Tuesday, March 28, 2017

Nasi lemak Oh Nasi Lemak

Hanya gambar hiasan semata-mata
"Tawar macam nasi putih biasa," keluh saya bila mencuit nasi lemak yang baru dibeli daripada sebuah gerai berhampiran rumah tiap kali pulang ke kampung. " Haah, Ni nasi putih." angguk suami yang sedang duduk bersama menikmati juadah pagi itu."Dulu nasi lemak bungkus macam ni sedap, lemak. Kenapa lani susah nak mencari nasi lemak yang sebenar-benarnya lemak?" tanya saya  kepada suami . Tak mengharapkan apa-apa jawapan.

Umumnya seorang peniaga atau pembuat nasi lemak tahu bahawa untuk membuat nasi lemak perlu menggunakan santan agar nasinya lemak. Tapi kenapa nasi yang biasa di beli kini tidak rasa seperti nasi lemak yang sepatutnya.

Dua kemungkinan. Pertama, memang pembuat nasi lemak tak tahu perlunya meletakkan santan untuk membuat nasi lemak. Kedua dia tahu, tapi sengaja tidak diletakkan santan sebab tak balik modal berniaga cara sebegitu.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda," Bahawasanya Allah suka seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan elok(itqan).
( Riwayat al Baihaqi)

Berniaga nasi lemak juga ibadah. Sekiranya ia satu ibadah, ia harus dilakukan dengan itqan( elok) agar mendapat keberkatan Allah. Dalam konteks perniagaan ini, apa yang dijual mestilah sekurang-kurangnya  mengandungi bahan asas supaya pembeli benar-benar mendapat nasi lemak dan bukannya nasi kosong.Dengan cara ini pembeli tidaklah rasa tertipu.
 
Berikut ialah antara bahan asas untuk membuat nasi lemak
1. Beras
2. Santan
3. Bawang kisar
4. Air dan garam
5. Daun pandan.
Bahan bahan ini cukup untuk menghasilkan nasi lemak yang sedap dan lemak.
Tanya saja orang dulu-dulu. Pasti diberikan sebegini  resepi asas bagi memasak nasi lemak. Biar apa saja lauk yang menyampingi; ikan bilis, telur, ayam dan sebaginya, nasi yang dijual mestilah sebenarnya apa yang diiklankan samada di depan gerai atau restoran. Nasi Lemak!

"Err...mak, bukanke orang masak nasi lemak guna minyak? Tak guna santan?" tanya anak saya suatu ketika dahulu. Saya tersenyum. Agak-agaknya daripada mana dia mendapat maklumat ini? Agak- agaknya apa jawapan saya?

Tuesday, March 21, 2017

Malcolm X- Daripada Nation Of Islam Kepada Iktikad Sunni

Melangkah masuk ke dalam bangunan kecil ini membawa kita menyulusuri sejarah kedatangan orang Islam ke bumi Amerika Syarikat. Ramai daripada kita hanya tahu Amerika Syarikat ialah negara barat, negara orang Yahudi. Namun ramai yang tidak tahu Islam telah hadir di bumi Amerika ini 500 tahun sebelum Columbus datang ke sini  lagi yakni sebelum abad ke 2. Orang Islam yang pertama mendarat di bumi Red Indian ini ialah Estevanico (a.k.a Mustafa Zemmouri, seorang hamba dari Morocco yang belayar dan mendarat di Florida bersama tuannnya. Namun Islam kurang menyerlah  di bumi 'Land Of Opportunity' ini sehinggalah kaum berkulit hitam bangkit beramai-ramai memeluk agama Islam. Salah seorang ketua yang paling berpengaruh ialah Malcolm X.

