"Menarik bila dengar ustaz tafsirkan ayat tadi," kata saya sambil menyarungkan selipar yang terletak di atas anak tangga surau. Sahabat sekelas saya yang berdiri di tepi saya mengangguk tanda setuju. Kami baru sahaja menghadiri kelas tafsir harfiah di surau sebelum itu. Satu kelas yang menarik bagi saya sebab selain dari menterjemah, penafsiran bagi setiap perkataan dalam ayat juga dibincangkan. Dulu perbincangan bagi semua ayat dalam surah Al Mulk pun mengambil masa setahun untuk dihabiskan.
Kami meneruskan perbualan sebab arah perjalanan balik ke rumah masing-masing adalah sama. Balik berjalan kaki sahaja. Lebih mudah dan lebih mengeluarkan tenaga,disamping itu dapat juga menghirup udara petang yang segar selepas hujan renyai tadi.
"Buah-buahan dalam bahasa Arab ialah Alfaakihatun, betul tak?" tanya sahabat saya, cuba mengingat. Kami juga mengambil kelas bahasa Arab bersama sekali seminggu.
"Haah. Selain daripada al faakihatun ada juga dalam al Quran at thamaraatun sebagai buah-buahan. Tadi ustaz bagi tau Alfakihatun juga makanan utama dalam syurga kelak.Tapi.. boleh kenyang kemakan buah-buahan saja? Hmm..Kan kita dah biasa makan nasi. " tanya saya, timbul pula kemusykilan selepas itu.
"Kenyang sebenarnya ditentukan Allah. Macam di dunia ni, kadang sedikit makanan pun dah kenyang. Tanda keberkatan makanan itu. Walaupun berdasarkan sains,makanan ruji macam beras dan gandum ialah makanan yang mengenyangkan tapi itu semua juga ditentukan Allah." kata sahabat saya, memberi pendapat.
"Betul juga. Teringat tadi ustaz ada juga bercerita tentang buah-buahan yang biasa kita lihat di dunia ni nanti ada di akhirat kelak. Cuma mereka jauh lebih sedap dan kesedapan itu tak dapat kita bayangkan. Ini bermakna buahan buahan seperti betik, tembikai, manggis, rambutan semuanya ada di syurga lah ye. Semuanya pasti sedap dan manis lagi daripada yang ada di dunia ni."kata saya lagi.
"Subhanallah. Ini baru satu nikmat dunia. Tak sama macam kat dunia. Kadangkala beli buah pun ada yang tawar dan masam. Mahal pula tu. Cuba tengok harga durian sekarang. Dijual guna kilo. Lebih berat kulit daripada isi. Belum tentu isinya manis. " keluh sahabat sekelas saya ini.
"Dulu sewaktu di belajar di California, saya dan kawan kawan berpeluang memetik navel oranges bersama ibu bapa angkat kami. Buah oranges ni sebenarnya buah musim dingin.Saya masih ingat lagi semasa kami memetik tu awal musim bunga. Disitu kami belajar cara nak pilih yang mana navel oranges yang betul-betul masak dan sedap di makan,"saya mula bercerita, mengimbau kenangan lama.
"Wah, ye ke? California beriklim mediteranean kan? Tentu banyak ladang buah buahan. Mesti seronok dapat pergi ke ladang oranges tu. Dapat petik buah-buahan pula tu. Satu pengalaman yang bukan ramai dapat buat. Tapi macamana ye, nak tahu buah orange yang dah cukup masak ?" tanya sahabat saya, berminat untuk tahu lebih lagi.
"Bagi buah oranges kita bukannya tengok warnanya saja untuk tahu samada tahu dia elok atau tidak.Cuba tengok bahagian ekornya, bukan bahagian lekat dengan tangkainya. Bahagian ekor yang merekah (bukan isi terkeluar) menandakan limau tu dah cukup masak. InshaAllah sedap dan manis walaupun kulitnya masih keras," terang saya dengan yakin.
"Ooh...macam tu. Nanti bila pergi beli buah, saya nak carilah buah oranges macam tu. Selain daripada oranges, buah lain pula macamana nak tahu dia manis dan sedap?' tanya sahabat saya lagi.
"Buah ceri ...yang 'fresh' tu biarlah kehitaman sikit tapi masih berkilat. Kalau beli kat sini memang tak boleh pilih. Semuanya sudah 'pack' dalam bekas. Saya berpeluang memetik ceri bersama keluarga di sana tahun 2009 dahulu. Seronok kami naik turun tangga memetik buah ceri," saya bercerita lagi.
"Seronoknya dapat pergi dengan keluarga. Tapi...eh pokok ceri tinggi ke? Kena panjat tangga?" tanya sahabat saya, kehairanan
" Yang terjuntai ke bawah memang ada tapi biasanya tak banyak yang cantik dan 'fresh'. Bila panjat tangga dapat kita pilih ceri yang betul-betul masak tapi tak lembik. Tangga yang kecil aje digunakan. Tak tinggi pun" terang saya lagi.
"Nanti kalau ada rezeki lebih, nak jugalah saya bawa keluarga pergi memetik buah buahan di negara beriklim Mediteranean macam California. Saya kena belok ke sini. Jumpa lagi minggu depan, Insha Allah.,"bersemangat sahabat saya ini menyatakan keinginannya.
."Ya memang seronok melancong bersama keluarga. Berbaloi. Semoga Allah murahkan rezeki awak sekeluarga," kata saya sambil bersalaman dengannya.
Sungguh, apa yang diberitahu ustaz di kelas tersebut sebenarnya semua berdasarkan ayat-ayat al Quran. Setakat ini saya telah menjumpai lebih 50 ayat berkenaan buah-buahan di dalam Al Quran. Pastinya ada maksud tersurat atau tujuanAllah memberikan begitu banyak ayat berkenaan buah-buahan. Antara ayat berkenaan buah-buahan di syurga terdapat dalam surah Ar Rahman ayat 52,54 dan 68. Juga dalam surah al Insan ayat 14.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu.
(Mereka) berada di antara pohon bidara yang tidak berduri. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya). dan naungan yang terbentang luas. Dan air yang mengalir terus-menerus. Dan buah-buahan yang banyak. Yang tidak berhenti berbuah dan tidak terlarang mengambilnya.
Al Waqiah 56:27-33
Subhanallah. Di syurga tiada buah-buahan bermusim. Tiada perlu berpenat lelah menanam, menuai dan memetik. Syurga tempat kita berehat. Insha Allah.semoga Allah pelihara perjalanan hidup kita agar sentiasa terarah ke tempat rehat yang terbaik ini, destinasi terakhir kita.
No comments:
Post a Comment