Friday, February 22, 2013

Tawassul- Satu Kaedah Agar Doa di Terima Allah

Sumber Imej:rawatkanser.com
Allah swt berfirman yang bermaksud: "Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku akan kabulkan bagi kamu "
- surah al Mu 'Min 40:60

Ketika berdoa meminta sesuatu kepada Allah, antara kaedah yang dianjurkn ialah kaedah Tawassul. Tawassul bermaksud penggunaan sesuatu perkara dalam doa agar ia menjadi sebab bagi penerimaan doa dengan lebih baik.

Diantara tawassul yang diharuskan ialah
1. Tawassul dengan nama Allah atau dengan sifat Allah.
    Contohnya ketika meminta keampunan, sebaiknya disebut al Ghaffar- Maha Pengampun atau 
     al Tawwab- maha Penerima Taubat. 
     Ketika meminta kemurahan rezeki- seeloknya disebut al Razzaq- Maha Pemberi Rezeki 
     atau al Wahhab- Maha Pemberi.

2. Tawassul dengan keimanan kepada Allah
    Allah swt berfirman yang bermaksud:" Wahai Tuhan kami! Kami beriman dengan apa yang Engkau wahyukan dan   
    kami ikut akan rasulMu, maka catatkanlah kami bersama- sama dalam golongan yang menjadi saksi(yang  
    mengakui Keesaan Mu dan kebenaran rasul Mu) Surah ali 'Imran 3:53

3. Tawassul dengan Amalan baik dan Soleh yang  
    dilakukan
Amalan baik adalah seperti solat, puasa, bacaan AlQuran, sedekah, memberi bantuan kewangan, membantu ibubapa dan sebagainya.

Contohnya kita berdoa:" Ya Allah! Aku telah membaca kitab Al Quran yang telah engkau wahyukan, ya Allah. Jika bacaan Al Quran ini amalan soleh, maka bantulah daku ya Allah."

Dalam sebuah riwayat hadith, diceritakan tentang tiga orang lelaki yang berteduh dalam sebuah gua. Namun tiba- tiba pintu gua tersebut tersebut tertutup dengan sebuah bongkah batu besar. Mereka tidak dapat keluar. Akhirnya mereka berdoa kepada Allah serta bertawassul dengan amalan soleh mereka sendiri. 

Seorang daripada mereka bertawassul dengan amalan baiknya terhadap ibubapanya. Dia menghormati, menjaga dan berkidmat kepada ibubapanya. 

Seorang lagi lelaki bertawassul  dengan kehormatan dirinya yang berusaha mengelakkan daripada zina walaupun dia sudah hampir kepada maksiat tersebut. 

Seorang lagi bertawassul dengan sikap baiknya iaitu menyempurnakan janji kepada pekerjanya. Setiap kali berdoa, maka batu tersebut bergerak. Akhirnya mereka dapat keluar. 

Sehubungan itu, wajarlah memperbanyakkan amalan soleh dan seterusnya berdoa dengan kaedah tawassul. 

Sumber- Ust Mohd Nidzam Abd Kadir- Solusi Isu 34

Wednesday, February 20, 2013

Meteor di Rusia, Shooting Star dan Tafsir Berkenaan Meteor dalam Al Quran(Bahagian 2)

Sumber: http://www.accuweather.com

Apakah meteor sebenarnya?
Meteoroid ialah ketulan batu- batu kecil berais dan mengandungi logam yang terapung di ruang angkasa lepas. Ia dipercayai terbentuk daripada sisa komet atau asteroid. Apabila meteoroid berada dekat  dengan medan graviti bumi ia akan di tarik ke arah bumi. Meteoroid yang memasuki atmosfera bumi akan bergeser dengan udara dan ini menyebabkan ia terbakar dan berbara. Ketika ini ia dipanggil meteor atau tahi bintang. 


Kawah Meteorit di Arizona
demosthenes.info 

Kebanyakan meteor akan habis terbakar sebelum sampai ke bumi. Walaubagaimanapun ada yang sampai ke permukaan bumi dan apabila ia menghempas ke bumi ia dipanggil meteorit. Biasanya hempasan ini menghasilkan kawah- kawah yang besar. 