Berbalik saya ke cerita Malcom X
1952....
Semuanya berlaku begitu pantas. Malcolm berubah menjadi seorang islam yang berwatak begitu berbeza sekali daraiada sebelum dia masuk penjara. Islam dan penjara, akidah dan suasana  yang membolehkan ia meluangkan masa untuk bertafakkur tentang matlamat hidup. Malcolm banyakkan menghabiskan masanya membaca buku tentang keagamaan dan Nation Of Islam. Perwatakannya juga berubah  menjadi seorang yang lebih baik dan santun. Akhirnya Malcolm dibebaskan hanya 7 tahun selepas dipenjarakan.
1963..
Sikap berkaliber Malcolm


berjaya menarik puluhan ribu orang ke arah Nation Of Islam. Ceramahnya dihadiri  beribu ribu orang  berkulit hitam. Suasana Seolah-olah satunpesta namun ia  satu ceramah agama dan motivasi. Menaikkan semangat or ang berkult hitam yang sekian lama tertindas dan dipaksa ditikarkan agama asal mereka.

1964.....
Allah telah memberi hidayah kepada hambanya. Sedikit demi sedikit Malcolm mula sedar tentang wujudnya kesalahan pengangan kumpulan Nation Of Islam terutama sekali tentang ketuanya dan idolanya, Elijah Mohamad. Malcolm bertindak keluar daripada kumpulan ini dan menubuhkan kumpulan Muslim Mosque, Inc.  Pergeseran juga berlaku antara Malcolm dan Elijah serta orang- orang kanan Elijah.

Malcolm mengamabil  iktikad ahli sunnah wal jaamaah sebagai pegangannnya. Tak lama selepas itu. Allah  telah menjemputnya sebagai tetamu di Baitullah. Pernah sewaktu berada di sana, dia telah menulis surat kepada rakannya yang berada di New York. Antara kandungan suratnya:
"Belum pernah saya saksikan layanan yang sebegitu iklhas dan semangat persaudaraan yang diamalkan oleh orang daripada pelbagai warna dan bangsa sebagaimana wujudnya di sini, Tanah Suci ini, tempat tinggal Nabi Ibrahim, Muhammad dan lain-lain Nabi dalam kitab-kitab suci. ....

Terdapat puluhan ribu jemaah haji dari segala pelusuk dunia. Mereka terdiri daripada pelbagai warna kulit, daripada yang bermata biru, rambut putih hingga ke yang berkulit hitam orang Afrika. Akan tetapi kami menjalankan ibadah yang sama, memperlihatkan semangat penyatuan dan persaudaraan, satu pengalaman yang tak pernah saya percayai boleh wujud di Amerika antara golongan berkulit putih dan tidak berkulit putih.
Daripada sini saya perhatikan, mungkin sekiranya bangsa berkulit putih dapat menerima Tuhan itu Satu, mungkin juga mereka dapat menerima secara realiti manusia itu satu, dan menghentikan mengelak dan mencedera yang lain, daripada bangsa yang berlainan warna kulit daripada mereka....."

1965...
Allah telah menentukan hamba Nya yang mempunyai pengikut puluhan ribu ini hidupnya singkat. Pada umur 39 tahun,  Haji Malik Shabbazz  (nama Islam Malcolm X) ditembak mati  sewaktu berceramah di Manhattan’s Audubon Ballroom.Isteri dan anak- anaknya ketika itu berada di hadapannya, menyaksikan peristiwa yang sangat mengerikan dan traumatik itu. Perjalanan hidup duniawi Malik Shabbazz terhenti ketika itu. 4 orang anak perempuannya menjadi anak-anak yatim.Tak lama kemudian anak kembarnya lahir tanpa ayah di sisi mereka. إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Namun, apa yang dibawa oleh Malcolm X ini telah memberi kesan yang besar kepada orang berkulit hitam di Amerika Syarikat. Anak Elijah, Warith Deen Muhammad  bertindak keluar daripada kumpulan Nation Of Islam selepas bapanya meninggal dunia. Clara Muhammad ialah ibu Warith Deen Muhammad. Ibunya pernah menubuhkan beberapa sekolah, antaranya ialah sekolah untuk kaum wanita berkulit hitam. Warith Deen kemudiannya telah menubuhkan sekolah Islam mengikut pegangan ahli sunnah wal Jamaah dan menamakan sekolah-sekolah tersebut berdasarkan nama ibunya. Bangunan 'America's Islamic Heritage Museum' ialah bangunan bekas sekolah Clara Muhammad.

