Wednesday, February 21, 2018

Dua masyarakat, satu konservatif, satu lagi moden, Islam tetap punya kelebihan.


Mulanya saya agak kurang percaya dengan kewujudan kaum ini di negara yang sudah maju. "Eh...macam Little House on the Prairie pula",hati saya berbisik kali pertama ternampak gambar mereka di brosur. Namun bila melihat banyak gambar-gambar mereka di internet, saya berasa 'curious'. Betul ke wujud kaum ini yang sangat konservatif ini sehingga kini.

Atas sebab 'curiosity' atau perasaan ingin tahu inilah yang menyebabkan saya memasukkan perkampungan Amish dalam itinerari pengembaraan kami.

Mesopotamia, hanya sebuah perkampungan Amish yang terletak di timur laut Ohio, lebih kurang 30 batu  jaraknya dari Cleveland. Meskipun namanya sehebat satu tempat yang satu masa dahulu hebat dengan tamaddun awal dunia dan tempat letaknya taman tergantung Babylon yang istimewa, namun  tempat ini seolah-olah satu kampung yang sangat sunyi.

Di sepanjang perjalanan kami dalam kawasan kampung ini, kelihatan pokok-pokok gandum tumbuh subur menghijau. Kebanyakan ladang di sini masih menggunakan tenaga haiwan (kuda) dan mesin-mesin yang ringkas yang menggunakan tenaga 4 kerat manusia sendiri. Berbeza dengan traktor-traktor elektrik besar yang biasa kelihatan di ladang-ladang sekitar  Amerika Syarikat ini. Daripada brosur saya mendapat tahu fahaman mereka sangat menghadkan penggunaan tenaga elektrik samada dalam pekerjaan mahupun kehidupan sehari hari. 
Kami melepasi beberapa buah kereta kuda berpenumpang. Jangan terkejut! Kereta kuda merupakan  kenderaan utama kawasan ini. Orang Amish berpegang kuat kepada fahaman mereka yang tidak menggalakkan mereka memiliki  kereta mahupun kenderaan bermotor yang lain. Mereka hanya boleh menyewanya sekiranya keadaan memerlukan. Namun ada juga orang Amish memiliki kereta sebagai kenderaan tambahan. 

Kami mengambil kesempatan untuk singgah di sebuah kedai  ''End of the Commons General Store' yang merupakan kedai runcit yang tertua  di Ohio. Kedai ini mula dibuka pada tahun 1840. Memang tepat jangkaan saya pemandangan luaran dan dalaman kedai ini betul-betul seperti  dalam siri ' Little House On The Prairie' sebuah drama Inggeris yang sangat popular tahun 1970an  dahulu, yang mengisahkan tentang kehidupan sebuah  keluarga di kawasan perkampungan yang mengusahakan ladang gandum. 

Juruwang  kedai  End Of Commons ini , seorang wanita  berpakaian gaun kembang labuh sampai ke buku lali manakala rambutnya diikat kemas dan ditutup dengan skaf kecil. Kehadiran kami disambut mesra oleh mereka , jurujual Amish  di kedai tersebut, Alhamdulillah. 

Berdasarkan brosur dan internet, tata cara berpakaian orang Amish juga agak ketat. pakaian mereka tidak boleh  menarik perhatan umum. Kain bagi pakaian mereka hanya terdiri beberapa tona warna sahaja dan tidak bercorak. Kebanyakannya bertona suram dan putih.  orang Amish tidak digalakkan mengikut fesyen dunia luar. Orang perempun dewasa berpakaian gaun labuh manakala anak-anak perempuan bergaun melebihi  lutut. Semua wanita  dan kanak-kanak p erempuan dwajibkan  menutup rambut dengan tudung (bonnet) yang khas. Lelaki  pula berpakaian kemeja dan seluar hitam dan kadangkala dilengkapi vest dan suspenders. 

Kaum  Amish ini beragama  Kristian (biblicist) dan berpegang kuat kepada ajaran dalam kitab Injil mereka. Gereja mereka bersaiz kecil. Sekali pun fahaman mereka ketat dan  kehidupan mereka sangat 'simple', bilangan mereka semakin bertambah dari hari sehari. Kenapa agknya boleh terjadi sedemikian?

Saya teringat tentang satu artikel yang membincangkan perkara yang amat berbeza dengan kaum Amish yakni tentang masyarakat Jepun' yang memang kita tahu secara amnya maju dalam pelbagai bidang. 

