Tuesday, March 29, 2016

Mulakan Berbuat Kebaikan

Baru-baru ini saya menonton sebuah video yang tentang memberi pertolongan boleh merupakan satu proses yang memberi kesinambungan. Video yang dilakonkan oleh orang Barat itu memperlihatkan betapa dengan satu pertolongan yang sangat kecil walaupun sekadar menolong orang melintas jalan atau menolong mengangkat barang boleh menjadi motivasi bagi seseorang menolong orang lain pula.

Saya kurang ingat susunan pertolongan atau perbuatan baik dalam video tersebut. Ia mungkin bermula daripada seseorang buruh yang hanya membantu seorang budak yang jatuh semasa berbasikal. Kemudian, insaf dengan pertolongan tersebut, budak itu ternampak seorang tua sedang melintas jalan dan mengangkat barang yang berat. Lantas, dia cepat-cepat membantunya dengan mengangkat barang tersebut. Tak lama selepas itu, orang tua itu pula ternampak seorang perempuan sedang mencari-cari duit syiling di dalam beg tangannya untuk bayaran parkir kereta. Terus dia menghulurkan duit syilingnya. Terkejut lalu tersenyum perempuan tersebut menerima wang itu dengan syukur walaupun jumlahnya hanya beberapa sen.

Kemudian, perempuan itu ternampak seorang pemuda tampak lemah meminta sedekah, duduk tak jauh dari situ lalu dibelikannya frankfurter daripada sebuah gerai tidak jauh dari situ. Terkejut pemuda tersebut namun diterimanya dengan penuh kesyukuran. Pemuda itu ternampak pula seorang lelaki terjatuh sekeping kad sewaktu dia keluar dari sebuah kedai lalu dia berlari memulangkannya. Lelaki  itu begitu gembira mendapat semula kadnya. Seketika, dia ternampak seorang pelayan perempuan dimarahi oleh bosnya lalu dia kelihatan sedih. Lantas sewaktu lalu di tepi sebuah gerai bunga dia membeli sejambak bunga dan menghadiahkan bunga tersebut kepada pelayan tersebut. Pelayan tersebut tersentak namun menerimanya dengan gembira. Semangat untuk bekerja kembali pulih.. Pelayan itu kemudiannya memerhatikan seorang buruh sedang bekerja dalam terik panas lalu menghadiahkan sebotol air kepadanya. Dan sungguh tidak sangka buruh itu ialah orang yang mula-mula sekali membuat kebaikan.

What goes around comes around. Hidup ini seperti putaran roda. Setiap kebaikan yang kita mulakan, Insha Allah akan dibalas oleh Allah sejak di dunia lagi. Sebagai orang Islam kita lebih beruntung kerana semua kebaikan yang kita lakukan pastinya mendapat balasan di akhirat kelak, biar sekecil atom sekali pun. Bahkan kita disuruh berlumba lumba berbuat kebaikan.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan apa saja kebajikan yang mereka kerjakan, maka sekali-kali mereka tidak dihalang (menerima pahalanya) dan Allah Maha mengetahui orang yang bertakwa." [Ali 'Imran 3: 115]

Mungkin benar apa yang dintakan oleh Ust Umar Muhammad Noor dalam majalah Solusi isu 85
'Muslim yang terbaik bukanlah orang yang paling pandai berceramah, tetapi yang paling besar khidmatnya kepada manusia. Seorang muslim tidak mendiamkan kesusahan orang lain. Jiwanya selalu tergerak untuk membantu. Bahkan tidak sesekali dia menghampakan harapan orang lain kepadanya. Paling kurang memberi kata-kata semangat untuk meringankan kepedihan orang yang meminta pertolongannya.'
Ibn Abbas berkata:" berbuat baik kepada manusia ialah suatu ibadah kepada Allah, menarik cinta manusia dan tanda kesyukuran yang kekal."

Contohilah tindakan Said bin Jubair. Tokoh tafsir yang merupakan anak murid Ibn Abbas ini sangat aktif dalam kerja-kerja sosial dan membela nasib umat. Umar bin Ziadah berkata: "Setiap kali melihat Said bin Jubair, aku melihat beliau bak rahib. Beliau selalu berpusing ke rumah orang  tua-tua dan bertanya: 'Adakah hajat yang boleh saya belikan? Adakah kamu memerlukan bantuan?"'

Bersama-samalah kita berbuat kebaikan!

Thursday, March 10, 2016

Dahulunya sebuah Masjid.....

Dari luar bangunan ini kelihatan seperti banglo setingkat atau setingkat setengah dan mempunyai garaj bertutup. Terletak di kawasan perumahan, bangunan ini kelihatan agak sesuai dijadikan masjid sementara.

Namun terasa agak janggal pula. Tidak kelihatan pula papan tanda masjid atau Islamic Center di sini. "Alamak, betul ke ini masjid?" tanya Muaz kepada saya. Suami saya membuat keputusan untuk keluar dan melihat betul atau tidak bangunan ini sebuah masjid.

Sudah ditakdirkan kami tidak dapat menunaikan solat di masjid yang kami telah singgah sebelum ini. Masjid yang kami singgah itu di dapati berkunci dan kami tidak dapat memasukinya. Dalam keadaan cuaca berangin dan sejuk menusuk hingga ke tulang kami reda dengan ketentuan Allah ini.

Semasa mengembara, solat ialah ibadah yang amat penting kita laksanakan. Seorang musafir sangat bergantung kepada Allah untuk perjalanan yang selamat dan selesa. Mana mungkin seorang Islam yang mengembara hanya semata-mata berdoa mengharapkan pertolongan Allah tanpa mengambil berat untuk mengerjakan solat. Solat menghubungkan diri kita dengan Allah. Selepas menghubungkan diri dengan Allah yang menciptakan diri kita, barulah kita boleh memohon pertolongannya.

Firman Allah yang bermaksud:
"Mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan solat. Sesungguhnya solat sangat berat kecuali bagi orang yang khusyuk. Iaitu orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan kepadaNya mereka akan kembali." [Al Baqarah 2:45-46]

Dari jauh kami ternampak seorang perempuan sedang membasuh pinggan di sinki rumah tersebut.Saya pun melangkah keluar kereta dengan harapan untuk menanyakan wanita tersebut. Ketika memberi salam dan menanyakannya samada dia tahu di mana Islamic Center berdekatan, dia membuat isyarat tanda dia tidak memahami apa yang kami bicarakan. "Alamak, macamana nak tanya ni," tanya saya kepada suami.

Tidak jauh daripada rumah tersebut, kelihatan sekumpulan kanak kanak sedang bermain di halaman sebuah rumah. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka datang berjumpa kami. Alhamdulillah walaupun tampak dia berkulit sawa matang dia boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Terus kami menanyakan kepadanya tentang Islamic center yang  berdekatan. Lantas dia memberitahu tentang  Islamic Center yang telah kami singgah tadi . "Usually it's locked. But if you want to go there I can give you the code to unlock the door," katanya.

Lama berbual barulah kami tahu yang ibunya yang  memanggilnya supaya dapat berkomunikasi dengan kami. Kami memberitahunya yang kami sedang mencari masjid yang beralamat di situ. Sambil mengiakan itulah alamatnya, dia memberitahu kami itu rumahnya dan memang benar dulunya rumahnya itu sebuah masjid. Namun masjid ini tidak lagi digunakan dan hanya masjid di Layton tempat kami singgah sebelum itulah hanya satu-satunya masjid di kawasan itu. 

Agaknya menyedari  keletihan kami, tanpa berfikir panjang dia mempelawa kami untuk menunaikan solat di rumahnya sahaja. "You can pray at the prayer hall that was used before. Everything is the still there." Terus dia memanggil ayahnya yang berada di dalam rumah untuk memberitahu ayahnya tentang pelawaan tersebut.

Tak lama selepas itu  kelihatan seorang lelaki keluar daripada rumah tersebut. Sambil memperkenalkan dirinya sebagai Muhammad (bukan nama sebenar) dan ayah kepada kanak-kanak tersebut, dia menjemput kami ke bahagian bawah rumah nya (basement) dimana terletakya dewan solat bagi masjid dahulu. Sambil turun dia memperkenalkan anak lelakinya, Zain yang telah mempelawa kami solat sebelum itu.

