Tuesday, November 4, 2014

Hijrah Rasulullah-Kisah Rasulullah saw dan Abu Bakar di Gua Thur

Setelah mereka sampai ke Gua Thur, Abu Bakar berkata:" Demi Allah, jangan engkau masuk ke dalamnya melainkan aku masuk terlebih dahulu. Kalau ada apa-apa bahaya, maka biar aku yang kena, asalkan jangan kamu."

Abu Bakar pun masuk dengan menguis-nguis kakinya. Didapatinya sebelahnya ada sebuah lubang lalu dikoyakkan kainnya dan ditutupi lubang itu. Kemudian didapati ada dua lubang lagi lalu ditekapkan dua kakinya ke lubang itu, kemudian dipanggilnya Rasulullah saw masuk. Rasulullah saw masuk , kemudiannya meletakkan kepalanya ke pangkuan Abu Bakar lalu tertidur.

Tiba- tiba kaki Abu Bakar disengat oleh binatang berbisa dari lubang tersebut. Namun ditahan kesakitannya tanpa bergerak kerana tidak mahu Rasulullah terjaga sehingga air matanya mengalir dan menitis di atas wajah Rasulullah saw. Lalu Rasulullah saw berkata:" Apa kena dengan kamu, hai Abu Bakar?" Jawabnya:" Aku disengat." Lalu Rasulullah saw meludah ke tempat sengatan itu lantas hilanglah kesakitan yang dirasainya.

Gua Thur ini tidaklah besar. Tinggi Gua lebih kurang 1.25 meter dengan panjang dan lebar sekitar 3.5 meter. Sewaktu persembunyian dalam Gua Thur, Abu Bakar al Siddiq r.a. bimbang jika ada dalam kalangan Quraisy akan menjumpai mereka pada ketika itu dan akan bertindak membunuh Rasulullah.

Dalam hadith riwayat Anas r.a. bahawasanya Abu Bakar al Siddiq menceritakan ," Aku bersama- sama Rasulullah saw di dalam gua lalu aku dapat melihat kaki pihak Musyrikin betul- betul berada di hadapan celah- celah lubang bertentangan dengan mataku. Aku lantas berbisik," Ya Rasulullah, jika salah seorang daripada mereka mengangkat kakinya atau melihat ke arah kakinya nescaya mereka akan dapat melihat kita.'

Lantas Baginda SAW bersabda yang bermaksud:' Wahai sahabatku, Abu Bakar. Apakah yang terlintas difikiranmu tentang perihal dua orang apabila Allah SWT merupakan pihak yang ketiga bersama mereka?'"

Begitulah sikap dua orang sahabat sejati, seorang cuba melindungi keselamatan sahabatnya dengan penuh kesungguhan. Manakala seorang lagi cuba cuba menenangkan sahabatnya yang gusar.Bagaimana dengan sikap kita terhadap sahabat sendiri?

Sumber: Sirah Nabawiyyah - Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri
               Bayu Kerinduan di Bumi Haramain- Ust Ahmad Husni Abd Rahman

No comments:

Post a Comment

Popular Posts