Wednesday, August 28, 2013

Bilakah kita berbangga melihat berkibarnya bendera Malaysia kita?

Bendera Malaysia berkibar
di hadapan Islamic Center, Washington DC
Biasanya rakyat Malaysia lebih menyanjungi negara mereka sendiri apabila berada di luar negara. Sesuatu yang dikaitkan dengan Malaysia dari sekecil- kecil duit syiling hinggalah kepada bangunan Kedutaan Malaysia menjadi kebanggaan setiap rakyat yang berkunjung di luar negara.

Washington DC merupakan bandar yang mempunyai  pusat pentadbiran Amerika Syarikat. Banyak bangunan penting terdapat di sini seperti White house, Pentagon dan Washington Monument . Kami berpeluang untuk singgah di sebuah Islamic Center di sini semasa berkunjung di sini.

Selesai bersolat kami terus ke bahagian perkarangan masjd untuk menikmati pemandangan di sekitarnya. Di satu sudut halaman bangunan ini di naikkan beberapa bendera negara yang mempunyai ramai Islam yang kebanyakannya terdiri daripada negara- negara Arab.

Alangkah bangganya kami melihat bendera Malaysia berkibar di sebalik bendera- bendera tersebut. Ini menandakan umat Islam di sana mengiktiraf dan tahu Malaysia sebuah negara yang mempunyai ramai rakyat Islam. Berbanding dengan 30 tahun dahulu, rakyat di sini langsung tidak tahu langsung kewujudan Malaysia, sebuah negara kecil di Asia Tenggara.

Perasaan bangga dan gembira melihat bendera Malaysia ini  hanya rakyat Malaysia yang akan merasai. Turun dan naiknya sesebuah bendera merupakan peristiwa penting bagi sesebuah negara  mahupun suatu agama. Contohnya kita berbangga apabila bendera Malayan Union diturunkan dan bendera Persekutuan  Tanah Melayu dinaikkan pada 31 Ogos 1957. 

Rasulullah juga menekankan kepentingan  bendera atau panji perang  semasa peperangan. Kisah yang paling menyentuh hati ialah dalam perang Mu'tah dimana terdapat 3 pemegang panji perang yang mati syahid dalam perang tersebut iaitu  Zaid b. Harithsah, Jaafar b. Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah. 

Perang Mu'tah diketuai pada mulanya oleh Zaid b. Harithsah. Selepas  Zaid syahid dibunuh, Jaafar mengambil alih kepimpinan dalam perang tersebut. Semasa Jaafar memegang bendera dengan tangan kanannya, tangannya itu telah ditetak hingga putus. Menyedari betapa pentingnya bendera tersebut,  Jaafar tidak membiarkan bendera itu jatuh ke tanah. Dia memegangnya pula dengan tangan kirinya. Tak lama selepas itu tangan kirinya pula ditetak hingga putus. Jaafar tidak berputus asa lalu menyandarkan bendera itu ke dadanya. Akhirnya pedang musuh membelah  badan Jaafar lalu beliau mayi syahid. Allahuakbar.  Kemenangan akhirnya berpihak kepada Islam setelah Khalid al Walid mengambil alih panji perang daripada Abdullah b. Rawahah.

Oleh itu berbanggalah dengan bendera kita dan kibarkanlahnya samada dirumah, kedai dan pejabat.
 Salam kemerdekaan. Be a proud  Malaysian Muslim .


Monday, August 26, 2013

Sejenak di Perkampungan Amish, Cleveland, Ohio- Bahagian 2

Kereta kuda sedang menunggu penumpang di Mesopotamia


"Orang Amish ni tak suka ambil gambar" aku mengingatkan anak- anakku sebaik saja sampai ke perkampungan Amish. " Jadi hati- hati bila ambil gambar nanti," sambungku lagi. Sememangnya kaum Amish tidak suka berposing depan kamera. Demikianlah apa yang aku baca dalam brosur  yang aku ambil semasa dalam perjalanan ke perkampungan Mesopotamia, Cleveland. 

Kaum Amish ini yang sebenarnya  berasal dari Eropah dikenali  sebagai kaum Menonite. Tetapi mereka  berpecah dan salah satu daripadanya ialah kaum Amish. Kaum Amish yang berada di Ohio ini merupakan kelompok yang keempat terbesar di dunia. 

Kaum Amish ini berugama Kristian (biblicist) dan berpegang kepada prinsip  agama mesti dipisahkan daripada politik (Separation of Church and State).  Dalam Islam, kehidupan sehari- hari mahupun politik tidak boleh dipisahkan dari agama  kerana Islam adaah satu cara hidup . Alhamdulillah, syukur kita dilahirkan  sebagai orang Islam, dengan itu mudahlah kita berpendapat sedemikian. Namun sejauh mana kita mengamalkan Islam dalam kehidupan sehari- hari kita?
Patung kuda bersama kereta kuda terbesar di Cleveland
Di sepanjang perjalanan dalam kawasan kampung ini, kelihatan pokok- pokok gandum tumbuh subur di ladang- ladang  yang agak besar. Sekiranya di Malaysia kawasan kampung terutama sekali di Kedah dan Kelantan, dipenuhi dengan sawah padi di sini ia dipenuhi ladang gandum kerana makanan ruji mereka di sini ialah gandum. Kebanyakan ladang di sini masih menggunakan tenaga haiwan dan mesin-mesin yang ringkas. 

Di sepanjang perjalanan kami melepasi beberapa buah kereta kuda berpenumpang. Kereta tidak banyak di sini dan berdasarkan brosur,  orang luar mesti menghormati dan memberi ruang kepada kereta kuda di jalan raya.  Orang Amish yang kuat kepada pegangan mereka tidak dibenarkan memiliki kereta. Mereka hanya boleh menyewanya sekiranya keadaan memerlukan.