Betul kata Zain, dewan ini masih kelihatan seperti dewan solat. Permaidaninya sudah tersusun ke arah kiblat. Bilik air untuk menyucikan diri dan mengambil wudhuk juga terdapat di bahagian ini. Sambil menunggu kami bersiap-siap untuk solat, kami dihidangkan jus jambu batu oleh anak-anaknya. Muhammad dan anak-anaknya duduk menunggu kami menunaikan jamak solat zuhur asar  di situ.

Kami menggunakan peluang itu untuk berkenalan dengan keluarga Muhammad. Lelaki berketurunan Pakistan ini datang ke Amerika Syarikat untuk menyekolahkan anaknya di sana. Bukannya untuk menetap terus, namun memberi peluang bagi anaknya menimba ilmu di sana. Kemudian mereka bercadang akan kembali ke negaranya semula.

Muhammad memberitahu kami bahawa orang Islam di daerah itu tidak ramai. Jemaah solat Jumaat di Masjid Al Farooq, Layton itu hanya 30 orang. Mungkin sebab itu orang Islam di sana tidak mampu lagi membayar sewa bagi masjid yang lain.

Muhammad meminta maaf sebab isterinya tidak mahir berbahasa Inggeris. Maklumlah ketika itu tidak sampai setahun mereka berada di negara Uncle Sam ini. Namun beliau sentiasa mengawasi anak-anaknya agar tidak terpengaruh dengan budaya orang di sana dan memastikan mereka sentiasa bersolat. Syukur mempunyai seorang bapa seperti Muhammad yang sentiasa memastikan ibadah sentiasa terjaga dan diamalkan oleh ahli keluarganya walaupun jiran-jirannya ramai yang bukan Islam.

Usai solat, kami meminta diri untuk meneruskan perjalanan. Perjalanan kami ke utara, iaitu di Teton Valley, Wyoming masih jauh lagi dan hari sudah semakin gelap.

Semasa bersalaman Muhammad berkata," You're always welcome to here anytime. We are muslims. We're brothers, right?" Terkedu mendengar kata tuan rumah yang tidak pernah pun mengenal kami sebelum ini. Atas dasar saudara seIslam, kami menjadi seperti sahabat. Besar hatinya untuk menjemput kami ke sana lagi.

Memang begitulah kebiasaannya jika bertemu sesama Islam di Amerika Syarikat ini, yang majoritinya bukan orang Islam. Bila bersua tetap memberi salam, bila susah tetap ada yang membantu dan bila mengembara tetap ada yang memastikan perjalanan kami selesa. Alhamdulillah. Orang Islam itu tetap bersaudara walau berada dimana saja.

Hayati lirik nasyid ini
"Pada arah yang sama kita berdiri
 Pada air yang sama kita bersuci
 Pada takbir yang sama jangan bertengkar
 Pada doa yang sama usah menyendiri
 Sebarkanlah..bersabarlah"
[Akhil Hayy, Salleh Brothers, Amir Pearl, Azahari Nowseeheart.]

Friday, March 4, 2016

Islam Telah Lama Bertapak di Mountain West

Dari jauh kami cuba mencari kot-kot ternampak bentuk kubah atau bangunan besar yang boleh kami anggap sebagai masjid. Namun agak susah kami berjumpa bangunan sedemikian di kawasan 'Mountain West' ini. Islamic Center di sini tidak sebanyak di kawasan barat dan timur Amerika Syarikat. Juga tidak sebesar Islamic Center atau masjid yang terdapat di sana . Mungkin juga sebab bilangan orang Islam di sini tidak ramai. Sumber kewangan pula agak terhad. Walau bagaimanapun Islam telah lama bertapak di sana. Ternyata orang Islam masih bertahan di sana.

Islam of the Mountain West, itulah antara tema pengembaraan kami di Amerika Syarikat pada tahun 2015. Sambil kami mengembara kami mencari jejak-jejak Islam dan muslim di kawasan 'Mountain West'.  Daripada 6 negeri  Mountain West ini kami telah sempat menjelajah 3 daripadanya iaiatu Colorado, Utah dan Wyoming.

