Tuesday, July 30, 2013

Monday, July 29, 2013

Bersemuka dengan Amish di Cleveland,Ohio

Mesopotamia biasanya di kaitkan dengan kerajaan Babylon yang sekarang ini di dalam negara Iraq. Namun begitu Mesopotamia yang kami singgah di Cleveland ini sangat berlainan daripada biasanya yang kita gambarkan tentang Mesopotamia, sebuah taman tergantung Babylon yang dikatakan menjadi salah satu taman keajaiban dunia. 

Ketika kami singgah di sini tidak pula kami ambil kisah tentang nama perkampungan ini kerana target kami hanyalah sampai ke sebuah perkampungan Amish. Terasa pelik bagaimana nama Mesopotamia disini. Mungkin ada sejarah tersendiri. 

Kami berhenti di sebuah persimpangan di perkampungan tersebut. Di sini terdapat sebuah stesen minyak, sebuah kedai runcit dan beberapa buah kedai lain. Keadaan di sini sangat sunyi walaupun ia hari bekerja. 
Kami memilih untuk masuk ke dalam sebuah kedai runcit yang kami kira dapat bersemuka dengan orang Amish sendiri.

 Kedai yang berlantaikan kayu ini agak besar. Sekilas pandang kedai ini mengingatkan aku tentang ' Little House On The Prairie' sebuah drama Inggeris yang sangat popular satu ketika dahulu  tentang kehidupan sebuah  keluarga di kawasan perkampungan yang mengusahakan ladang gandum. Cashier kedai tersebut berpakian gaun kembang labuh sampai ke buku lali manakala rambutnya diikat kemas dan ditutup dengan skarf kecil. 

Kedai yang kami singgah ini 'End of the Commons General Store' rupa- rupanya kedai runcit yang tertua  di Ohio. Ia dibuka pada tahun 1840. Walaupun tertua, kedai ini mempunyai website di internet yang boleh kita pesan secara online  www.endofthecommons.com

Kedai ini terbahagi kepada beberapa bahagian seperti sebuah pasar mini yang besar. Antaranya  bahagian makanan basah, makanan kering, produk rempah dan sos, peralatan masak dan juga yang agak pelik ialah bahagian  pakaian. 

Pakaian orang Amish hanya mempunyi beberapa tona warna dan tidak bercorak. Di kedai ini dijual dari  pakaian 'simple' yang mereka pakai dirumah atau di ladang  hinggalah pakaian rasmi dan juga topi dan skarf yang biasanya mereka pakai semasa menghadiri upacara rasmi.  Orang Amish juga mempunyai kepakaran membuat krafangan yang berkualiti tinggi seperti membuat quilt dan pertukangan kayu.


Salah satu daripada barang yang kami beli di sini selain  daripada pemegang kunci dan gelas  kecil ialah gula- gula buatan sendiri. Ya, orang Amish masih membuat gula-gula sendiri yang mempunyai pelbagai perisa!

Melangkah keluar daripada kedai yang begitu unik ini , kami bersyukur kerana diberi peluang untuk bersemuka dengan orang Amish dan memahami cara hidup mereka. Walaupun berbeza dengan cara hidup yang dikehendaki oleh Islam dari segi penerimaan teknologi dan pendidikan., mereka mempunyai ciri-ciri positif yang boleh diikuti terutama sekali dari segi pergaulan yang terjaga  dan kegigihan bekerja.

Saturday, July 27, 2013

Sufyan bin Said al Thawri,



Sufyan bin Said al Thawri Abu Abdillah dilahirkan di Kufah tahun 97 H. Beliau terkenal sempurna dalam semua aspek. Dalam bidang hadis beliau digelar Amirul Mukminin fi al Hadith, sebuah gelaran tertinggi bagi penghafal hadith. Dalam fiqah, beliau mujtahid mutlak yang memiliki mazhab tersendiri. Dari segi zuhud, kesolehan beliau tidak mampu ditandingi. Majlis ilmunya sentiasa dihadiri oleh ribuan manusia.

Namun begitu, apabila bulan Ramadhan tiba, Sufyan al Thawri meninggalkan semua aktiviti dakwah dan ilmiahnya. Beliau mengkhususkan bulan suci ini  hanya untuk membaca al Quran. Murid beliau bernama Abdul Razzaq al - San'ani berkata:" Setiap kali tiba bulan Ramadhan, Al Thawri meninggalkan semua ibadah hanya untuk membaca Al Quran. 