'Mengapa orang Jepun sukar menerima Islam?
Puncanya ialah orang Jepun merasakan kehidupan mereka lebih baik berbanding orang Islam. Jepun lebih baik dari segi kecanggihan teknologi, ekonomi  dan juga keperibadian. Para pelajar mereka di ajar dan dilatih dengan adab lebih dahulu sebelum diberi ilmu.
Contohnya, kebersihan tandas. Pergilah ke mana- mana bandar Jepun, kebersihan tandas mereka sangat mengagumkan. Jauh lebih bersih daripada tandas awam, malah tandas-tandas di masjid kita. Lapangan terbang mereka misalnya, jauh lebih bersih dan mesra pengguna berbanding lapangan terbang negara-negara Islam seperti Lapangan Terbang Karachi dan Jeddah. 

Kebanyakan masyarkat mereka sangat menghormati hak orang lain. Barang-barang peribadi seperti telefon bimbit, beg dan lain-lain yang tertinggal atau tercicir di stesen keretapi, di pusat membeli belah atau di tempat-tempat awam akan dapat di temui semula. 

Orang Jepun sangat menepati dan pandai mengurus masa. Mereka sangat rajin dan berdisiplin. Orang Jepun  sangat berpegang kepada etika kerja dan budaya bangsa. Kedua-duanya dihayati dan diamalkan secara bersepadu. Mutu kerja mereka yang baik dibentuk oleh etika kerja mereka. Apabila etika kerja dipatuhi maka terhasillah kerja yang efektif dan efisien. 

Meskipun sudah maju, orang Jepun masih punya kelemahan. Lemah kerohaniannya. Lemah pergantungan kepada Tuhan. Apabila kecewa dan putus asa, mereka mudah membunuh diri. Sebab itu, kadar bunuh diri sangat tinggi dalam kalangan mereka. Sama ada pada orang dewasa juga kepada kanak-kanak.

Kenapa orang Jepun tidak minat dengan Islam untuk memenuhi jiwa mereka yang kosong? Masalahnya bukan mereka tidak minat dengan Islam tetapi orang Islam yang lemah memasarkannya. 

Islam mementingkan kebersihan, pengurusan masa, kejujuran, menepati janji. Dengan mengamalkannya, keindahan Islam akan terserlah. Insha Allah hanya dengan itu bangsa Jepun akan terbuka mata. 

Betapa selama ini dunia menjadi kacau apabila umat Islam tidak mengamalkan Islam. Kita tidak menjadi teladan. Tidak menjadi penyelamat. Sedangkan tabiat Islam itu selamat dan menyelamatkan. 
Orang Jepun lebih memerlukan sikap Islam bukan sekadar cakap-cakap tentang  Islam. Sikap boleh dilihat oleh mata tetapi cakap hanya boleh didengar oleh telinga. Dengan cara beginilah islam boleh 'dipasarkan'. 

Sumber:Islam lebih hebat daripada Samurai- Pahrol Mohd Juoi-Solusi isu 88

Benar, setiap kali mengembara di bumi Amerika Syarikat kami lebih banyak dapat melihat bagaimana Islam dipasarkan dengan bersungguh-sungguh oleh orang Islam di sana,  lebih-lebih lagi dari segi akhlak . Dengan cara begini non Muslim dapat melihat dengan jelas keindahan agama Islam. Namun bila balik ke Malaysia, orang bukan Islam lebih kerap mendapat tahu tentang  keindahan Islam melalui pembacaan  dan melalui internet. Tanya saja mualallaf di sini dan anda akan mendapat jawapan yang hampir serupa. Mereka agak kurang tertarik dengan akhlak orang Islam di sini. Agaknya kenapa? 

Elok juga kita renungkan bersama petikan ini.

'Sesungguhnya keunggulan tamaddun Islam terletak kepada kejayaannya melahirkan generasi yang sempurna akhlaknya. Keadaan ini terserlah pada keperibadian para sahabat Rasulullah. Generasi para sahabat Rasulullah yang merupakan ialah golngan terbaik dalam kalangan manusia . 

Allah sendiri mengakui dalam Al Quran 
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan dalam kalangan manusia. Kamu menyuruh kepada kebaikan dan melarang kejahatan."
Surah Ali 'Imran 3:110'
 Sumber:Tenang ada di sini- Pahrol Mohd Juoi

Sama-sama kita berubah dan berusaha mengikut akhlak Rasulullah dan para sahabat baginda, Insha Allah

No comments:

Post a Comment

Popular Posts