Sejarah menceritakan Islam telah sampai ke kawasan "Mountain West' ini  sejak tahun 1538 lagi menerusi seorang hamba dari Morocco yang bernama  Estevanico (aka. Mustafa Zemmouri) semasa menyusuri Sungai Colorado dalam ekspedisi orang Sepanyol. Kebolehan Estevanico merawat pesakit menyebabkan dia dihormati dalam kalangan puak India Amerika.

Satu laporan menyatakan  seorang Islam dari Syria, Haji Ali diupah oleh tentera Amerika untuk membuka laluan jalan unta dari Fort Defiance di New Mexico dan Fort Mohave di Arizona hingga ke California. Mungkin kerana kesukaran menyebut Haji Ali ini menyebabkan masyarakat di sana  menggelarnya Hi Jolly. Haji Ali akhirnya menetap di Quarzite, Arizona dan meninggal dunia di situ. Bandar Quarzite ini terkenal dengan syarikat Hi Jolly and the Camel Corps.  Kewujudan syaikat ini menandakan Islam telah lama tiba di kawasan tersebut.

Setakat ini tidak ada perangkaan tentang bilangan orang Islam di Mountain west ini. Kajian yang dijalankan oleh Pew Research Center dikatakan tidak melibatkan orang Islam di 'Mountain West' ini sebab taburan penduduk Islam di sini tidak padat di satu-satu tempat. Mengikut laman web http://muslimsinmountainwest.org/  bilangan umat Islam di sini jumlahnya di antara 85 000 hingga 120 000 orang! 

Jika di Colorado, terdapat banyak masjid di kawasan Denver, berbeza pula di Utah. Di kawasan Salt Lake city, ibu negeri Utah dan sekitarnya bilangan masjidnya agak sedikit. Adanya laman web Zabihah.com memudahkan kami mencari masjid-masjid yang tidak jauh daripada lebuhraya yang kami lalui. Maklumlah sebagai pengembara kami kesuntukan masa. Biarlah sekurang-kurangnya kami dapat singgah di Islamic Center atau masjid yang berdekatan perjalalanan kami. Dapat juga kami bersua dengan orang-orang Islam di sana.

Rasulullah bersabda:" Mana sahaja masyarakat yang berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid-masjid), membaca dan belajar Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, mereka akan didampingi oleh malaikat, diliputi oleh rahmat dan Allah akan mengingat mereka pada makhluk-makhluk yang berada di sisinya." (Riwayat Ahmad)

Sampainya kami di Masjid Al Farooq, kawasannya kelihatan agak sunyi.  Masjid yang kelihatan seperti sebuah rumah kedai setingkat ini seolah-olah tiada orang di dalamnya. Pintunya berkunci. Hampa harapan kami untuk singgah menunaikan solat. Namun kami akur dengan keadaan begitu sebab banyak Islamic Center  di negara ini di kunci sebaik saja selesai solat fardhu berjemaah. Mungkin gusar dengan pengaruh  Islamophobia atau anti Islam di sana. Walau bagaimanapun kami bersyukur meskipun kecil, wujudnya Islamic Center di sini memudahkan umat Islam berkumpul dan mengerjakan solat jemaah serta solat Jumaat. Juga mengerjakan aktiviti-aktiviti lain yang bermanafaat.

Mungkin betul juga apa yang dikatakan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi,
"Kekuatan masjid bukan pada hiasan, peralatan atau kecanggihan yang ada padanya. Kekuatan masjid terletak kepada roh manusia yang mengimarahkannya. Semakin ramai yang bersolat, berzikir, berdoa dan melakukan amal kebaikan di dalam sebuah masjid, maka semakin hebat 'aura' yang dipancarkan untuk menarik hati-hati yang lain untuk kembali kepadanya."
Rehat dan Rawat Hatimu di Masjid- Pahrol Mohd Juoi  Solusi Isu 74
Harapan kami semoga masjid ini sentiasa diimarahkan oleh para jemaahnya, Insha Allah.


Oleh kerana tidak dapat bersolat di sini, cadangan alternatif untuk menunaikan solat jamak zuhur asar segera dibincang. Agak- agaknya dimana kami menunaikan solat fardhu tersebut?