Warith Deen juga telah meninggal dunia. Pengikutnya menyambung usaha-usaha Warith Deen dalam menegakkan iktikad ahli sunnah wal jamaah (sunni) dalam kalangan bangsa berkulit hitam di sana.  Perjuangan mereka  masih panjang di bumi Amerika Syarikat ini. Namun Islam telah berjaya menyatukan dan mengembalikan mereka kepada agama fitrah, agama asal mereka.

 https://noorslist.wordpress.com/tag/dr-youssef-mroueh/
 http://malcolmx.com/biography/
http://islam.uga.edu/malcomx.html
https://en.wikipedia.org/wiki/Inna_Lillahi_wa_inna_ilaihi_raji%27un

Tuesday, March 14, 2017

Dua tahun Selepas Gempa

"Kenapa masjid ni macam pelik sikit. Lantai dia berhabuk. Macam dah lama tak diguna?" kata suami saya. Saya yang kurang peka tentang hal-hal ini terus mencari-cari pintu yang tidak berkunci. Ternyata tiada kelihatan yang boleh dilalui.
Kami berada di hadapan sebuah masjid daerah yang agak besar. Agak luas kawasannnya. Tapi agak musykil kenapa seolah-olah masjid ini sepi daripada kunjungan jemaah. Seluruh kawasan luar masijd dan tempat wudhuk seperti sudah lama ditinggalkan.

Saya terserempak dengan seorang tukang cuci yang sedang menyapu lantai sebuah tempat berteduh tidak jauh dari masjid. "Yang mana satu pintu yang tak berkunci?" saya bertanya sambil menunjukkkan pintu depan masjid yang di manggakan. 'Masjid ini dah tak digunakan lagi. Solat di bangunan lagi satu. Tapi pergilah dengan kereta, lagi mudah." jawabnya.
Tidak pula di terangkan  kenapa masjid ini tidak digunakan lagi,sebaliknya dia terus-menerus menyuruh kami ke bangunan di sebalik pagar.

Sampainya kami ke bangunan yang dimaksudkan, kami terserempak dengan seorang lelaki sedang mop lantai bangunan tersebut. Salam diberi dan dihulur oleh suami saya tanda berkenalan sebagai seorang Islam. Orangnya mesra, oleh itu agak mudah berkomunikasi dengannya.


Kami terus menanyakan perihal masjid yang besar di sebelah. " Masjid ni rosak teruk kesan daripada gempa bumi tahun 2015. Kubahnya ada yang jatuh, ada yang sudah senget. Dinding menara juga jatuh menghempas ke siling langsung terus ke lantai. Sangat bahaya untuk solat di situ. "
Terkejut kami mendengar penerangannya.




"Masa itu waktu pagi. Lebih kurang pukul. Ada seorang sedang mop lantai masjid masa itu. Beberapa minit sebelum kejadian, Allah menggerakkan hatinya pergi ke tempat lain untuk melakukan sesuatu. Tiba-tiba kedengaran satu dentuman. Siling di kawasan dia mop sebelum itu terhempas dengan kuatnya. Allah telah menyelamatkannya. Alhamdulillah." cerita orang tersebut lagi.
Allahuakbar. Terkedu kami mendengar penerangannnya. Namun bersyukur bila diberitahu tiada yang cedera di masjid ketika itu. Allah jua yang menentukannya hidup dan ajal hamba-hambanya.

