Tuesday, July 2, 2013

Sejenak di Friske Orchards- Pertemuan yang Istimewa

Nenek Olga(paling kanan)  bersama aku dan anak- anak
Niat kami hanya untuk singgah sebentar di Friske Orchards ialah  untuk membeli buah- buahan segar. Namun taqdir Allah telah menemukan kami dengan seorang yang sangat istimewa semasa sibuk memiih epal segar. "Hi, those apples are still hard and good. ", muncul seorang perempuan dari sebuah bilik di bahagian belakang bangunan tersebut. Ketika itu kami sedang sibuk memerhati  pelbagai buah- buahan  dan sayuran segar yang  didinginkan agar tidak layu.

Aku masih ingat lagi di tangannya terdapat sebilah pisau nipis dan sebiji epal  yang baru dikupasnya. Rupanya dia sedang mengupas epal ketika kami beramai- ramai masuk ke dalam kedainya.  

Olga atau kami gelarkannya Nenek Olga  sebenarnya tuan punya kedai dan ladang epal yang besar Friske Orchard. 

Kenapa kami gelarkannya 'nenek' dan bukan 'cik'? Sebenarnya beliau sudah berusia lebih  80 tahun dan masih tegap. Daripada keramahan Nenek Olga ternyata dia tidak janggal dengan cara kami berpakaian sebegitu serta bertudung. Nenek Olga memberikan panduan untuk memilih buah-  buahan segar dari ladangnya. Sambil mempromosikan produk produknya Nenek Olga menceritakan sejarah hidupnya mengusahakan Friske Orchards. Orchards bermaksud dusun buah- buahan. 
Bahagian tengah kedai Friske Orchards yang menjual produk selain makanan



Sebenarnya Nenek Olga berasal dari Poland. Akibat dari peperangan yang melanda negara tersebut, dia dan suaminya telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat. Kedatangan mereka hanya berbekalkan sebuah beg kecil seorang. Setelah menetap beberapa tahun di kawasan terpencil ini, Nenek Olga telah membeli sekeping tanah terbiar untuk mengusahakannya sebagai tanah pertanian.

Nenek Olga bersama suaminya bukan saja  bekerja keras menanam epal, bahkan pelbagai pokok buah buahan yang lain seperti peach, apricot dan ceri. Selain daripada itu pelbagai sayuran juga di tanam di kawasan tersebut. Kesemuanya diusahakan  untuk  menyara hidup mereka sekeluarga. 

Kini suaminya telah meningal dunia ( ternyata daripada nada Nenek Olga beliau masih bersedih dengan pemergian suaminya). Usianya yang semakin lanjut menyebabkan dia terpaksa menyerahkan sebahagian besar tugasnya kepada anak- anaknya. Dia bersyukur anak- anaknya sanggup mengusahakan ladang dan kedainya.

Bunga pokok epal yang sedang kembang mekar di Friske Orchards
Selesai memilih buah- buahan kami sempat bergambar  dan bersalaman dengannya sebagai tanda persahabatan. Walaupun kami berlainan agama, dia seorang Kristian dan kami Muslim, tidak salah kami berbaik dan mengkagumi dirinya yang sanggup berusaha begitu kuat menyara hidup keluarganya. 

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:" Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar- benar tawakal, maka Allah memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada burung. Pagi-pagi burung keluar dari sarang dalam kelaparan, dan petang hari pulang ke sarang dalam kekenyangan" 
(Riwayay al Tarmizi)

Kami terus ke bahagian tengah kedai untuk membayar buahan- buah dan produk lain yang kami pilih. Kalau tidak silap aku, yang menjaga kaunter juruwang ialah anak perempuannya sendiri. Aku nampak peribadinya yang terserlah seperti ibunya, penuh sopan bila aku berbual sebentar dengannya dan memohon kebenaran  untuk menjengok ladang buah -buahan mereka yang betul betul  bersebelahan  kedai mereka. Aku berdoa dan berharap anak- anakku dapat menjagaku jika Allah panjangkan umurku seperti anak-anak  Nenek Olga menjaganya dikala usia menjangkau 80 tahun.

Besar ke ladang Nenek Olga? Apa yang menarik tentang ladang tersebut?
Ikuti sambungan pengembaraan kami. 
Ingin mengikuti pengembaraanku bersama keluarga di Amerika Syarikat? Klik di sini!

No comments:

Post a Comment

Popular Posts