Contohnya meorit yang terhempas di USSRI Vladivostok, Rusia pada tahun 1947, atau di Arizona berpuluh ribu tahun dahulu.  Kawah di Arizona ini dikatakan  sangat dalam sehingga dapat memuatkan bangunan setinggi 60 tingkat dan luasnya  boleh memuatkan 20 padang bola! Semasa pengembaraanku di Amerika Syarikat tahun lepas teringin juga aku melawat kawah tersebut namun masa tidak mengizinkan kerana tempat-tempat ini terletak jauh dari jalan pengembaraan kami.

Kejadian kejatuhan meteor yang berlaku baru- baru ini di Chelyabinsk merupakan kejadian kejatuhan objek angkasa lepas berbentuk bola api terbesar sejak kejadian di Turguluska, dalalam tahun 1908. Dalam kejadian di Turguluska sebuah asteroid telah meletup dan menyebabkan kebakaran sekitar 820 batu persegi di hutan Siberia. Yang menakjubkan ia tidak meninggalkan sebarang kawah. Subhanallah. 

 Kejatuhan meteor di Rusia  ini menyebabkan lebih 1000 orang cedera akibat daripada gelombang bunyi yang begitu kuat.  Gelombang bunyi yang kuat  beserta tenaga yang begitu tinggi dibebaskan telah merosakkkan beratus ratus bangunan. Walaupun ia tidak jatuh di bandar tersebut, sumber dari NASA melaporkan meteor yang dianggarkan pada asalnya seberat 10 000 tan  itu telah membebaskan tenaga  sebanyak 500 kiloton. Tenaga ini berpuluh kali ganda tenaga yang dibebaskan oleh bom nuklear yang pernah dijatuhkan oleh pihak tentera Amerika Syarikat ke atas bandar Hiroshima pada tahun 1945. Bom ini sekuat 15 kilotons.  

Menurut salah seorang penduduk di Chelyabinsk, cahaya yang dihasilkan oeh meteor ini sekuat 10 kali cahaya matahari sehingga memaksanya memejamkan matanya ketika itu. Cuba bayangkan jika seseorang itu melihat secara terus cahaya yang di hasilkan oleh meteor tersebut.

MasyaAllah. Betapa kuatnya tenaga yang dihasilkan oleh Allah dengan objek sekecil ini. Cuba bayangkan bagaimana sekiranya objek yang lebih besar bertembung  dengan bumi. Nauzubillah. Seharusnya kita berdoa minta dijauhkan bala Allah dan cuba menambahkan amalan kita .

motleynews.net

Meteorit yang melalui ruang udara Chelyabinsk dikatakan terhempas 

 dan menghasilkan lubang  atau tasik  yang kecil


Bersambung....

Monday, February 18, 2013

Meteor di Rusia, Shooting Star dan Tafsir Berkenaan Meteor dalam Al Quran(Bahagian 1)

 Pada waktu subuh sehari sebelum kejatuhan meteor di  Chelyabinsk , Russia aku terbaca dalam Tafsir Al Azhar  karya Hamka berkenaan meteor dalam Surah Al Jin. Berdasarkan  tafsir tersebut, meteor merupakan panahan api terhadap jin yang cuba mendapatkan maklumat berkenaan tindakan Allah terhadap mereka dan penduduk bumi.

Berikut adalah terjemahan dalam Tafsir  Al Azhar Surah Al Jin ayat 8 -10

"Dan sesungguhnya kami telah sentuh langit itu, kami dapati dia dipenuhi dengan penjagaan yang kuat dan panah api. 

Dan sesungguhnya kami menduduki daripadanya tempat duduk untuk mendengar, tetapi barangsiapa yang mendengar sekarang, niscaya akan didapatinya panah anah api mengintai.

Dan sesungguhnya kami tidaklah mengetahui apakah yang buruk yang dikehendaki terhadap orang yang ada di bumi atau Tuhan mereka menghendaki yang baik."
Meteor yang meletup di ruang udara Chelyabinsk
Image dari http://news.yahoo.com 

Meteor di Chelyabinsk
Sumber- http://www.afr.com
Tafsir Ayat 8 berkenaan "Kami telah  sentuh langit itu

Jin juga telah sampai ke  tempat yang tinggi, ke lawang langit, kerana hendak mengetahui rahsia yang tersembunyi di langit, cuba hendak mengetahuinya untuk melebihkan pengetahuan daripada manusia, atau untuk di ajarkannya atau diberitahukannya kepada manusia yang selalu membuat hubungan dengan jin. 

Sambungan Ayat 8- Maka kami dapati dia dipenuhi dengan penjagaan yang kuat dan panah api."

Rupanya langit itu mempunyai penjaga - penjaga yang kuat. Masing masing mempunyai panah daripada api. Itulah  batu batu meteor yang kelihatan  bertebaran di angkasa.Setiap kali  jin teruatama jin jahat  mencuba mendekati dinding langit, ketika itu juga penjaga yang kuat itu bertindak memanahnya, sehingga tidak dapat mendekatinya lagi.

Ayat 9- " ....barangsiapa  yang mendengar sekarang, niscaya akan dapati panah panah api mengintai."

Menurut catatan Al Qurthubi dalam tafsirnya bahawa Al Kalbi menafsirkan yang dimaksudkan dengan "sekarang" ialah sejak nabi Muhammad diutus menjadi rasul. Usaha jin, iblis, syaitan dan ifrit hendak mendekati langit, atau menyediakan tempat duduk buat mendengar- dengarkan " rahsia langit" itu sudah tidak dapat lagi di buat. Kalau dahulu tidak dapat sampai ke tepi dindingnya, sekarang dari jauh sajapun sudah ada penjaga yang mengintip buat memanah kalau mendekatinya.

Sumber: http://www.accuweather.com
Pernah mendengar Wish Upon a Shooting Star? Kadangkala dalam filem Inggeris apabila digambarkan seseorang dilanda resah, dan sedang merenung langit. Seketika itu terlintas satu cahaya menjunam ke bumi. Itulah shooting star yang sebenarnya meteor yang sedang menjunam ke arah bumi. Kenapa mereka berdoa atau wish semasa melihat shooting star itu? Menurut ahli astronomi Greek dahulu, Ptolemy , terdapat lagenda yang mengatakan bahawaTuhan kadangkala merenung ke bumi melalui sfera sfera dan kadangkala bintang  terkeluar melalui ruang antara sfera ini lalu terjatuh dan kelihatan dari bumi. Oleh kerana Tuhan sedang melihat ketika itu, ia akan mempertimbangkan permohonan atau doa kita. 

Sebagai umat islam kepercayaan ini  sangat bertentangan dengan aqidah kita kerana kita percaya Allah itu Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Kenapa perlu Tuhan menjenguk ke bawah untuk melihat orang berdoa?Sebagai umat Islam kita boleh berdoa bila- bila masa sahaja tanpa perlu menunggu "shooting star"  muncul.  Ingat kepercayaan sebegini boleh membawa kepada fahaman syirik  kerana Allah tidak memerlukan apa-apa pancaindera untuk mengetahui doa hamba-hambanya. Lagipun  meteor di turunkan bukannya untuk berdoa. Sebaliknya sebagai panahan kepada syaitan dan jin.

Thursday, February 14, 2013

Bawang Besar Berharga RM 2.00

source- http://www.desicommunity.org/bawarchi-kitchen/healthy-onion-veggie


Emak pasti akan tunggu ayah pulang solat Isyak dari surau untuk makan bersama. Tatkala ayah berada di hadapan hidangan, emak beritahu ayah barang- barang yang dibeli termasuklah bawang besar berharga RM2.00 kerana telah kehabisan di rumah. 

Ayah segera bangun dari meja hidangan menuju ke bilik, kemudian ke dapur dan menghulurkanRM 2.00 kepada emak. Emak terkejut."Ambil duit ni, abang ganti balik. Lain kali kalau barang sudah habis, beritahu biar abang belikan."

Saya yang baru hendak duduk di kerusi sebelah emak bertanya," Kenapa ayah ganti balik duit itu?"

"Ayah bagi duit itu untuk nafkah perbelanjaan diri. Mak boleh beli apa yang mak suka. Duit beli barang dapur adalah duit nafkah lain, ayah wajib sediakan,"jelas ayah.

Fahamlah saya bahawa ayah bersungguh- sungguh menjaga keberkatan rezeki dalam rumahtangga sehinggakan perkara yang sekecil itu pun di ambilkira sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh ketua keluarga.

Emak pula dalam menerima hak untuk diri tetap ada usaha untuk memanjangkan rezeki itu dengan membelanjakan kembali kepada keluarga.

