Monday, November 23, 2015

National Mall- Sedikit Sejarah Black Americans dan Black American Muslims

Ketika sampai,kelihatan ribuan pengunjung yang sedang menikmati pemandangan unik di sini. Amat payah mencari tempat memarkir kereta sebab yang datang ke sini bukan saja dengan berkereta bahkan juga dengan bas-bas yang besar. Tempat ini bukannya sebuah taman tema, juga bukannya satu gedung perniagaan yang besar.

National Mall merupakan satu taman yang besar yang mengandungi banyak memorial sempena mengingati orang-orang yang berjasa dalam sejarah Amerika Syarikat. Biarpun pada asalnya ribuan yang hadir ke sini tidak berminat atau peka tentang sejarah , pelbagai memorial yang didirikan di sini memberi sedikit sebanyak pengetahuan tentang sejarah The New World ini.

" I still have a dream, a dream deeply rooted in the American dream - one day this nation will rise up and live up to its creed, We hold these truths to be self evident:  that all men are created equal."

"I have a dream that my four children will one day live in a nation where they will not be judged by the color of their skin, but by the content of their character. I have a dream today."

Itu ucapan yang kami dengar sewaktu melangkah masuk ke Memorial Martin Luther King Jr . Memorial ini seolah-olah membawa kita ke zaman 1960an sewaktu hebatnya perjuangan African American Civil Rights Movement. Khabarnya dia berucap di hadapan 250 000 orang penyokongnya.

Martin Luther King Jr sebenarnya ialah seorang paderi dan  pejuang kemanusiaan berkulit hitam serta ketua African American Civil Right's Movement 1960an dahulu. Berdasarkan sejarah, kaum Afrika telah dibawa oleh kaum kulit putih sebagai hamba ke benua ini. Zaman berlalu, perhambaan telah diharamkan. Namun perbezaan taraf antara kaum begitu ketara. Kaum berkult hitam atau black Americans ini telah dianggap berstatus rendah dan ramai yang miskin. Mereka berjuang agar diberikan persamaan status tanpa mengira warna kulit.

Martin Luther King Jr ini telah di tembak mati pada tahun 1968 sejurus sebelum perarakan aman  ke Wasington DC untuk menuntut diadakan bantuan kepada komuniti miskin di Amerika. Pembunuhannya telah menyebabkan rusuhan di banyak tempat diseluruh Amerika Syarikat.

Namun kita tidak boleh ketepikan terdapat blacks American yang memainkan peranan besar dalam perjuangannya terhadap Islam. Meskipun Islam telah bertapak di Amerika Syarikat sejak 1527 lagi,  orang yang paling berpengaruh yang berjuang untuk blacks American Muslim  ialah Malcolm X.  Atau nama Islamnya Malik Shabazz. Pada asalnya beliau ialah pengikut Nation of Islam, namun beliau telah membuat keputusan untuk mengikut aliran sunni (ahli sunnah wal jamaah) setelah mempelajari  lebih banyak tentang Islam yang sebenarnya.

Pengaruh Malcolm X ini sangat besar. Malcolm  X sendiri pernah pergi ke Makkah untuk menunaikan haji. Di sana dia mendapati orang Islam terdiri daripada pelbagai bangsa, bukan saja dari kalangan bangsa Arab. Allah telah menentukan orang sehebat ini tidak panjang umurnya. Pada tahun 1965, sewaktu berumur 40 tahun dia telah di tembak mati  sewaktu berucap  di Manhattan New York. Semoga rohnya termasuk di kalangan orang orang yang bertakwa.

Meneliti antara wasiat terakhir Rasulullah di bumi Arafah mengingatkan kita bahawa janganlah kita memandang rendah terhadap orang Islam yang lain meskipun mereka bukan dari bangsa kita mahupun bangsa Arab.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
" Orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah yang paling bertakwa kepada Allah s.w.t. Tidak ada kelebihan bagi bangsa Arab atau bangsa lain kecuali dengan takwa.
 Sumber: Bayu kerinduan di Bumi Haramain- Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Walaupun niat asal kami hanya untuk melancong ke sini, namun ia memberi 'ibrah yang menyentuh hati kami sebagai orang Islam. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts