Tuesday, January 29, 2013

MasyaAllah, Indahnya langit ini

MasyaAllah, Indahnya langit yang terbentang di hadapanku ini.
Kadangkala teringin aku menjadi seperti burung, terbang tinggi di langit yang luas, membawa diri bersama angin yang bertiup nyaman.
Namun aku bersyukur dilahirkan sebagai seorang manusia, biar sebagaimana indah sekalipun langit  dihiasi deretan awan, dihiasi pula dengan burung yang melebarkan sayapnya  terbang bersama angin, aku punya misi  untuk menikmati sesuatu yang lebih indah daripada dunia ini, iaitu Jannnatul Firdaus. 
Sesungguhnya aku harus berusaha memperoleh yang lebih baik daripada apa yang ada di dunia ini.

Wednesday, January 23, 2013

Makmurnya Masjid Di USA.....

Masjid Bakersfield, California
Biasanya apabila kita melihat sebuah masjid itu di penuhi dengan aktiviti atau ahli jemaahnya, kita akan kata "Alangkah makmurnya masjid ni!" 

Alhamdulillah antara masjid yang kami singgah di California semasa pengembaraan kami pada tahun 2012 ialah Masjid Bakersfield dan Masjid Fresno. 

Sewaktu kami singgah di Masjid Bakersfield pada suatu pagi Ahad kami dapati terdapat kelas agama bagi kanak- kanak dan remaja sedang dijalankan di ruang solat. Biasanya kelas ini dijalankan oleh para sukarelawan. Sungguhpun masjid di Bakersfield ini tidak berapa besar dan terletak di tengah- tengah downtown, bilangan pelajar yang hadir agak ramai.

Masjid Fresno, California
Masjid Fresno pula terletak berhadapan dengan California State University, Fresno. Sewaktu aku belajar di salah sebuah universiti  di Caforniapada tahun 1980an, masjid  ini hanya merupakan sebuah apartment satu tingkat. Alhamdulillah kini ia dibangunkan semula dalam bentuk yang menarik setinggi 2 tingkat.

Sewaktu kami lalu di tepi masjid ini pada suatu waktu petang tempat letak kereta masjid ini  dijadikan gelanggang untuk bermain bola dan beristirehat oleh orang Islam di sana. Istimewanya masjid ini kerana ia mempunyai seorang pengawal yang mengawasi masjid dan persekitarannya. Oleh itu berbeza dengan sebahagian masjid di US, masa masjid ini dibuka lebih lama. Sewaktu kami singgah di masjid ini, Kami berjumpa dengan Umar, seseorang berbangsa Afrika yang ditugaskan mengawasi masjid tersebut. Umar tinggal tidak jauh dari masjid ini, oleh itu agak mudah baginya berulang alik ke masjid dan mengawasinya.

Masjid- masjid lain yang lebih besar di US ini kini kebanyakannya mempunyai sekolah Islam di dalam kawasan masjid itu sendiri. Oleh itu masjid itu biasanya selalu di penuhi dengan aktiviti, samada aktiviti sekolah mahupun aktiviti luaran dan keagamaan. InsyAllah saya akan bincangkan berkenaan masjid yang lebih besar nanti.

Ingin mengikuti pengembaraanku bersama keluarga di Amerika Syarikat? Klik di sini

Kelahiran yang Indah....Nabi Muhammad s.a.w

"Aku teringatkan cerita Almarhum suamiku," kata Aminah sambil tersenyum sedikit." Mudah- mudahan semuanya benar"

"Cerita apa?" tanya Ummu Uthman , mengesat peluh di dahi Aminah.

"Kata Abdullah, beberapa orang wanita memberitahunya, mereka melihat cahaya pada wajah Abdullah. Tetapi selepas menikahiku, mereka tidak lagi melihat cahaya itu."

"Kenapa? Ke mana perginya cahaya itu?" Ummu Aiman turut tertarik ingin mengetahui.

" Kata mereka, cahaya itu sudah berpindah kepadaku," jawab Aminah.


"Cahaya apa, puan?" tanya Ummu Aiman lagi.

"Entahlah, Abdullah tidak tahu dan aku juga tidak tahu."

"Aku percaya, tentu ada maksudnya yang tersendiri," ulas Ummu Uthman pula.

Aminah berkata lagi, " Aku pernah bermimpi melihat seolah- olah ada cahaya halus keluar dari tubuhku. Cahaya itu menerangi seluruh alam, hingga terlihat bangunan di Syam dan Basrah. Dan aku mendengar suara berkata," Wahai Aminah, engkau teah mengandungkan seorang pemimpin seluruh umat manusia."

