"Cuaca baik hari ini. Tak mendung. Tak berjerebu," saya membuka bicara kepada teman yang saya baru berkenalan semasa kelas muslimat tempohari. Kami terjumpa selepas solat asar di masjid, baru baru ini. Masing-masing sibuk mengejar masa dek kenduri yang begitu banyak saban hujung minggu.
"Alhamdulillah. Terasa senang untuk bernafas dalam cuaca yang baik sebegini. Udara yang bersih, kurang pembakaran sampah terbuka. Lagipun dapat melihat bukit bukau yang menghijau juga boleh menenangkan fikiran." ujar teman saya ini.
" Aah..bila cuaca elok, kita boleh nampak bangunan di atas bukit situ ...di Genting Highlands daripada sini. " kata saya, sambil menunjukkan bangunan yang memang jelas kelihatan dari bawah bukit semasa hari terang.
"Hmm... Bukan ke tempat tu dikenali sebagai salah satu tempat judi yang besar di Malaysia?" keluh teman saya, sambil menggeleng kepala.
Saya hanya mampu mengangguk, longlai. Sebenarnya banyak lagi tempat yang merupakan pusat perjudian terutama diibu kota. Dalam Islam tiada pusat perjudian halal. Semuanya haram belaka. Ada yang dilakukan secara terbuka ada yang dilakukan secara tersembunyi.
" Saya teringat tahun 80an dulu kami pernah berkunjung ke bandar Reno di Nevada,US. Bandar ini terletak di tebing Lake Tahoe,tasik pergunungan terbesar di Amerika Syarikat. Reno terkenal dengan pusat perjudian yang besar di sana. Atas perasaan ingin tahu, satu petang kami telah pergi berjalan-jalan ke kawasan perjudian tersebut. Terasa agak pelik, kami sekumpulan perempuan belasan tahun yang bertudung litup pergi ke kawasan sebegitu." saya memulakan cerita.
"Eh awak tak sepatutnya pergi ke tempat yang macam tu. Takut Allah timpakan bala ditempat tu, termasuklah awak sekali yang terkena. " kata temanku ini,agak terkejut dengan tindakan kami.
"Ya, memang kami rasa bersalah selepas itu. Sepatutnya tempat itu kami jauhkan. " ujar saya dengan naada menyesal.
"Belum pun malam menjelma, kelihatan ramai yang berduyun duyun ke sana. Bukan sahaja yang muda belia, malah yang tua gayut,yang berjalan terketar-ketar pun sanggup pergi kesana dengan bekas berisi syiling. Syiling itulah yang digunakan untuk permainan mesin judi." saya menyambung cerita.
"Astaghfirullah, dah tua bangka pun nak berjudi juga. " ujar temanku lagi, masih terkejut.
"Ya , sangat ramai pula masa tu. Kami pergi pun hanya beberapa minit sahaja. Lepas tu kami terus balik.Tak berminat nak berada di sana lama-lama. Perjudian ialah salah satu sumber ekonomi bagi Nevada." cerita saya lagi.
"Hmm...kenapa sebenarnya orang nak sangat berjudi?" tanya teman saya lagi.
"Mungkin Ketagih? Ingin duit segera?" Jawab saya.
"Atau untuk ketenangan hati?" teman saya memberi pendapat.
"Tapi...Biasanya yang dapat ialah duit habis, hati bertambah parah...jiwa yang makin tdak tenang." tambah sahabat saya lagi.
"Baru baru ni saya terdengar tentang 'Ajjanatul Ajilah' di radio. " kata saya, menyambung perbicaraan. Terasa mahu bersembang lebih lagi dengan teman baru saya ini.
"Tak pernah pula saya dengar perkataan ni."kata teman saya...menunggu jawapan dari saya.
"Ajjanatul ajilah ialah syurga yang disegerakan. Syurga di dunia..." kata saya, memulakan perbicaraan tajuk yang lain.
"Syurga di dunia? Cuba awak terangkan apa sebenarnya ajjanatul ajilah ni" gesa teman saya ini, seolah olah sangat ingin tahu.
" Apa yang saya dengar di radio, ahli sufi pernah berkata," Carilah syurga yang disegerakan di dunia (Al Jannatul Ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat kelak,'" saya cuba mengingat apa yang saya dengar dulu.
"Memperoleh Aljannatul ajilah ialah apabila kita memperoleh jiwa yang sangat-sangat tenang. Biar apa sahaja cabaran atau masalah yang menimpa, seseorang yang memperoleh Aljjannatul ajilah tetap tenang. Bukankah itu nikmat yang paling diinginkan di dunia ini? " terangku, agak panjang lebar.
"Bagaimana sebenarnya nak memperoleh tingkatan sebegini? Orang biasa seperti kta boleh ke memperoleh Aljannatul ajilah ini." tanya sahabatku, agak teruja mendengar perkataan baru ini.
"Kenapa tidak ?Biasanya untuk memprolehi tingkatan sebegini memerlukan istiqamah dan mujahadah . Sentiasa dekatkan diri dengan Allah. Semua amalan wajib jangan ditinggalkan. Amalan sunat, solat malam cuba usahakan agar tidak tertinggal. Istiqamah melakukan ibadah dan jangan terlalu leka dengan urusan dunia." jawabku, memberi keyakinan kepadanya.
"Bagaimana dengan pekerjaan kita. ? Kan pekerjaan kita juga satu ibadah? " tanya teman saya lagi.
"Ya ,pekerjaan yang dilakukan tanpa mengenepikan kehendak syarak sudah semestinya satu ibadah. Semua ibadah yang membawa kita kepada hubungan erat dengan Allah akan membawa kepada ketenangan hati. " terangku lagi. Harapan saya agar sahabat saya faham maksud Aljannatul ajilah ini.
"Jadi bila terjadi masalah dalam pekerjaan , kita berbalik kepada Allah dan terus berusaha. Dengan cara begitu, kita lebih tenang, betul kan?" ujar sahabat saya, memberi pendapat.
"Ya, begitulah apa yang saya faham. Seterusnya orang yang diberi Aljannatul ajilah akan mendapat syurga yang hakiki kelak, Insha Allah," kata saya lagi.
"Insha Allah , memang itu yang diharapkan oleh semua orang Islam sebagai matlamat hidup," kata kawan saya menadah tangan berdoa agar dikurniakan Ajjanatul ajilah di dunia dan dan Jannatul Firdaus di akhirat kelak. Kami bersurai selepas itu, pulang mengikut jalan yang berlainan.
Seketika saya teringat satu lagi bandar yang terletak di tebing Lake Tahoe, iaitu South Lake Tahoe. Bandar ini terletak di negeri California, bukan di Nevada. Di bandar ini judi diharamkan ketika itu. Ekonomi bandar ini lebih tertumpu kepada pelancongan seperti adanya pusat ski dikala musim sejuk dan resort-resort percutian dimusim panas. Dua bandar yang berbeza sumber ekonominya ditebing tasik yang sama.
Saya memilih bandar yang punya pemandangan yang indah memukau, lebih kepada penciptaan Allah dan berupaya mendekatkan diri kepadaNya. Ayat al Quran ini menjadi pedoman untuk mendekatiNya setiap kali melihat pemandangan alam yang indah..
Firman Allah:
" Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
Ar Ra'd : 28
No comments:
Post a Comment