 Kenderaan utama disini juga ialah kereta kuda. "Perasan tak? Kebanyakan rumah orang Amish ni ada kereta kuda.," kata ku  apabila kereta kami meluncur melepasi beberapa buah rumah yang berjauhan antara satu sama lain kerana adanya ladang- ladang gandum di situ. Terlintas pula dalam fikiranku  kalau di Malaysia memiliki kereta kuda melambangkan satu kemewahan, di sini pula  ia hanya  merupakan kenderaan biasa! 

"Tengok, orang Amish tu guna mesin rumput tanpa  elektrik!" kata anak bongsuku. Orang Amish yang kuat kepada agama mereka .tidak menggunakan elektrik dalam kehidupan sehari- hari. Oleh itu peralatan yang mereka gunakan adalah amat terhad. Namun terdapat golongan Amish yang berfikiran moden menerima perlunya tenaga elektrik sebagai satu sumber tenaga. Contohnya, kedai runcit yang kami singgah di satu simpang perkampungan ini mempunyai peti sejuk dan peralatan lain untuk menjalankan perniagaannya. 
Ladang Gandum di perkampungan Amish, Mesopotamia

Namun disebalik pengamatan kami, kami bersyukur kerana beragama Islam, agama yang tidak menghalang teknologi asalkan ia digunakan mengikut syariah dan tujuan. Meskipun negara kita hebat dengan teknologi, banyak penyelewengan dalam  agama yang dilakukan oleh orang Islam di Malaysia ini  terutama sekali dengan teknologi ICT, teknologi dunia kini tanpa sempadan .

Bersambung.


Friday, August 23, 2013

Kisah Ikan Salmon- Satu Iktibar

Ikan salmon
www.csmonitor.com
 

Ikan salmon yang mati selepas bertelur
www.thebarefootnomad.com
 
Ikan salmon lahir di air tawar dalam sungai . Kemudian ia ke laut menghabiskan hampir seluruh kehidupan  sebagai ikan dan akhirnya dihujung nyawa ia kembali ke tempat kelahirannya untuk melahirkan generasi baru. 

Renangan jarak jauh salmon dari lautan Pasifik ke sungai untuk melahirkan generasi baru, salmon nekad melalui cabaran dan dugaan. Mereka berenang dalam jarak ratusan, malah ribuan batu kembali ke tempat kelahiran untuk melahirkan anak- anak. Mereka berenang berkumpulan dengan biangan hingga mencecah ribuan ekor!

Saintis berpendapat ikan Salmon menjejak tempat kelahiran  dengan menjadikan medan magnet bumi sebagai panduan arah. Mereka berenang menentang arus termasuk ' mendaki' bukit menuju destinasi. Adakalanya perlu melompat di air terjun. Tidak kurang yang menjadi habuan pemangsa. 

Apabila sudah hampir ke destinasi, mereka mula berhenti makan dan kulit mereka bertukar menjadi warna kemerahan. Ikan betina menggali untuk membuat sarang. Ikan jantan pula berkawal mengelak dari serangan pemangsa. Salmon betina menghasilkan lebih kurang tiga ribu telur dalam satu masa dia bertelur. Ikan jantan mengawal keselamatan telur telur di sarang. Kedua dua salmon betina dan jantan akan mati selepas mensenyawakan telur. 

Telur telur salmon akan menetas dalm masa 4 bulan. Anak- anak salmon tinggal beberapa bulan di sungai sebelum berenang ke arah ke lautan menjalani hidup seterusnya.

Hidup dan mati adalah kuasa mutlak Allah Al Muhyi (Maha Menghidupkan) dan Al Mumit (Maha Mematikan). Fitrah salmon pasrah kepada Penciptanya tanpa ketakutan  dan kebimbangan. 

Maha Agung Allah yang memberikan kekuatan fizikal kepada salmon melakukan renangan tersebut tersebut mengatasi segala cabaran. Fitrah mereka sejak awal menolak untuk menjadi khalifah di bumi. Mereka hidup sebagai catatan kebesaran Allah swt untuk di ambil sebagai pengjaran oleh manusia. 

YaAllah...syurgaMu adalah kampung abadi yang kami rindui. Engkau telah memberikan kekuatan fizikal, mental dan hati kepada ikan salmon. Pasti Engkau juga memberinya kepada kami dalam perjalanan kembali bertemu dengan Mu.


Sumber- Sofiyah@Satuyah Rasin
Anis bil 192

Friday, August 2, 2013

Hebatnya Mereka Ini Membaca dan Mengkhatamkan Al Quran



Saiyidina Uthman bin Affan berkata:" Kalau hati kita besih, kita tidak akan pernah kenyang daripada Al Quran. Aku tidak menyukai satu hari yang aku tidak membaca mashaf al Quran padanya." 
Riwayat al Baihaqi dalam Shu'ab al Iman

Imam Baihaqi berkata selepas meriwayatkan ucapan ini:" Apabila Uthman wafat, mushafnya telah rosak kerana terlalu kerap dibaca."

Rabi' bin Sulaiman bercerita," Al Syafii mengkhatamkan al Quran pada bulan Ramadhan sebanyak 60 kali. Pada bulan yang lain sebanyak 30 kali."

Ibn Haddad berkata," Apabila mendengar riwayat Rabi' bin Sulaiman ini , aku berusaha melakukan seperti mana yang dilakuan oleh al Syafii. Akan tetapi aku hanya mampu mencapai 59 kali khatam sebulan. Selain bulan Ramadhan , aku hanya mampu khatam hingga 30 kali khatam sahaja. "

Umar M. Noor- Solusi Isu 34

Popular Posts