Tuesday, October 27, 2015

Pasangan Ayah dan Anak yang Beriadhah di Park Point,Tasik Superior


Cuaca pagi  itu memang cerah. Kelihatan ramai orang begitu seronok melakukan aktiviti, bermain bola, berbasikal, jogging. Namun bagi kami yang baru sampai ke situ  kaki ini terasa agak berat untuk melangkah keluar daripada kereta yang mempunyai pemanas udara.Masakan tidak, suhu ketika itu 7-9 darjah Celsius. Sangat sejuk! Kenapa orang di sini begitu teruja melakukan riadhah dalam suhu begini rendah? Pemandangan tasik yang membiru di kawasan taman ini sungguh menenangkan. Kelihatan seorang perempuan dalam lingkungan usia 20an bersama-sama seorang lelaki yang agak berumur sedang berhenti berehat seketika selepas berbasikal. "Hi, Nice weather, huh?" Sapaku. "Yeah, we've been waiting for this sunny day for so long," kata perempuan itu dengan tersenyum."It had been a long winter for us here," katanya lagi.

Perempuan muda itu sebenarnya berbasikal  bersama bapanya yang sudah berusia namun masih kuat untuk berbasikal. Rumah mereka tidak jauh dari kawasan taman itu.
Seronok saya melihat dua beranak ini mengambil kesempatan beriadah bersama.

Zaman ini jarang kelihatan anak-anak remaja mahupun sudah dewasa yang sama-sama beriadhah dengan ibu bapa mereka yang dah berusia. Tidak ramai juga yang mengambil kesempatan  untuk membawa ibu bapa mereka ke taman-taman untuk menghirup udara segar. Ya, mungkin ibu bapa mereka tak mampu berjalan laju ataupun terpaksa bertongkat untuk ke sana ke mari. Namun itulah sedikit sebanyak pengorbanan anak-anak kepada ibu bapa. Kadangkala ibu bapa juga perlu keluar daripada rumah untuk menenangkan diri, sama seperti kita semua.

Memang fitrah manusia, keluar beriadah atau bersiar-siar memerhati alam ciptaan Allah ini boleh menenangkan jiwa insan yang berkecamuk. Rebutlah peluang sebegini untuk bersama ibu dan ayah selagi kudrat anda masih kuat.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah  berbuat baik kepada ibu bapamu. Jika salah seorang  atau kedua-duanya telah lanjut usia dalam jagaanmu, maka jangan sekali-kali engkau mengatakan 'ah' dan janganlah engkau membentak kedua- duanya, dan ucapkanlah kepada kedua-duanya perkataan yang baik. Rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah ,' Wahai Tuhanku, sayangilah kedua-duanya sebagaimana mereka berdua mendidikku semasa aku kecil."
(Al Isra' 17: 23-24)
Peringatan bagi diriku sendiri agar tidak terlupa.

Oh ya, tahukah di mana kami ketika itu? Sebenarnya kami berada di satu anak tanjung di Park Point, Tasik Superior, salah satu tasik besar (The Great lakes) yang paling utara di benua Amerika. Setiap kali musim dingin keseluruhan tasik ini akan membeku. Musim dingin 2015 agak panjang bagi penduduk di kawasan ini. Kami tiba di sana pada bulan Mei 2015 dan ketika itu suhu baru meningkat sedikit . Cuaca terang  inilah yang  menyebabkan penduduk di sana begitu teruja dapat keluar beriadah. Keadaan cuaca terang ini hanya di alami beberapa bulan sahaja. Selepas itu cuaca akan mula kelam menjelang musim luruh.


Syukur tak terkira bila mengenangkan cuaca Malaysia tidak sebegini dan keadaan ini membolehkan kita selalu keluar beriadah (sekiranya tidak hujan atau berjerebu). Namun adakah orang di Malaysia mengambil kesempatan melakukan aktiviti menyihatkan badan dalam cuaca  baik sebegitu?Bila agaknya kali terakhir anda bersiar-siar bersama ibu dan ayah anda?