Kami terus melangkah ke bangunan masjid untuk menyaksikan sendiri kerosakan  masjid tersebut. Memang dari jauh, kerosakannya hanya kelihatan sedikit. Menjengah ke dalam, kelihatan siling dan bumbung yang runtuh hampir mencecah lantai. Tak dapat kami bayangkan bagaimana ketulan-ketulan besar dinding simen dari menara jatuh menghempap bumbung dan siling bangunan masjid ketika itu. Kawasan wuduk juga tidak dapat digunakan. Silingnya dan bumbungnya rosak teruk. Mendongak ke atas kelihatan kubah-kubah yang senget, menungggu masa saja untuk jatuh menghempas ke bumi.

Seketika lalu seorang lelaki  tidak jauh dari kawasan wuduk. Sedar akan kehadiran kami untuk memerhati kesan runtuhan gempa bumi ini, dia menyuarakan keluhannya," Sudah dua tahun. Masih belum ada apa apa perubahan."

Ya, sudah dua tahun gempa bumi  berskala richter 5.9  ini berlaku. Namun, tiada tanda-tanda pun sudah bermula pembaikian masjid ini. Apakah dana masih  tidak mencukupi? Atau masih di peringkat perancangan?

Yang nyata apa yang banyak diwar-warkan dalam media ialah puncak gunung Kinabalu yang terjatuh kesan daripada gempa ini. Yang disibukkan ialah mengukur semula ketinggian puncak gunung Kinabalu."Jemaah yang ramai terutama sekali tika solat Jumaat terpaksa menggunakan surau-surau berdekatan. Bangunan sementara masjid yang tidak cukup luas." keluh jemaah yang kami jumpa.

Seketika saya teringat berlaku kebakaran di sebuah masjid di Texas beberapa bulan lepas. Ramai yang bersimpati rumah Allah ini tidak dapat digunakan. Selepas dilancarkan kutipan untuk pembinaan semula, jumlah yang dikutip sudah mencecah satu juta USD dalam masa beberapa bulan sahaja. Allahuakbar! golongan yang menderma bukan sahaja daripada orang Islam, malah daripada orang bukan Islam juga. Kenapa dana masjid ini begitu cepat dan banyak dikutip  di bumi yang kontroversi ini? Mungkin cara mereka patut dipelajari dan diambil iktibar oleh kita disini.


Kami terus melangkah ke bangunan sebelah untuk mengisi tabung besi masjid di ruang hadapan bangunan. Memang, melawat rumah Allah ialah antara itinerari lawatan kami ke negeri di bawah bayu ini. Insha Allah masjid yang baru yang lebih luas ditegakkan segera. Insha Allah masjid ini tidak sepi lagi bahkan kuat dan nyaring dengan jemaah yang mengaminkan Al Fatihah setiap kali solat fardhu. Insha Allah.

Elok juga kita renungi apa yang dikatakan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi:
'Ada orang yang rumahnya hampir dengan masjid tetapi tidak mampu. mendatanginya. Sebaliknya, ada orang yang rumahnya jauh dari masjid tetapi mampu mendatanginya. Ini semu soal hati. Jika hati hampir dengan Allah jarak yang jauh akan menjadi dekat. Namun jika hati jauh dengan Allah, jarak masjid yang dekat pun terasa jauh.

Di dalam masjid itulah terlaksana pelbagai jenis ibadah. Bukan sahaja bercorak habluminallah ( hubungan dengan Allah) tetapi juga habluminannas( hubungan sesama manusia) bukan hanya solat , zikir dan berdoa, tetapi masjid menjadi pusat ilmu, kebajikan, kesihatan, perhubungan dan lain- lain aktiviti kebaikan.