"Barangkali itulah cahaya yang diceritakan oleh suamimu dulu, Aminah," Ummu Uthman membuat telahan.


Semasa kelahiran itu, bergegar istana Kaisar Rom menyebabkan 14 buah menaranya runtuh. Terpadam api sembahan penganut agama majusi di Parsi yang tidak pernah padam sejak ratusan tahun sebelumnya.

Sumber: Zuraimi Ismail-Anis May 2009

Friday, January 18, 2013

Red Rock Canyon- Gurun Berbatu Yang Unik dan Mengujakan

Bila sebut nak bercuti di Los Angeles, ramai yang akan membayangkan Disneyland, Holywood dan Universal Studios. Sebenarnya lebih banyak tempat yang boleh di lawati oleh pelancong selain daripada tempat berkenaan.

 Sebelum memulakan pengembaraan  pada bulan April 2012, aku tercari- cari tempat yang istimewa di sekitar LA yang lain dari yang lain. Satu tempat yang bukan merupakan taman tema dan juga bukan pusat membeli belah. 
Setelah beberapa lama melayari internet barulah aku terserempak dengan  Red Rock Canyon, satu tempat di kawasan gurun tidak jauh dari LA.

Mulanya terdetik juga di hatiku ini, "iish! iish! merepeklah!...ada apa kat gurun. Orang pergi US nak pergi tempat sejuk. Ni gurun panas. Ada apa di sana?

Namun setelah melihat gambar dalam internet berkenaan gurun ini, timbul keinginanku hendak melawat tempat sedemikian. Pengembaraan kali ini aku bercadang melawat ke tempat yang berbeza cuaca dan keadaan fizikalnya dan secara tidak langsung mengaitkan dengan kekuasaan Allah.


Salah satu pemandangan di Red Rock Canyon
Perjalanan ke Red Rock Canyon mengambil masa lebih kurang dua jam perjalanan dari downtown Los Angeles. Namun setelah bertolak lebih kurang satu jam perjalanan kami sudah terasa bahang kepanasannya. Suhu yang pada mulanya ialah lebih kurang 70 darjah Fahrenheit  telah beransur-ansur meningkat ke hampir mencecah 100 darjah Fahrenheit di Palmdale, satu bandar besar dan mewah di pinggir daerah Los Angeles.

Hatiku ini mula resah bila sampai di kawasan gurun. Manakan tidak, tidak banyak kenderaan yang kelihatan. Pekan yang kami lalui kecil-kecil belaka. Ayat- ayat ' What if...( apa akan jadi sekiranya....) mula berlegar di benak fikiranku. Suamiku sudah rasa letih akibat memandu dalam terik panas matahari. Walaupun kereta berhawa dingin, keadaan cahaya yang terlalu terang cepat meletihkan seseorang pemandu. Risau juga hati kami kerana tempat yang dituju tidak kelihatan.

Tiba- tiba tanpa kami sedari kami berada berhampiran satu batu  yang begitu besar setinggi bukit. MasyaAllah.... Lebih terkejut lagi bila kami melepasi batu ini kami telah masuk ke satu kawasan yang terselindung dari cahaya matahari dan ia di penuhi dengan gunung-ganang  berbatu  yang seolah- olah diwarnai lapisan berwarna warni dan corak yang begitu menarik. Kami berasa seolah olah berada di kawasan yang begitu asing di bumi ini!

Kawasan ini tidak mempunyai kawasan penempatan. Hanya kawasan perkhemahan dan pejabat pengawal. Jangan terkejut di kawasan ini mempunyai anak sungai yang mengalir dan sesuai untuk mandi manda. Namun kami tak berkesempatan untuk melihat sungai itu kerana ketika itu jalan menuju ke sungai itu hanya boleh di lalui oleh pejalan kaki. Lagipun kami kesuntukan masa. Walaubagaimanapun, kami berkesempatan untuk  melihat secara dekat batuan gunung yang unik ini. 

Sungguh aku berasa takjub dengan kebesaran Allah kerana menciptakan gunung sebegini indah.Kala  itu aku sangat bersyukur diberi peluang menyaksikan secara dekat  ciptaan Allah yang sangat unik ini sungguhpun kami terpaksa melalui kawasan gurun yang panas itu. Semua itu dengan ketentuan Allah jua,

Semua gambaran berkenaan kawasan indah ini aku akan huraikan dalam travelog keduaku nanti, InsyaAllah.

