday, January 4, 2019

Petempatan Arab di Michigan




"Banyaknya papan tanda dalam bahasa Arab!",bisik hati kami. Di kiri dan kanan sepanjang jalan ini bangunan dan  papan tanda iklan kebanyakannya diselitkan dengan bahasa Arab. Terasa seolah-olah berada di satu negara Arab pula sedangkan kami berada tidak jauh daripada Detroit di Michigan. 

Rupa-rupanya tempat ini, Dearborn merupakan petempatan orang Arab terbesar di Amerika Syarikat. Patutlah nampak banyak iklan makanan Arab di sepanjang Warren Avenue ini.  Mengikut perangkaaan terkini menunjukkan terdapat lebih 40 000 keturunan Arab di sini. Berdasarkan sejarah, kumpulan orang Arab yang pertama berhijrah ke sini beragama Kristian. Awal abad ke 20 ramai imigran Arab yang beragama Islam mula bertapak di sini, kesan dari Perang Teluk dan perang saudara. Antara mereka ada yang berasal dari Yaman, Iraq, Syria, Palestin dan Lebanon. Kami sempat singgah di New Yasmeen Bakery untuk membeli roti dan beberapa makanan yang lain buat bekalan perjalanan seterusnya. Selain daripada roti,baklava dan makanan halal daripada luar negara, mereka juga  menjual makanan yang sudah siap di masak seperti pasta serta nasi dan lauk Arab di bahagian cafe. Mudahnya nak dapat makanan 100% halal yang di hasilkan oleh orang Islam di kawasan Dearborn ini. Mengikut Zabihah.com terdapat lebih daripada 180 buah restoran dan kafe halal di sekitar kawasan ini. Bahkan kafe halal yang menjual burger dan pizza juga terdapat di stesen-stesen minyak. Satu-satunya muzium National Arab American di Amerika Syarikat juga terdapat di sini. Malangnya kami tidak berpeluang untuk singgah disebabkan kesuntukan masa. Beberapa sekolah Islam juga didirikan di sini. Oleh itu, lebih mudah bagi anak-anak orang Islam mendapat ilmu tentang agama Islam khususnya tentang fiqh dan al Quran. Kita tidak tahu mengapa ramainya orang Arab yang berhijrah ke Amerika Syarikat meskipun kadangkala berdepan dengan isu Islamophobia. Disebalik penghijrahan ini pastinya terselit seribu hikmah bagi mereka dan orang di sekitar mereka. Selain kesusahan yang dihadapi terutama generasi awal, mereka juga punya peranan untuk berdakwah pada orang di sekeliling. Dan perkara yang utama dalam berdakwah ialah mempunyai akhlak yang baik. Untuk  kekal menjadi contoh akhlak yang baik,  penghijrahan mesti bermula daripada hati sendiri.
'Jika sebelum ini kita hanya percaya kepada Allah, marilah hijrahkan hati supaya yakin kepada Allah. " Percaya " hanya berlegar di kepala (mengetahui), tetapi  belum lagi  meresap ke dalam hati(merasai)
Yakin kepada Allah Yang Maha Melihat berbeza dengan hanya mengetahui Allah Maha Melihat. Mengetahui itu cukup dengan dalil dan hujah- kita peroleh dengan belajar. Tetapi untuk merasai perlukan penghayatan dan pengamalan - kita peroleh dengan mujahadah dan ibadah. 
Untuk sah menjadi Muslim, cukup dengan beriman pada tahap percaya. Tetapi agar iman memberi impak kepada perlakuan dan kehidupan, kita perlukan iman pada tahap yakin. Hanya iman pada tahap yakin mampu meninggalkan kejahatan. Misalnya, hanya orang yang "rasa" Allah melihat mampu untuk tidak mencuri  tetapi orang yang hanya  tahu Allah melihat masih tega melakukannya.'
Tenang di Hati- Ustaz Pahrol Mohd Juoi 
Bersambung.
https://en.m.wikipedia.org/wiki/History_of_the_Middle_Eastern_people_in_Metro_Detroit https://wdet.org/posts/2016/09/09/83848-a-closer-look-at-muslim-populations-in-dearborn-and-hamtramck/ https://www.huffingtonpost.com/brian-stone/what-if-america-looked-like-dearborn_b_9328288.html
https://en.wikipedia.org/wiki/Dearborn,_Michigan

Pulau Kecil Di Sempadan Negara


Dulu pulau ini hanya digunakan untuk padang ragut ternakan sahaja. Masa berlalu. Disebabkan kedudukannnya berhampiran bandar dan sempadan Amerika Syarikat dan Kanada,  pulau ini dijadikan satu tempat rehat warga kota.
Belle Isle terletak dalam daerah Detroit, salah satu kota yang sangat maju suatu masa dulu dengan kehadiran industri Motor Ford. Namun beberapa tahun yang lalu Detroit telah diisytiharkan bankrup dan banyak tempat tempat menarik dan perniagaan besar di sini telah ditutup. Setelah pengurusan Belle Isle ambil alih oleh syarikat persendirian, barulah tempat ini kelihatan menarik kembali. 

Untuk sampai ke sini amat mudah. Sebuah jambatan didirikan bagi menyambungkan tanah besar dan pulau ini. Jadi kami boleh memandu kereta sahaja untuk sampai ke sini tanpa perlu menaiki bot. 

 Menariknya hampir keseluruhan pulau ini ini adalah satu taman rekreasi.  Sebuah 'conservatory' (rumah kaca), akuarium, taman kolam air pancutan, muzium, pusat alam semulajadi,  pantai antara tempat kunjungan ramai di sini. Oleh itu pelbagai aktiviti keluarga dapat dijalankan di Belle Isle ini. 

Kami hanya sempat singgah  tiga tempat sahaja di sini memandangkan kami datang selepas menunaikan solat Jumaat di Dearborn.  Kebanyakan tempat yang mempunyai bangunan tertutup dibuka sehingga 5 petang sahaja.
'Conservatory' atau rumah kaca ini antara yang tertua di Amerika Syarikat(mula didirikan pada tahun 1904). Ruang didalamnya dibahagikan mengikut jenis tumbuhan. Antaranya tumbuhan tropika, tumbuhan padang pasir dan paku pakis. Tumbuhan di sini disusun menarik dan kebanyakan dilabel untuk pengetahuan pengunjung. Tanpa 'Conservatory' ini mungkin tumbuh-tumbuhan tersebut tak dapat hidup sebab musim dingin di kawasan Detroit biasanya suhunya rendah dan diliputi salji. Bahagian luar dan belakang 'conservatory' dihias indah dengan kolam dan tumbuhan berwarna warni yang boleh kekal hidup  dengan 4 musim. Malangnya kami kekurangan  masa untuk melawat bahagian hadapan 'conservatory' ini sebab ia ditutup beberapa minit selepas kami keluar daripada bahagian rumah kaca ini. 

Singgah sebentar di kolam pancutan air  dalam cuaca panas memang menyejukkan  walaupun sekadar menyaksikan dan mendengar air memancut ke atas dan deruan air mengalir ke bawah. Rupanya ramai juga yang datang ke sini sebentar untuk melihat keindahan kolam ini. Seketika kami terpandang seorang jurufoto  mengambil gambar sepasang pengantin muslim untuk diabadikan hari istimewa mereka. Daripada rupa paras mereka kami mengagak mereka berketurunan Arab. 

Kanada kelihatan sangat dekat, hanya diseberang sungai sahaja. Bangunan-bangunan di bandar Windsor seberang sungai Detroit sangat jelas dari taman ini. Namun untuk sampai ke Kanada memerlukan bayaran visa sebanyak USD 150 setiap seorang. Tak berbaloi sekiranya seseorang hanya pergi ke sana sehari dua sahaja. 

Perkhidmatan bot dan ferry cruise menyusuri sungai ini juga disediakan oleh kedua-dua pihak Kanada dan Amerika Syarikat. Biasanya musim panas inilah musim paling ramai pelancong menaiki bot dan feri ini.  Untuk tahu yang mana satu bot Amerika dan yang mana satu bot Kanada bolehlah  kita  lihat pada bendera yang dipasang di bot tersebut. 

Melihat air sungai Detroit yang mengalir tenang mengingatkan saya tentang ayat terakhir daripada surah al Mulk, satu surah yang dianjurkan kita membacanya setiap malam dan telah saya pelajari di kelas tafsir Harfiyyah:
" Katakanlahn( Muhammad),Adakah kamu tengok (berfikir) jika telah berlaku air kamu menjadi kering, maka siapa yang membawa untuk kamu dengan air (mata air) yang mengalir (daripada perut bumi)?"
Al Mulk 67:30
Nikmat air biasanya dipandang  mudah bagi kita di Malaysia ini. Allah s.w.t. berkuasa menarik nikmat air ini dengan spontan sahaja dan pastinya kita akan resah. Air adalah nikmat yang sangat penting bagi kita dan makhluk hidup di bumi ini. Jangan alpa dengan segala nikmat yang diberikan Allah yang telah dan sedang kita kecapi selama ini.

Wallahualam.

Popular Posts