Friday, October 23, 2015

Hargai Apa Yang Kita Miliki

Baru- baru ini saya terbaca satu artikel dalam The Star yang ditulis oleh Soo Ewe Jin yang bertajuk ' Never take things for granted'. Artikelnya hanya 1/3 mukasurat saiz sekeping suratkhabar namun banyak menyedarkan  kita tentang betapa kita selalunya tak menghargai apa yang telah ada dalam genggaman kita. Siapa yang berikannya? Sudah tentu Allah Maha Mengasihani dan Maha Berkuasa.

Berapa ramai daripada kita menghargai langit yang cerah dan membiru hanya setelah langit ini tidak kelihatan lagi, sebaliknya diselubungi  habuk dan asap yang menyesakkan pernafasan dan memedihkan mata. Berapa ramai pula yang selalu bersyukur dapat menikmati makanan yang sedap sehinggalah pada suatu hari mereka tidak dapat menjamah makanan tersebut dek kerana penyakit yang dialami. Berapa ramai lagi yang menghargai dan merindui bunyi-bunyi indah dan pemandangan ciptaan Allah yang menenangkan jiwa hanya setelah pendengaran mereka bermasalah dan mata mereka kian kabur. Malangnya, kata Ewe Jin, kita biasanya merindui dan mula menghargainya setelah keadaan ini sudah tiada lagi bersama kita.

Tuesday, October 13, 2015

Jadilah Yang Umat Terbaik

Umat  Islam mesti mencapai tahap tertinggi dalam apa sahaja yang mereka ceburi serta lakukan. Ini kerana , mereka dinobatkan sebagai umat yang terbaik.
Mentaliti CUKUP MAKAN  ataupun ALA KADAR ternyata tidak memenuhi roh Al Quran dan sunnah.
Umat Islam  wajib mencapai yang terbaik dalam semua perkara sama ada peperiksaan, karier, ibadah, iman, akhlak, ekonomi dan sebagainya. " Aim for the highest!!"
Petikan khutbah- Syeikh Syadi As Sulayman

Sumber: Berjalan ... Melihat... Mentafsir Ust Abdullah Bukhari bin Abd Rahim

Wednesday, October 7, 2015

Hijrah Rasulullah- Dari Rumah Abu Bakar ke Misfalah, kemudian ke Gua Thur (bahagian 4)

Kata pakar ' Untuk berjaya, setiap malam sebelum tidur, senaraikanlah rancangan untuk hari seterusnya." Perancangan ialah tindakan yang penting sebelum diri bergerak melakukan sesuatu yang penting. Adakah anda selalu membuat perancangan sebelum mulakan aktiviti anda?

Jika dikaji sirah hijrah Rasulullah ke Madinah, semua perancangan telah dilakukan oleh baginda sejak awal-awal lagi. Tentang masa untuk mula bergerak ke Madinah, orang yang terlibat dalam menjayakan penghijrahan ini dan pelbagai perkara lagi yang dirancang baginda. Ceramah demi ceramah kita hadiri tentang penghijrahan Rasulullah. Namun jarang kita ambil iktibar daripada segala perlakuan dan perancangan Rasulullah dalam peristiwa tersebut.

Jom kita telusuri sedikit bahagian ke 4 daripada peristiwa hijrah Rasulullah ini.

Dari rumah Saidina Abu Bakar, Rasulullah bersama sahabatnya melewati  jalan ke arah selatan di bahagian al Misfalah. Nabi saw menyedari bahawa orang-orang Quraisy akan berusaha mencarinya dan jalan utama ke Madinah ialah jalan ke utara. Oleh itu baginda melalui jalan yang terletak diselatan Mekah menuju ke Yaman.

Antara jalan yang dilalui Baginda s.a.w. ialah berhampiran Masjid Saydina Hamzah yang terletak di Misfalah. Masjid Sayidina Hamzah di Misfalah ini terletak di Jalan Ibrahim Al Khalili. Hotel yang pernah kami tinggal semasa mengerjakan umrah terletak di kawasan Misfalah. Ianya lebih kurang 800 m dari  Masjidil Haram. Oleh itu bolehlah kita anggarkan jarak dari Makkah ke kawasan Misfalah  lebih kurang 1 km.