Rasulullah bersabda:" Mana sahaja masyarakat yang berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid- masjid), membaca dan belajar Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, mereka akan didampingi oleh malaikat, diliputi oleh rahmat dan Allah akan mengingat mereka pada makhluk-makhluk yang berada di sisinya."
( Riwayat Ahmad)'
Rehat dan Rawat Hatimu di Masjid- Pahrol Mohd Juoi Solusi Isu 74

Rujukan:
http://www.npr.org/sections/thetwo-way/2017/02/01/512826283/donations-to-torched-texas-mosque-top-1-million-in-outpouring-of-support

Seorang Berkulit hitam....seorang muslim

Terasa lama tidak menonton video. Kali terakhir menonton bersama anak-anak. Video " Bug's Life" kalau tak silap. Video yang baru saya pinjam daripada seorang sahabat ini agak istimewa. Di Malaysia mungkin jarang orang akan meminjam atau membeli video sejarah atau autobiografi sebegini. Tambahan lagi video ini bukannya berkenaan orang Malaysia mahupun berlaku di sini. Video ini ialah berkenaan  Malcolm X.

"Saya ialah seorang muslim dan akan selamanya menjadi seorang Muslim. Agama saya ialah Islam.
Saya bukan seorang rasis dalam bentuk apa sekali pun.  Saya tidak mempercayai diskriminasi atau pengasingan(segregation). Saya mempercayai Islam. Saya seorang muslim dan tidak ada apa-apa kesalahan menjadi seorang Islam, tiada apa-apa kesalahan dalam agama Islam. Agama ini mengajar kita mempercayai Allah ialah tuhan kita. ........"
Sumber: http://www.malcolm-x.org/islam.htm

Itulah antara ucapan Malcolm X, seorang pejuang kulit hitam yang telah berjaya  menarik lebih 30 000 orang menjadi pengikutnya sebagai orang-orang Islam berkulit hitam di Amerika Syarikat.

Mungkin di Malaysia tidak ramai yang mengenalinya. Yang kita tahu ialah orang berkulit hitam semakin ramai berada di negara kita. Mereka mungkin dari Nigeria, Sudan atau pun Somalia. Sering juga kita memandang rendah terhadap mereka yang berkulit hitam ini. Maklumlah apa yang disiarkan di media, penyalahgunaan dadah mahupun kegiatan yang tidak bermoral sering dikaitkan dengan mereka.

Namun apabila berada di Amerika Syarikat, janganlah terkejut dengan kehadiran begitu ramai orang-orang berkulit hitam ini. Mereka ini tampil dengan pelbagai  watak dan peranan yang begitu berbeza sekali daripada apa yang kita perhatikan di negara kita. Malah bangsa berkulit hitam sendiri sudah pernah menjadi presiden yang disegani dan disukai oleh rakyat Amerika Syarikat.

Perjuangan bangsa kulit hitam di Amerika Syarikat sudah begitu lama. Bangsa mereka dahulunya dibawa dari Afrika sebagai hamba. Perlu diingatkan kisah penghambaan ini wujud di merata-rata tempat  di dunia termasuklah di tanah Arab dan negara kita. Oleh itu saya tak akan bincangkan topik penghambaan di sini.

Terus terang saya  mengaku nama Malcolm X ini lebih saya kenali sewaktu saya mengembara bersama keluarga di Amerika Syarikat dan bukan sewaktu saya belajar di sana tahun 1980an dahulu. Nama pejuang kulit hitam yang lebih dikenali di Amerika syarikat ialah Martin Luther King. Tugu peringatan Martin Luther King juga terdapat di National Mall,Washington DC. National Mall ialah sebuah taman yang besar yang dibina berdasarkan sejarah Amerika Syarikat. Namun Malcolm X diingati di sebuah muzium Islam yang kecil, di Washington DC atas usaha orang Islam berkulit hitam sendiri . Pernah ke anda yang melancong atau belajar di Amerika Syarikat berkunjung ke muzium ini?
Bersambung.