Umar M. Noor- Solusi isu 34

Friday, July 26, 2013

Puasa dan Membaca Al Quran-Pemberi Syafaat di Akhirat


Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

" Puasa dan Al Quran akan memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat kelak. 
Puasa akan berkata:' wahai Rab, aku telah menahannya daripada makan dan syahwat maka perkenankanlah aku untuk memberi syafaat  kepadanya.'

 Al Quran pula berkata:' Aku telah mencegahnya daripada tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku untuk memberi syafaat kepadanya." 

kemudan Baginda bersabda lagi:" Maka kedua- duanya  diperkenankan  memberi syafaat, " 


Riwayat oleh Ahmad dan Hakim

Thursday, July 25, 2013

Pencarian Maqam Abu Ayub Al Ansari Bahagian 2

www.dailykos.com
Sultan Muhammad berusaha mencari maqam syuhada Abu Ayub Al Ansari di sekitar  Kota Konstatinople namun tidak berjaya.Syeikh Syamsudin al Wali menyuruh Sultan Muhammad mengerjakan solat sunat hajat dan berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk. Selepas menunaikan solat hajat, baginda tertidur lalu  bermimpi tentang kedudukan maqam Abu Ayub Al Ansari.

Sultan Muhammad bertanya pada  Patrick, ketua orang Kristian tentang kawasan hutan yang dipenuhi pokok yang berusia beratus ratus tahun di kawasan tersebut. Patrick berkata mungkin hutan yang dimaksudkan itu ialah hutan larangan, satu tempat yang dilarang masuk oleh Maharaja Konstantine. 

Sebaik sahaja sampai ke hutan tersebut, Sultan Muhammad berasa yakin bahawa hutan itulah yang ditunjukkan dalam mimpinya. Berpandukan kepada mimpinya Sultan Muhammad cuba mencari sebatang sungai yang dikiri dan kanannya terdapat pokok palma seperti dalam mimpinya. Dengan takdir Allah, mereka menemui kawasan tersebut.

Sultan Muhammad cuba mengingati semula kedudukan tepat maqam Abu Ayub Al Ansari berdasarkan mimpinya. Selepas berjalan beberapa langkah dalam kawasan tersebut, dia terjumpa sebuah batu besar. Baginda berasa yakin di kawasan batu besar itulah letaknya maqam Abu Ayub Al Ansari. 

Kata Kata Hikmah:

'Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkanbagimu supaya kamu tidak hanyut dalam kelapangan. Malah Allah melepaskan engkau daripada kedua-duanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah'

Sumber: Pahrol Mohd Juoi- solusi  isu 38

Adakah mereka menjumpai maqam tersebut? Apa yang berlaku setersnya? Bersambung.

 Sumber: Muhammad Al Fateh- Abd Latif Talib

Monday, July 22, 2013

Pencarian makam(kubur) Abu Ayub Al Ansari(Bahagian 1)

Kota Konstatinople
Image Source: www.dailykos.com 
Sultan Muhammad Al Fateh begitu tertarik dengan kisah sahabat Rasulullah yang bernama Abu Ayub Al Ansari. 
Abu  Ayub Al Ansari telah menyertai jihad bagi menawan Kota Konstantinople paada zaman Muawiyah. Ketika itu usianya sudah mencapai 81 tahun. Ketika perang sedang meletus , dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. 

Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia sempat mewasiatkan supaya mayatnya disemadikan di benteng Konstatinople.  Orang Islam telah mengkebumikan mayat Abu Ayub di sisi benteng kota tersebut tetapi telah dipindahkan kerana orang Rom sendiri telah memuja makamnya.

Patrick, pemimpin orang Kristian yang dilantik oleh Sultan Muhammad Al Fatihselepas penaklukkan Konstantinople menyarankan agar Sultan  Muhammad  bertemu dengan seorang paderi tua di Anatolia.  Paderi tua itu memberitahu bahawa neneknya pernah baik dari sakitnya setelah berdoa di makam Abu Ayub.

Malangnya neneknya tidak pernah menyebut kedudukan makamnya. Tambahan lagi kubur itu sudah di ratakan. Apakah langkah  Sultan Muhammad untuk mencari makam syuhada tersebut? 

Sumber: Muhammad Al Fateh-  Abdul Latif Talib

Bersambung....

Thursday, July 18, 2013

Kikis Perasaan Malu Untuk Menuntut Ilmu


Pepatah Melayu ada menyebut :" Malu bertanya sesat jalan, malu  berkayuh perahu hanyut."

Dalam usaha menuntut ilmu samada ilmu duniawi mahupun ukhrawi, perasaan malu harus dikikis habis- habisan. Ini kerana ilmu yang difahami itu nanti boleh dimanafaatkan dan disebarkan.

Sifat wanita ansar sepatutnya ada dalam diri seseorang yang menuntut ilmu. Sayidatina Aisyah r,ha. pernah memuji: 
"Sebaik- baik wanita ialah wanita Ansar. Mereka tdak malu menghalangi diri mereka untuk tafaqquh( mendalami pemahaman) dalam agama."

(Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah)


Sumber: Hj Zainuddin Ali- Solusi  Isu 45

Tuesday, July 16, 2013

Ihsan Terhadap Semua Perkara

Bersabda Rasulullah saw: 

"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berihsan terhadap semua perkara."


Ihsan ertinya berbuat baik atau menyempurnakan sesuatu perbuatan hingga selesai menurut peraturan dan syarat- syaratnya.

Dalam hadith ini dimaksudkan menyempurnakan sesuatu amalan atau arahan yang ditunjukkan  oleh syariat Islam menurut syarat- syarat yang ditentukan, sehingga amalan itu menadi sempurna tanpa mengandungi sebarang cacat.


Kita dituntut supaya berihsan dalam semua urusan ibadat dari solat hinggalah kepada perhubungan kita dalam masyarakat..

 Kuliah Subuh- Syed Ahmad Semait

Wednesday, July 3, 2013

4 Kategori Gelombang Pada Diri Manusia- Tips Untuk Mudah Bangun Pagi

1. Gelombang Beta
     Gelombang minda kita apabila kita sibuk bekerja. Dialami oleh mereka yang stress, cepat marah dsb. Dialami oleh  
     semua manusia. 

2. Gelombang Alpha
   Gelombang minda ketika minda berada di tahap rehat iaitu ketika kita sedang bersantai, memandu, mandi dan paling 
   utama ketika kita solat. Tercetus ketika berada dalam keadaan separa sedar.

3. Gelombang Theta
    Gelombang dalam keadaan rehat yang mendalam. Keadaan bermimpi atau meditasiyang terlalu khusyuk. Didapati 
     pada mereka yang bertapa.

4. Gelombang Delta
     Corak gelombang paling lambat. Terbentuk ketika seseorang berada di tahap koma, tidak sedar atau ditidurkan.  
     Ditahap  ini seseorang tidak lagi berhubung dengan dunia nyata.

Tip mudah bangun pagi tapi mencapai tidur berkualiti
1. Baca 100 ayat al Quran sebelum tidur. Apabila membaca 100 ayat, maka 100 saraf otak kanan akan diketuk ke tahap 
    gelombang theta. Ini memudahkan kita lena dan bangun dalam keadaan cergas walaupun tidur hanya sekejap.  
    Kebanyakan ahli sufi zaman dahulu  mengamalkan tidur sebegini.

2. Sebelum tidur minta Allah permudahkan kita bangun awal untuk bertahajud dalam keadaan segar walaupun tidur 
    sudah lewat malam.

3. Apabila bangun ucapkanlah 'Alhamdulillah' dan berdoa kepada Allah yang telah mengejutkan kita daripada mati 
    sementara.

4. Mandi dan berwuduk.

    Ketika mandi, gelombang otak berada dalam keadaan alpha. Gelombang ini meransang otak dan menyegarkan 
    badan. Wuduk yang diambil  dengan cara yang betul menjadi terapi urutan dan memberikan kesegaran berganda 
    kepada tubuh badan.

