Wednesday, August 26, 2015

Ada manfaat ke membaca cerita fables, cerita kancil dan cerita fantasi?

Sesekali ketika mengemas buku-buku kecil dan nipis di rak buku yang kecil ini, saat-saat menyeronokkan bercerita bersama anak-anak menyapa kembali. Waktu itu mereka masih kecil dan saya menggunakan masa sebelum tidur untuk bercerita dengan menggunakan buku-buku tersebut. Walaupun adakalanya meletihkan dan langsung tertidur di katil anak, bagi diri seorang ibu masa sedikit yang digunakan ini sangat bermakna. Bukan saja mengeratkan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak, malah pelbagai ilmu dapat diselitkan.

Kerap kali cerita yang dipilih ialah cerita fables, cerita rakyat,Islamik dan cerita fantasi, Saya tidak ingat siapa yang memilih cerita-ceritanya sebab buku cerita sedemikian sangat banyak kami beli. Setiap kali pameran buku antarabangsa dan lain-lain pameran buku, tempat-tempat inilah yang kami tuju. Gamaknya sebab itulah anakku menjadikan membaca buku antara hobi utama mereka.

Dengan meluangkan masa sedemikian, ia membentuk ikatan antara anak dengan ibu serta ayah walaupun hanya seketika. Sepanjang ingatan saya aktiviti ini mengambil masa tak sampai pun setengah jam. Namun disebabkan kami seronok menghayati cerita-cerita tersebut kesannya dapat saya lihat sewaktu mereka belajar di sekolah rendah lagi. Alhamdulillah anak- anak saya jarang mengalami masalah dalam pelajaran mereka, baik dari segi bahasa mahu pun dari subjek-subjek lain.

Pernah saya dengar tak payahlah nak baca buku fables barat atau fantasi dari barat. Takut syiriklah. Disebalik menceritakan bahayanya syirik kepada aqidah orang Islam, eloklah kita berfikiran terbuka ketika bercerita. Kadangkala dunia fantasi ini juga boleh memotivasikan kita atau boleh membawa kepada penciptaan alat moden yang memudahkan manusia. Sebagai contoh, cerita Rapunzel yang  menceritakan tentang rambutnya yang sangat panjang sehingga boleh mengangkat ibu angkatnya (seorang ahli sihir) ke atas menara. Mungkin daripada cerita ini juga timbul idea untuk menghasilkan lif bagi golongan OKU di rumah, bukan saja di pejabat dan pusat membeli belah. Ataupun cerita berkenaan The Pied Piper of Hamelin yang berjaya mengeluarkan tikus-tikus daripada sebuah pekan membolehkan penciptaan satu alat yang menggunakan satu bunyi yang boleh mengurangkan serangga perosak. Bukankah kata bijak pandai 'invention comes from a lot of imaginations'.

Cerita-cerita Fables, kepahlawanan melayu  dan Islamik banyak memberi pengajaran yang baik. Usahlah kita mengharapkan anak-anak saja membaca dengan sendiri tanpa kehadiran kita di sisinya kerana  aspek pengajaran daripada cerita tersebut jarang berkesan. Anak-anak akan hanya seronok dengan jalan penceritaannya sahaja.

Kata seorang ustaz di radio baru-baru ini, kita ini sering menyalahkan orang lain sekiranya berlaku yang tidak baik kepada kita. Sekiranya tidak ada orang, kita salahkan kepada syaitan pulak. Seringkali kita menyalahkan pihak barat bagi apa saja masalah akhlak tanpa menuding jari ke arah diri kita sendiri.

Betullah apa yang disebutkan oleh Imam Global dalam majalah Solusi iaitu dengan mengamalkan Islam dahulu barulah kita boleh bahagia, maju dan berjaya. Bukan sebaliknya. Bukankah  agama Islam itu syumul yang merangkumi setiap aspek kehidupan?
 Tanpa mendahulukan hak Allah, belum tentu kita akan memperolehi apa-apa kejayaan.

'Pesan Rasulullah lepada Abdullah bin Abbas:
"Ingin aku ajarkan kepadamu beberapa untai kalimat, nescaya Dia akan menjagamu.
Jagalah Allah , nescaya engkau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah.
Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberimu suatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain daripada apa yang Allah tetapkan untukmu. Dan andai mereka bersatu untuk melakukan sesuatu yang membahayakan kamu , maka hal itu tidak akan membahayakanmu kecuali apa yang telah Allah tetapkan  untuk dirimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering."
Riwayat al Tarmizi)'
(sumber- Agama Orang Agama- Solusi isu 82)

Buku buku ini walaupun ada yg lusuh dek dimakan usia saya berharap dapat menjadi khazanah ilmu buat generasi seterusnya samada cucu-cicit saya, saudara atau sesiapa saja. Namun bila dikenang dunia digital kini yang kian berkembang pesat, apakah mungkin lembaran buku-buku ini diselak-selak  kembali untuk dibaca oleh generasi kemudian hari. Wallahualam

Tuesday, August 25, 2015

Friday, August 21, 2015

Kematian dan akhirat

" Insyaa Allah saya akan dapat berjumpa dengan ayah disyurgakan nantikan? Kematian hanya perpisahan sementara," ujar seorang kepada seorang temannya.
" Kita ni layakkah masuk syurga?" kata temannya
" InsyaaAllah. Saya akan cuba berubah, " katanya lagi kepada temannya.
Air matanya mula mengalir ke pipi apabila teringat ayahnya yang baru pergi menyahut Illahi. Namun azamnya begitu kuat untuk berubah agar dia dapat bertemu ayahnya kelak. InsyaaAllah dengan kekuatan azamnya dan kesediaannya untuk berubah dan berakhir hayatnya dengan husnul khatimah, dia akan bertemu juga ayahnya kelak di syurga.

Dalam usia yang lebih separuh abad ini, setiap kali menziarahi jenazah,  kerap kali ia membawa seribu keinsafan. Takut memikirkan cukupkah amalanku, solat aku selama ini ok ke atau bolehkah sedekah jariah aku yang tak seberapa membantuku di akhirat kelak. Gentar aku memikirkan betapa sakitnya sakaratul maut, seksaan dalam kubur  dan yang paling  menggerunkan ialah seksaan neraka yang dahsyat. Nauzubillah min zalik . Semuanya bermain  di fikiran ini setiap kali menziarahi jenazah. Aku kira rakan seangkatan ku juga mempunyai perasaan yang sama denganku.

Baru-baru ini sewaktu menziarahi jenazah saudara rapat, aku sempat bersembang dengan seorang makcik yang usianya sudah pun melebih 70 tahun. Ketika orang meminta bantal untuk diletakkan pada jenazah, salah seorang daripada anak si mati telah memberikan bantal  kekabu biasa kepada orang yang ingin mengapankan ibunya.
" Allah... Tidak boleh lagi bantal yang selesa. Hanya bantal daun pandan ni sajalah yang boleh nak letak," katanya dengan penuh kesedihan.
" Ye kan makcik, itu saja yang boleh kita guna. Bantal selesa  ini pun tak mampu kita guna lepas kita meninggal. Harta dunia semua kena tinggalkan. Kita ni pun.....entah  bila gliran kita. ," ujarku. Makcik tersebut mengangguk sedih tanpa membalas  bicaraku.

Begitulah biasanya  golongan berusia bila menziarahi satu jenazah. Kesedihan dirasa namun takut menghadapi kematian sentiasa mendebarkan hati.
Mungkinkah kerana teringatkan Rasulullah pernah mengatakan yang usia umatnya antara 60 hingga 70 tahun?
Atau mungkinkah kerana di usia emas ini ilmu agama semakin bertambah,
Bak kata  bijak pandai semakin bertambah ilmu semakin terasa ia sebenarnya orang yang tak tahu.Ibadahnya terasa banyak yang perlu dibetulkan!
Atau sudah sedar betapa amalannya sangat kurang?

Firman Allah yang bermaksud:
" Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemuiNya."
(Al Insyiqaq 84: 6)

Namun sebenarnya dengan mengingati mati, kita akan lebih berinisiatif untuk bernujahadah(berusaha bersungguh-sungguh) menjaga masa kita agar apa yang kita lakukan membawa kebaikan di kemudian hari kelak. Insyaa Allah. Cuba hayati sajak ini.

'Perjalanan menuju kematian
Telah bermula sebaik kita dilahirkan

Ingat mati adalah penawar untuk
Kesedihan hati apabila di timpa ujian

Penghilang rasa nikmat
untuk melakukan maksiat

Dan pendorong untuk istiqamah
Dalam melakukan ketaatan

Ya Allah, bantulah hati kami
Untuk sentiasa mengingati kematian.'

Petikan Kata daripada Seraut kata Selaut Rasa- Pahrol Mohd Juoi

Wednesday, August 19, 2015

Jom Perlihatkan Akhlak Yang Terpuji Kepada Non Muslims!

"Sewaktu bulan Ramadhan yang lalu kami telah membuat persembahan 'flash mob' di Jalan TAR untuk memberi kesedaran tentang perjuangan Palestine. Sehubungan dengan itu  kami mengambil kesempatan untuk mengutip sumbangan  bagi rakyat Palestine yang mengalami pelbagai dugaan di sana. Kami tak menyangka antara penyumbang yang memberi jumlah wang yang agak banyak ialah tuan punya kedai yang berbangsa Cina. Menariknya mereka mengatakan bahawa mereka ingin membantu Palestin tetapi tak tahu bagaimana caranya atau kepada siapa bantuan harus disalurkan." itulah yang lebih kurang penerangan yang saya dengar daripada seorang ahli nasyid dalam satu temuramah di Radio tidak lama dahulu.

Kadangkala kita terlalu banyak berperasangka terhadap golongan bangsa dan ugama lain sehinggakan kita terlupa peranan kita sebagai orang Islam supaya berakhlak baik dan berdakwah kepada orang lain.

Semua yang dilakukan oleh orang bukan Islam adalah salah. Ataupun kebaikan yang dilakukan oleh mereka pastinya ada udang di sebalik batu. Pasti ada helah, samada hendak menipu atau memurtadkan kita. Sifat paranoid kita  menyebabkan  kita susah hendak berdepan dengan mereka yang bukan Islam atau membuat perjanjan dengan mereka.. Akhirnya yang kalah ialah kita atau dalam kata lain, Islam .



Biasa dengar perbualan sebegini?
"Eh... Orang tu Cinalah. Cina kaki tipu!"
"Eh India tu Kristian tau. Nanti anak awak murtad bila berkawan dengan dia orang tau!
"Tengok mat saleh tu. jangan dok percaya. Yahudi! Nanti dia ingat kita pengganas. Tok sahlah dok kawan rapat dengan dia.

Firman Allah yang bermaksud:
" Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang adil.

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan orang yang memerangi kerana agamamu, mengeluarkan kamu dari kampung halaman dan membantu orang untuk mengusir kamu sebagai teman rapat."
(al Mumtahanah 60: 8-9)

Kata seorang ustaz dalam satu rancangan tv, akhlak itu ialah tindakbalas secara spontan. Sekiranya kita lihat orang yang susah hendak melintas, dengan segera kita menolongnya, tanpa berfikir panjang. Adakalanya ketika dalam kesusahan, datang orang bukan Islam menolong kita, maka berterima kasihlah dan bermesralah dengan mereka dengan spontan, tanpa berperasangka negatif. InsyaaAllah dengan akhlak yang baik, mereka akan tertarik dengan cara kita, akhlak orang Islam. InsyaaAllah mereka akan tertarik dengan keindahan Islam dalam akhlak kita.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
" Serulah ke jalan Tuhanmu( wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat peringatan yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui tentang orang yang sesat daripada jalanNya. Dan Dialah yang lebih mengetahui tentang orang yang mendapat petunjuk."
(an Nahl  16: 125)



Tuesday, August 4, 2015

INFANCA- Antara logo halal yang terdapat di Amerika Syarikat

Biasanya adakah anda membelek belek bahan/isi kandungan dan logo halalnya sewaktu membeli makanan di pasaraya? Pernahkah anda melihat logo seperti disebelah selain daripada logo halal Jakim?

Pernah dengar tentang INFANCA? Antara produk INFANCA yang biasa saya nampak di Malaysia ialah french fries(kentang goreng) dan hash brown yang disejukbekukan. Cuba lihat label di belakang peket sejuk beku makanan tersebut. Sekiranya ia makanan yang diimport dari Amerika Syarikat dan untuk memastikan ia halal, antaranya ada logo INFANCA.

INFANCA bermaksud Islamic Food and Nutrition Council of North America. INFANCA ialah sebuah pertubuhan NGO Islam yang berpusat di Amerika Syarikat.Antara objektif INFANCA ialah memastikan makanan halal di perolehi dengan mudah, memperkenalkan maksud halal kepada syarikat makanan  dan institusi lain, mewujudkan kesedaran tentang perlunya produk  halal kepada pengguna dan menyelesaikan masalah kehalalan produk kepada pengguna.

Sewaktu keluar daripada sebuah Islamic Center di Amerika Syarikat baru baru ini kami ternampak beberapa majalah Halal Consumer diletakkan di bahagian pintu masuk bangunan tersebut. Rupa-rupanya Halal Consumer merupakan sebuah terbitan INFANCA. Majalah ini biasanya diberikan secara percuma di masjid atau Islamic Center di seluruh Amerika Syarikat.

Banyak juga maklumat yang boleh diperoleh daripada majalah ini. Selain daripada hal pemakanan yang sihat, pemakanan sunnah, kandungan bahan yang syubhah dalam produk diselitkan juga senarai syarikat di Amerika Syarikat dan Kanada yang telah mendapat sijil halal INFANCA. Alhamdulillah banyak juga makanan dan produk halal yang mudah didapati di pasaraya di sana seperti Krogers, Meijers dan Walmart. Malah makanan segera halal dan zabihah yang hanya perlu dipanaskan di microwave pun sudah ada dinegara ini tanpa perlu mengimportnya dari negara lain. INFANCA juga ialah badan yang diiktiraf oleh JAKIM.

Semoga kita dapat kita ambil iktibar dan pengetahuan daripada umat Islam di sana, yang walaupun mereka hanya minoriti dari segi ugama tapi usaha mereka terserlah dalam mengusahakan produk halal.

Popular Posts