Wednesday, March 1, 2017

Kejayaan Trump Ada Hikmahnya

4 bulan berlalu. Demonstrasi jalanan masih hebat berlaku. Rakyat Amerika berterusan marah dengan keputusan pilihanraya di negara mereka. Rakyat Islam khususnya yang berada di negara ini resah...takut... bingung. Resah dengan tindakan yang akan diarah oleh Trump. Takut dikejar oleh pihak berkuasa. Bingung ke mana mereka harus tuju.
Namun jika difikirkan dari satu sudut kejayaan Trump memegang tampuk sebagai presiden Amerika punya pelbagai hikmah. Rakyat dunia kini tahu betapa ramainya umat Islam di Amerika Syarikat. Bukan saja sebagai imigran(pendatang), penduduk tetap (permanent resident) tetapi juga sebagai rakyat Amerika yang berkulit hitam dan berkulit putih. Berdasarkan Pew Research Center, terdapat 3.3 million orang umat Islam di Amerika Syarikat pada tahun 2015. Dan angka ini dijangka meningkat lagi pada tahun-tahun mendatang.

Pengembaraan saya sekeluarga di bumi Uncle Sam ini  beberapa kali juga membuktikan betapa ramainya umat Islam khususnya di bandar-bandar besar seperti Los Angeles, San Francisco,  New York dan Chicago. Bahkan orang Islam bukan hanya terdapat di bandar-bandar ini sahaja, malah juga di bandar- bandar di bahagian utara dari Sioux Falls di South Dakota hingga ke Nashville di Tennessee. Ini hanya sebahagian daripada masjid-masjid  yang saya sekeluarga sempat singgah. Tahu tak, masjid juga terdapat nun di utara sehingga  ke Alaska!

Allahuakbar! Memang orang Islam hadir di hampir setiap pelusuk di bumi Uncle Sam ini. Bagi kami yang pernah mengembara ke sana, kadangkala kami disapa dengan ucapan salam dengan tiba-tiba. Terkejut juga sebab tidak menyangka orang berkulit putih mahupun hitam di hadapan kami sebenarnya seorang Islam.

Selama ini ramai daripada kita hanya memandang sebelah mata sahaja kehadiran orang Islam di bumi yang kontroversi ini. Mungkin disebabkan media hanya memaparkan suasana keganasan mahupun tindakan pemimpin di sana. Maklumlah berita dari negara ini memang sepantas kilat tiba dengan teknologi terkini dan mendapat liputan luas berbanding negara-negara lain. 

Anehnya ramai yang tertarik dengan Islam dengan melihat cara hidup orang Islam di sana. Seterusnya mereka banyak menyelidik sendiri tentang Islam. Allah telah membantu mereka setelah mencari-cari ketenangan dek jiwa yang kosong. Bantulah mereka dan doakanlah untuk mereka....Insha Allah Islam akan membawa ketenangan kepada mereka di sana.

Jika difikirkan lebih jauh dan berbalik kepada keadaan kita di Malaysia, banyak iktibar yang boleh kita ambil daripada keadaan pasca pilihanraya Amerika Syarikat. Usahlah kita berpeluk tubuh dan berbangga dengan Islam yang ada pada diri kita. Umat Islam di Amerika Syarikat berjaya menarik ramai jiwa yang kosong di sana dengan menunjukkkan contoh akhlak yang baik dengan pelbagai aktiviti interfaith mereka. Bagaimana pula kita disini dengan orang bukan Islam di sekeliling kita. Jom kita berusaha berakhlak baik sebagai permulaan.

'Islam mengajar umatnya agar buta warna kulit dan latar bangsa. Keadilan dalam layanan terhadap sesama Muslim itu dibuktikan dengan jelas dalam hadith Nabi:" Wahai manusia ! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama( Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab  ke atas ' ajam' ( yang bukan Arab), atau 'ajam' ke atas Arab, atau yang berkulit merah  ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkuit merah melainkan ketakwaan."
(Riwayat Ahmad)'
Ezry Fahmy Eddy Yusof- Solusi Isu 98


Rujukan tambahan:https://www.salatomatic.com

Popular Posts