Sumber: Dr Azhar Hj Sarip
Anis -bil 168

Tuesday, July 2, 2013

Sejenak di Friske Orchards- Pertemuan yang Istimewa

Nenek Olga(paling kanan)  bersama aku dan anak- anak
Niat kami hanya untuk singgah sebentar di Friske Orchards ialah  untuk membeli buah- buahan segar. Namun taqdir Allah telah menemukan kami dengan seorang yang sangat istimewa semasa sibuk memiih epal segar. "Hi, those apples are still hard and good. ", muncul seorang perempuan dari sebuah bilik di bahagian belakang bangunan tersebut. Ketika itu kami sedang sibuk memerhati  pelbagai buah- buahan  dan sayuran segar yang  didinginkan agar tidak layu.

Aku masih ingat lagi di tangannya terdapat sebilah pisau nipis dan sebiji epal  yang baru dikupasnya. Rupanya dia sedang mengupas epal ketika kami beramai- ramai masuk ke dalam kedainya.  

Olga atau kami gelarkannya Nenek Olga  sebenarnya tuan punya kedai dan ladang epal yang besar Friske Orchard. 

Kenapa kami gelarkannya 'nenek' dan bukan 'cik'? Sebenarnya beliau sudah berusia lebih  80 tahun dan masih tegap. Daripada keramahan Nenek Olga ternyata dia tidak janggal dengan cara kami berpakaian sebegitu serta bertudung. Nenek Olga memberikan panduan untuk memilih buah-  buahan segar dari ladangnya. Sambil mempromosikan produk produknya Nenek Olga menceritakan sejarah hidupnya mengusahakan Friske Orchards. Orchards bermaksud dusun buah- buahan. 
Bahagian tengah kedai Friske Orchards yang menjual produk selain makanan



Sebenarnya Nenek Olga berasal dari Poland. Akibat dari peperangan yang melanda negara tersebut, dia dan suaminya telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat. Kedatangan mereka hanya berbekalkan sebuah beg kecil seorang. Setelah menetap beberapa tahun di kawasan terpencil ini, Nenek Olga telah membeli sekeping tanah terbiar untuk mengusahakannya sebagai tanah pertanian.

Nenek Olga bersama suaminya bukan saja  bekerja keras menanam epal, bahkan pelbagai pokok buah buahan yang lain seperti peach, apricot dan ceri. Selain daripada itu pelbagai sayuran juga di tanam di kawasan tersebut. Kesemuanya diusahakan  untuk  menyara hidup mereka sekeluarga. 

Kini suaminya telah meningal dunia ( ternyata daripada nada Nenek Olga beliau masih bersedih dengan pemergian suaminya). Usianya yang semakin lanjut menyebabkan dia terpaksa menyerahkan sebahagian besar tugasnya kepada anak- anaknya. Dia bersyukur anak- anaknya sanggup mengusahakan ladang dan kedainya.

Bunga pokok epal yang sedang kembang mekar di Friske Orchards
Selesai memilih buah- buahan kami sempat bergambar  dan bersalaman dengannya sebagai tanda persahabatan. Walaupun kami berlainan agama, dia seorang Kristian dan kami Muslim, tidak salah kami berbaik dan mengkagumi dirinya yang sanggup berusaha begitu kuat menyara hidup keluarganya. 

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:" Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar- benar tawakal, maka Allah memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada burung. Pagi-pagi burung keluar dari sarang dalam kelaparan, dan petang hari pulang ke sarang dalam kekenyangan" 
(Riwayay al Tarmizi)

Kami terus ke bahagian tengah kedai untuk membayar buahan- buah dan produk lain yang kami pilih. Kalau tidak silap aku, yang menjaga kaunter juruwang ialah anak perempuannya sendiri. Aku nampak peribadinya yang terserlah seperti ibunya, penuh sopan bila aku berbual sebentar dengannya dan memohon kebenaran  untuk menjengok ladang buah -buahan mereka yang betul betul  bersebelahan  kedai mereka. Aku berdoa dan berharap anak- anakku dapat menjagaku jika Allah panjangkan umurku seperti anak-anak  Nenek Olga menjaganya dikala usia menjangkau 80 tahun.

Besar ke ladang Nenek Olga? Apa yang menarik tentang ladang tersebut?
Ikuti sambungan pengembaraan kami. 
Ingin mengikuti pengembaraanku bersama keluarga di Amerika Syarikat? Klik di sini!

Popular Posts