Friday, January 18, 2013

Red Rock Canyon- Gurun Berbatu Yang Unik dan Mengujakan

Bila sebut nak bercuti di Los Angeles, ramai yang akan membayangkan Disneyland, Holywood dan Universal Studios. Sebenarnya lebih banyak tempat yang boleh di lawati oleh pelancong selain daripada tempat berkenaan.

 Sebelum memulakan pengembaraan  pada bulan April 2012, aku tercari- cari tempat yang istimewa di sekitar LA yang lain dari yang lain. Satu tempat yang bukan merupakan taman tema dan juga bukan pusat membeli belah. 
Setelah beberapa lama melayari internet barulah aku terserempak dengan  Red Rock Canyon, satu tempat di kawasan gurun tidak jauh dari LA.

Mulanya terdetik juga di hatiku ini, "iish! iish! merepeklah!...ada apa kat gurun. Orang pergi US nak pergi tempat sejuk. Ni gurun panas. Ada apa di sana?

Namun setelah melihat gambar dalam internet berkenaan gurun ini, timbul keinginanku hendak melawat tempat sedemikian. Pengembaraan kali ini aku bercadang melawat ke tempat yang berbeza cuaca dan keadaan fizikalnya dan secara tidak langsung mengaitkan dengan kekuasaan Allah.


Salah satu pemandangan di Red Rock Canyon
Perjalanan ke Red Rock Canyon mengambil masa lebih kurang dua jam perjalanan dari downtown Los Angeles. Namun setelah bertolak lebih kurang satu jam perjalanan kami sudah terasa bahang kepanasannya. Suhu yang pada mulanya ialah lebih kurang 70 darjah Fahrenheit  telah beransur-ansur meningkat ke hampir mencecah 100 darjah Fahrenheit di Palmdale, satu bandar besar dan mewah di pinggir daerah Los Angeles.

Hatiku ini mula resah bila sampai di kawasan gurun. Manakan tidak, tidak banyak kenderaan yang kelihatan. Pekan yang kami lalui kecil-kecil belaka. Ayat- ayat ' What if...( apa akan jadi sekiranya....) mula berlegar di benak fikiranku. Suamiku sudah rasa letih akibat memandu dalam terik panas matahari. Walaupun kereta berhawa dingin, keadaan cahaya yang terlalu terang cepat meletihkan seseorang pemandu. Risau juga hati kami kerana tempat yang dituju tidak kelihatan.

Tiba- tiba tanpa kami sedari kami berada berhampiran satu batu  yang begitu besar setinggi bukit. MasyaAllah.... Lebih terkejut lagi bila kami melepasi batu ini kami telah masuk ke satu kawasan yang terselindung dari cahaya matahari dan ia di penuhi dengan gunung-ganang  berbatu  yang seolah- olah diwarnai lapisan berwarna warni dan corak yang begitu menarik. Kami berasa seolah olah berada di kawasan yang begitu asing di bumi ini!

Kawasan ini tidak mempunyai kawasan penempatan. Hanya kawasan perkhemahan dan pejabat pengawal. Jangan terkejut di kawasan ini mempunyai anak sungai yang mengalir dan sesuai untuk mandi manda. Namun kami tak berkesempatan untuk melihat sungai itu kerana ketika itu jalan menuju ke sungai itu hanya boleh di lalui oleh pejalan kaki. Lagipun kami kesuntukan masa. Walaubagaimanapun, kami berkesempatan untuk  melihat secara dekat batuan gunung yang unik ini. 

Sungguh aku berasa takjub dengan kebesaran Allah kerana menciptakan gunung sebegini indah.Kala  itu aku sangat bersyukur diberi peluang menyaksikan secara dekat  ciptaan Allah yang sangat unik ini sungguhpun kami terpaksa melalui kawasan gurun yang panas itu. Semua itu dengan ketentuan Allah jua,

Semua gambaran berkenaan kawasan indah ini aku akan huraikan dalam travelog keduaku nanti, InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts