Thursday, October 9, 2014

Bahagian 6: Sejarah Hijir Ismail

Hijir Ismail ialah tempat Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan isterinya, Hajar dan anaknya Ismail di kawasan Kaabah. Ia dijadikan oleh Nabi Ibrahim sebagai tempat bangsal kawasan berteduh  dan juga menjadi kandang kambing kepunyaan Nabi Ismail a.s. kemudiannya
Riwayat ini menunjukkan pada asalnya Hijir Ismail tidak termasuk dalam binaan Kaabah. Sebaliknya merupakan kawasan kandang yang terletak di luar kawasan Kaabah. 


Namun begitu semasa kaum Quraisy membina semula Kaabah, mereka telah mengecilkannya di bahagian utara kerana kekurangan perbelanjaan. Mereka mengurangkannya sebanyak enam hasta sejengkal (3 meter) menurut riwayat yang Shahih dan memasukkannya  ke dalam Hijir Ismail. 

Abdullah bin Zubair r.a. pada zaman pemerintahannya telah meruntuhkan Kaabah dan memasukkan semua bahagiannya dalam pembinaan Kaabah. Walaubagaimanapun semasa Hajjaj memerintah, beliau telah membinanya semula mengikut binaan Quraisy dan demikianlah keadaannya hingga kini. 

Hijir Ismail pada hari ini merupakan satu binaan berbentuk separa bulatan di bahagian utara Kaabah. Tempat ini  antara tempat yang disunatkan bersolat dan mustajab doa. Oleh itu kawasan ini sentiasa dipenuhi para jemaah. Namun, biasanya orang tidak duduk lama di situ , sekadar untuk solat dan berdoa sahaja. Janganlah kita takut untuk memasukinya kerana insyaAlah dengan berdoa pasti ada tempat untuk kita bersolat dan bermunajat di situ.  

Seseorang yang bertawaf tidak sah sekiranya mengambil jalan pintas masuk menerusi Hijir Ismail kerana sebahagian daripadanya  dikira bahagian Kaabah yang asal .


Pernah Rasulullah s.a,w. bersabda kepada Aisyah r.a.  yang bermaksud;" Solatlah kamu di dalam Hijir ini kalau kamu ingin memasuki ke dalam Kaabah kerana ia adalah sebahagian daripada Kaabah.
Namun kaummu(Quraisy) kekurangan perbelanjaan ketika membinanya. Maka mengambil keputusan mengeluarkannya daripada binaan Kaabah."
(At Tarmizi no 876 ( Shahih), Shahih At Tarmizi 1/261 no 693)

Sumber: Bayu Kerinduan Di Bumi Haramain- Ust Ahamad Husni Abd Rahman

No comments:

Post a Comment

Popular Posts