Dalam keadaan yang masih gelap, baginda dan sahabat karibnya meneruskan perjalanan ke Jabal Thur. Jabal thur terletak lebih kurang 6 km  dari Makkah. Ini bermakna Rasulullah telah berjalan kaki  lebih 6 km untuk ke Jabal Thur. Sanggupkah kita berjalan dan mendaki sebegini jauh dalam keadaan gelap gulita tanpa mengetahui bahaya yang mungkin muncul di hadapan. Namun mereka berdua menyerahkan hal keselamatan mereka sepenuhnya kepada Allah. Dengan berkat keyakinan itu dan keadaan yang berjaga-jaga akhirnya mereka berjaya juga sampai di tempat yang dirancangkan.

Bila mengerjakan umrah, kita akan dibawa dengan bas yang akan mengambil masa hanya beberapa minit sahaja dari bandar Makkah. Namun Rasulullah terpaksa berjalan kaki dan mendaki Jabal Thur yang tinggi dan berbatu. Mungkin terlintas di fikiran kita tentang betapa kuatnya stamina baginda Rasulullah dan sahabatnya berjalan kaki sebegini jauh, namun tanpa keazaman yang kuat dan keyakinan kepada Allah, mungkin perjalanan ini juga tidak akan berjaya.

Sekiranya ada yang berkesempatan ke Makkah, carilah kawasan Misfalah dan anggarkan berapa lama yang anda akan ambil sekiranya anda berjalan dari Misfalah ke Gua Thur.




Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan perasaan takut dan kelaparan, kekurangan harta benda dan jwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar."
Al Baqarah 2:155

Sumber :
Sirah Nabawiyyah - Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri
Bayu Kerinduan di Bumi Haramain- Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Tuesday, October 6, 2015

Rumah Allah di Negara bukan Islam- Islamic Center Of Greater Kansas City


Entahlah  kenapa ...kini bila mengembara, hati ini lebih tertarik mendekatkan diri kepada rumah Allah. Mungkin kerana terasa selamat dan ingin sentiasa memohon perlindungan Allah. Atau mungkin juga teringin melihat tertegaknya rumah Allah di bumi itu walaupun umat Islam hanya kaum minoriti di sana. Biarpun masjidnya hanya sebuah apartment yang kecil, hati kecil saya tetap bangga dengan kewujudan masijd di sana.

Sekiranya di negara-negara Islam masjid yang didirikan oleh pihak pemerintah begitu besar, namun masjid yang kecil yang di dirikan dari kutipan sedekah dan waqaf  terasa lebih auranya dan lebih bermakna. Begitulah kebanyakan masjid-masjid di negara bukan Islam.

Pun begitu, kebanyakan Islamic Center di Amerika syarikat yang sempat kami kunjungi sedang diubah suai supaya ruang solatnya lebih besar. Islamic Center Of Greater Kansas City yang terletak di Missouri ialah antara Islamic Center yang sempat kami kunjungi baru-baru ini. Terletak di kawasan tanah yang sangat luas, Islamic Center setinggi 2 tingkat ini sedang diubah suai lebih separuh daripada bangunannya.

Alhamdulillah, biasanya pengubahsuaian dijalankan disebabkan kerana ruang solat yang tidak mencukupi untuk menampung jemaah yang ramai. Ini menunjukkan orang Islam di sana semakin ramai. Selain daripada bangunan masjid, terdapat juga sebuah sekolah Islam bersebelahan dengannya bagi anak-anak orang Islam di sana mendapat ilmu akhirat selain mendapat ilmu duniwai di sekolah biasa. Begitulah usaha umat Islam di sana. walaupun pernah mengalami pelbagai ancaman kesan daripada peristiwa Sept 11, 2001 yakni pengeboman World Trade Center di New York. Namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Semakin ramai yang memeluk Islam di sana.

Perasaan kami? Amat bersyukur bila berpeluang untuk singgah dan melihat pembangunan rumah Allah di bumi yang penuh kontroversi ini disamping seronok dapat bersua dengan American Muslim di sana. Bagaimana perasaan anda pula sekiranya berkesempatan singgah di rumah Allah di negara non Muslim?

Mungkin juga benar apa yang dikatakan oleh Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman:
Suasana ketenangan dan rahmat masjid seolah-olah punya kuasa 'membebaskan' manusia daripada kebanggaaan, kemegahan, kekalutan dan kesesakan dunia dan isinya. Zikrullah yang dibisikkan dalam keinsafan, sujud yang dimurnikan kepada al Rahman mendidik, menyusun atur dan mengembalikan trek kehidupan manusia dalam perjalanan kezuhudannya menuju akhirat.
Sumber: Solusi isu 76

Friday, October 2, 2015

Hijrah Rasulullah: Dari Rumah Khadijah ke Dar Al Nadwah

Pernah dengar tentang Al Nadwah dalam sirah Rasulullah? Jom kita telusuri selanjutnya tentang Al Nadwah ini dalam kisah hijrah Rasulullah.

Dari rumah Khadijah baginda Rasulullah saw pergi ke kawasan Dar Al Nadwah.  Tempat ini boleh dianggap sebagai parlimen Quraisy kerana di sini orang Quraisy berbincang tentang pelbagai rancangan mereka, antaranya tentang strategi menggagalkan hijrah Rasulullah s.a.w.

Dalam perbincangan itu Iblis telah menyamar sebagai seorang tua terhormat dari penduduk Najd. Abu Jahal telah mencadangkan agar seorang anak muda dari setiap kabilah dipilih untuk menikam Rasululah secara serentak. Cadangan Abu Jahal telah dipersetujui oleh semua ahli dalam parlimen tersebut termasuklah iblis tersebut. 

Namun dengan kuasa Allah, perancangan jahat mereka telah gagal.

Dar al Nadwah ini terletak  di kawasan masijdil haram juga. Tempatnya tidak jauh dari di pintu no 51 dan ia dipanggil Bab Al Nadwah.
Ambillah peluang untuk menziarahi tempat ini dan menghayati perjalanan hijrah Rasulullah.

Sumber:
  1.  Sirah Nabawiah s.a.w. -Safiyyu Al Rahman al Mubarakfuri                                                     (terjemahan YADIM)
  2. Bayu kerinduan di Bumi Haramain- Ust Ahmad Husni Abd Rahman

Hijrah Rasulullah (Bahagian 4) Rumah Abu Bakar As Siddiq


Hijrah Rasulullah bukannya mudah namun telah dirancang dengan telti agar tidak dapat dikesan oleh orang Quraisy. Bermula dari rumah Siti Khadijah, Rasulullah telah pergi kawasan al Nadwah, tempat pembesar Quraisy berkumpul dan berbincang.

Seterusnya Rasulullah bergerak ke rumah Saidina Abu Bakar. Waktu tengahari sebelum itu Baginda telah pun menyatakan rancangan tentang penghijrahan itu. Oleh itu Abu Bakar memang sudah bersedia ketika menunggu sahabat karibnya.

Mungkin  ramai yang berada di Makkah tidak menyedari mereka selalu lalu berhampiran rumah Abu Bakar. Dimanakah letaknya rumah Abu Bakar? Sebenarnya ia terletak dalam bangunan Hilton Makkah yang betul-betul di hadapan Masjidil Haram ,cuma lokasi yang dibenarkan sebagai petanda rumahnya ialah di tingkat 4. Sebagai mengingati letaknya rumah Abu Bakar di sini, sebuah masjid dibina di dalam hotel ini dan dinamakan Masjid Abu Bakar al Siddiq r.a.

Sekiranya anda berada di Makkah , jangan lepaskan kesempatan ini untuk menjejaki tempat-tempat yang disinggahi Rasulullah semasa berhijrah.Setiap tempat yang disinggahi baginda pastinya ada signifikannya.



Sumber:
1. Sirah Nabawiah s.a.w.-Safiyyu Al Rahman al Mubarakfuri(terjemahan YADIM)
2. Bayu Kerinduan Di Bumi Haramain- Ust Ahmad Husni Abd Rahman

Popular Posts