Thursday, January 17, 2013

Nabi Muhammad- Tokoh Sejarah Paling Berpengaruh

Michael H Hart adalah ahli sejarah, pakar matematik dan pakar astronomi. Pada tahun 1978  beliau telah menulis buku bertajuk 'The 100' dan buku ini diterbitkan semula  pada tahun 1992 dengan tajuk The 100: A Ranking of  The Most Influential Persons in History. 


Di dalamnya di muatkan kajian beliau berkenaan 100 tokoh sejarah yang paling banyak memberi kesan dan mempengaruhi jalan hidup manusia. Akhirnya beliau merumuskan, tokoh sejarah yang paling berpengaruh adalah Nabi Muhammad.

Beliau berkata," ....saya memilihnya( Muhammad) sebab hanya beliau sahaja dalam sejarah yang berjaya dalam dua bidang iaitu keagamaan dan keduniaan. Daripada asal usul yang agak biasa, beliau mengasaskan dan mengembangkan salah satu agama terhebat di dunia dan menjadi pemimpin yang unggul. Pada hari ini, 13 abad selepas kewafatan beliau, pengaruhnya masih hebat dan terus berkembang.

Daripada 100 orang tokoh yang dikajinya, 20 nama yang teratas adalah

1. Nabi Muhammad
2. Isaac Newton
3. Nabi Isa(Jesus Christ)
4. Buddha
5. Confucius
6. St Paul
7. Tsa'i Lun
8. Johann Gutenberg
9. Christopher Columbus
10. Albert Einstein
11. Karl Marx
12. Louis Pastuer
13. Galileo Galilei
14. Aristotle
15. Lenin
16. Nabi Musa
17. Charles Darwin
18. Shih Huang Ti
19. Augustus Caesar
20. Mao Tse tung

Sumber: Bukti Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad- Dr Danial Zainal Abidin.

Tuesday, January 15, 2013

Arasy Allah- Sedikit Perbincangan dan Hikmah Mengetahuinya

Para ulama merumuskan bahawa Arasy ialah sebuah benda((jisim) ciptaan Allah yang sangat besar dan dipikul oleh beberapa malaikat. Allah menjadikannya sebagai kiblat penduduk langit untuk bertawaf di sekitarnya sebagaimana Dia menjadikan Kaabah di bumi sebagai kiblat solat dan tempat umat Islam bertawaf.-penjelasan Imam AlBaihaqi dalam  Asma' wa al-Sifat

Allah berfirman yang bermaksud:" Malaikat- malaikat yang memikul Arasy dan para malaikat  yang berada di sekelilingnya bertasbih, memuji  Allah dan tunduk kepadaNya, sera memohon ampun bagi orang beriman."(SurahGhafir 40:7)

Nabi s.a.w bersabda  mafhumnya: "Bandingan tujuh langit dengan al Kursi seperti bulatan(seumpama sebentuk cincin) di tengah-tengah padang pasir. Dan kelebihan Arasy terhadap al Kursi seumpama kelebihan padang pasir terhadap bulatan (cincin) tersebut." (Riwayat Ibn Hibban)

Demikian kebesaran Arasy yang berada di luar jangkauan manusia . Allah Maha Suci dan Maha Besar sebagai pemilik Arasy yang sangat agung.

Dalam surah al Maarij, ayat 7, disebutkan bahawa para malaikat yang membawa titah Ilahi ini naik dan turun dalam satu hari yang kadarnya 50 000 tahun perjalanan. Menurut  Ibn Kathir, kadar ini adalah gambaran jarak di antara Arasy dengan lapisan bumi  ketujuh yang paling rendah. 

Menyedari kebesaran Arasy juga melahirkan kekaguman akan kebesaran Allah  yang telah mencipta dan mengawal Arasy. Sesiapa yang selalu mengakui kebesaran Allah dalam hatinya, segala permasalahan dunia akan terasa kecil. Maka tidak ada masalah besar yang datang apabila bantuan Allah selalu bersama kita. Justeru, teruslah mengakui kebesaran Allah dalam hati apabila berhadapan dengan cabaran dan masalah yang sangat berat.
 Sumber: Ust Umar Muhammad Noor- Solusi Isu No 50

Thursday, January 10, 2013

Sabar yang Indah

'Maka bersabarlah engkau, sabar yang indah'-  Al Maarij ayat 5


Sabar yang indah maksudnya 

  • Sikap yang tenang
  • Tidak lekas marah
  • Tidak naik darah
  • Terima cemuhan itu dengan senyum simpul
  • Jangan termenung dan putus asa
  • Lanjutkan usaha
  • Jangan berhenti di tengah jalan. 
Sumber- Tafsir Al Azhar Juzu' 29

Popular Posts