Apabila masing- masing ada sifat saling memberi kerana mengharapkan keredhaan Allah, rezeki di rumah tidak pernah putus walaupun kehidupan tidak semewah mana.

Sumber-Jalilah Hj Abdullah- Anis -April 2012 

Monday, February 4, 2013

Penerbangan Ke Denver- Pemandangan yang Menguja dan Menakjubkan

www.colorados-finest-www.colorados-finest-custom-homes.com-homes.com
 Penerbangan dari San Francisco, California ke Denver, Colorado merupakan satu penerbangan yang memenatkan. 
Setelah bergegas dari motel ke lapangan terbang San Francisco, kami dapati rupa- rupanya kami terpaksa menunggu  lebih dua jam sebelum dibenarkan masuk ke dalam kapalterbang. Itupun  sejam selepas  itu barulah kapalterbang berlepas ,setelah menunggu penumpang yang mempunyai 'connecting flights' dengan kami. Dari Denver kami mempunyai 'connecting flight' ke Detroit, Michigan. Alhamdulillah, kesempatan itu kami gunakan untuk makan tengahari dan solat. Kami hanya mencari satu tempat terpencil yang jauh dari lalu- lalang orang ramai untuk menunaikan solat jamak  Zuhur Asar

Sebaik saja masuk ke dalam  kapalterbang kami tidak menyangka kami teraksa mencari tempat duduk sendiri. Rupa rupanya syarikat itu mengamalkan 'free seating'! Satu perkara yang paling tidak disukai bagi mereka yang sampai awal ke lapangan terbang. Mahu tidak mahu aku terpaksa duduk di sebelah seorang lelaki walaupun aku lebih selesa duduk di sebelah kaum sejenis denganku.

Penerbangan ke Denver mengambil masa lebih kurang 2 jam. Sebenarnya itulah kali pertama  aku sampai ke Colorado. Setengah jam sebelum mendarat aku dapat menyaksikan satu pandangan pergunungan di Colorado yang begitu memukau. Pergunungan ini  dipenuhi salji memutih yang begitu luas , indah saujana memandang. MasyaAllah. Aku pernah mendengar pergunungan di Colorado ini sangat terkenal dengan  aktiviti ski. Tidak terfikir pula aku dapat menyaksikan sendiri pergunungan yang istimewa ini.  

Sejurus sebelum mendarat, hujan turun dengan lebat. Kilat sabung menyabung menyebabkan aku berasa gusar berada dalam kenderaan di kawasan lapang. Tiba- tiba aku  menyaksikan satu fenomena ciptaan Allah yang begitu menarik. Melalui tingkap kapalterbang, aku ternampak dengan jelas kilat keluar daripada sebuah awan mendung dan seterusnya kilat itu menghala ke bumi. Wow, Subhanallah! Ini sama dengan apa yang aku perhatikan di lukisan dalam buku. Meskipun aku memahami bagaimana kilat berlaku aku tidak menyangka akan menyaksikan fenomena ini betul betul di hadapanku. Biasanya sewakru kita di darat, kita akan bergegas masuk ke dalam bangunan sewaktu kilat sabung menyabung kerana khuatir akan disambar kilat. Namun ketetapan Allah telah memberi peluang  aku menyaksikan  sendiri fenomena ini dari atas kapalterbang. Maha Suci Allah!. Walaupun kilat itu merupakan panahan kepada syaitan, ia juga menunjukkan betapa agungnya Allah menciptkan kilat yang sebegitu kuat dan menakjubkan.

Sunday, February 3, 2013

Awasi Bicara Di Alam Maya

"Tidak ada kebaikan pada bisikan- bisikan mereka, kecuali ( bisikan- bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, berbuat kebaikan atau mendamaikan antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan tujuan  mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi pahala yang amat besar kepadanya."- 
Surah an Nisa' 4:14

" Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui ((segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui."
Surah an Nur 24:19

Berdasarkan ayat di atas, kebebasan berbicara dalam Islam menuntut kita menghormati hak- hak dan maruah orang lain samada orang Islam atau bukan Islam terutama yang berkaitan privasi seseorang.

Disamping itu, adab berkomunikasi dijaga dan dilakukan dengan cara berakhlak. Perkara paling utama yang perlu dititikberatkan ialah kesahihan perkara yang disampaikan

Sumber: Dr Aznan Zuhid Saidin- Solusi isu 50

Popular Posts