Bersambung.




Tuesday, March 1, 2016

Aplikasi Scan Halal- Mudah Tapi Rujuk Juga Pada Senarai Halal

Apabila kita menggunakan scan halal, ada beberapa perkara yang mungkin membuat anda tertanya-tanya. Kenapa makanan ini boleh dimakan manakala makanan yang lain tidak. Apabila di nyatakan 'You can use this product', boleh lah kita anggap ia halal di makan atau digunakan. Apabila tertera 'You're avoiding this product' ini bermaksud produk itu haram dimakan atau digunakan. Manakala 'Unknown verification pending' ini bermakna produk itu perlu diselidik lebih lanjut lagi tentang status kehalalnya. Bahan kandungan (ingredients ) yang mungkin diragui ialah yang bergaris merah. Manakala yang bergaris hijau sudah dipastikan status kehalalannya. Antara bahan yang biasanya digariskan hijau atau merah termasuklah
  1. Whey- di scan halal ini hanya diletakkan kita boleh menggunakan/ memakan produk ini kerana ia dibuat daripada susu lembu. Dalam laman web Muslim Consumer Group, persoalan tentang whey diterangkan dengan agak panjang lebar. Secara kesimpulan daripada perbincangan dalam laman web ini, whey ini halal sekiranya  produk ini bertanda halal atau kosher. Sekiranya produk yang mempunyai bahan whey ini tiada simbol kosher atau halal, status kehalalan produk ini diragui.
  2. Enzymes- enzymes boleh didapati daripada tumbuhan dan juga binatang. Sekiranya tertera 'microbial enzymes',  bahan in diambil daripada sumber bijirin, tumbuhan ataupun yis.
  3. Niacin- bahan ini boleh bersumberkan daripada bijirin, tumbuhan ataupun daging. Sekiranya tidak dinyatakan sumber niacin ini, elok dijauhkan sebab ia mungkin bersumberkan binatang.
  4. Riboflavin- sama seperti niacin, riboflavin mungkin bersumber daripada bijirin, tumbuhan atau hati  binatang. Sekiranya di scan halal disahkan ia bersumberkan binatang,ia boleh di statuskan sebagai tidak halal.(sekiranya tiada simbol halal atau kosher)
  5. Natural flavor- ramai orang Malaysia beranggapan, sekiranya satu-satu produk itu bersumberkan bahan semulajadi, sumber produk ini semestinya daripada tumbuhan. Di Amerika Syarikat 'natural flavor' boleh bersumberkan  bijirin, tumbuhan mahupun binatang. Natural flavor yang berstatus kosher tidak bermakna ia halal sebab alkohol mungkin digunakan sebagai pelarut dalam prosesnya. Oleh itu kosher natural flavor tidak dianggap halal. Sekiranya natural flavor itu hanya melibatkan bahan mentah tumbuhan barulah orang Islam dibenarkan makan.(bahan mentah daripada daging halal jarang dinyatakan pada produk am kecuali yang bersimbol halal)
  6. Vanilla extract - vanilla in biasanya diproses bersama 35% alcohol. Oleh itu statusnya tidak halal. Walau bagaimanapun 100% pure vanilla beans statusnya halal. Vanillin alah sejenis perisa yang dibuat daripada tumbuhan atau diproses secara sintetik.Oleh itu vanillin halal di makan.







Banyak lagi tentang kandungan bahan-bahan ini yang perlu kita pelajari. Apa yang menguntungkan dengan adanya senarai halal ini dan juga scan halal kita akan mempelajari lebih banyak tentang nama-nama bahan ini  dan peka tentang kandungan makanan yang halal atau tidak untuk dimakan.

Jika di Malaysia ramai daripada kita kurang mengambil tahu tentang status kehalalan satu-satu produk dan banyak begantung kepada Jakim, di luar negara kita perlu tahu bermacam-macam perkataan yang pelik yang berkaitan bahan kandungan dan berusaha untuk mendapat barang yang halal untuk dimakan dan di guna. Insha Allah semua usaha kita ini mendapat balasan di akhirat kelak.

Bagaimana? Sudah cuba aplikasi scan halal ini? Silakan cuba.

Popular Posts