Thursday, May 30, 2013

Mencari Asal Usul Kedatangan Islam ke Amerika Syarikat- Islamic Heritage Museum, Washington DC

Dua kuntum bunga raya di halaman sebuah rumah
di Washington DC
Mencari kawasan tempat letak kereta di kawasan bandar sememangnya sukar terutama sekali bandar besar seperti Washington DC. 

Di Amerika Syarikat terdapat dua tempat yang  namanya Washington, iaitu Washington state ( negeri Washington) dan bandaraya Washington yang terletak di District of Columbia,  atau ringkasnya Washington DC. 

Islamic Heritage Museum, Washington DC
Sebab itulah sesiapa yang mahu datang ke sini mesti memastikan tempat yang di tuju ialah sebuah negeri atau bandaraya apabila disebut Washington. Kedua- duanya terletak berpuluh ribu kilometer di antara satu sama lain. Satu di sebelah timur dan  satu di sebelah barat. 

Alhamdulillah tidak lama kami berpusing- pusing mencari  tempat parkir, akhirnya kami dapat meletakkan kenderaan mpv kami di hadapan sebuah rumah yang mempunyai  dua kuntum bunga raya merah  sedang kembang mekar di halaman rumah tersebut. Bangga juga melihat bunga kebangsaan di tanam disini. 

Kalau di Malaysia kita tidak ambil kisahpun  bila melihat bunga tersebut. Di sini, setiap apa yang terlihat berkaitan dengan negara samada bunga, bendera, pakaian, matawang atau makanan menjadikan sesiapa yang dilahirkan atau warnanegara Malaysia berasa bangga dan 'excited'.

Tempat yang kami tuju? Islamic Heritage Museum yang baru saja dibuka pada pertengahan 2011, lebih kurang setahun sebelum kami sampai ke sana. 

Kenapa kami pergi ke tempat sebegini sebagai tempat tuju yang utama? 

Pertama, tempat itu boleh dijadikan sebagai tempat rujukan bagaimana Islam mula- mula sampai ke benua Amerika. Ingat jumlah orang Islam di Amerika Syarikat  setakat ini danggarkan 6-7 juta orang. Agama Islam dikatakan antara agama yang paling cepat berkembang di negara ini berdasarkan ramainya orang yang memeluk Islam sekian hari. 

Ironinya negara inilah yang selalu dikutuk oleh orang Islam di negara lain.Setiap kali budaya negatif disebut, hampir setiap kali disebut ini budaya Amerika atau budaya barat tanpa mengambil kira  betapa ramainya orang Amerika dan orang barat yang memeluk agama Islam setiap hari. Mungkin penceramah atau ustaz- ustaz di sini perlu mengubah istilah budaya barat kepada budaya negatif atau budaya orientalis dan sebagainya. Daripada sinilah diharapkan rakyat negara ini dapat mengubah daripada menggunakan perkataan budaya barat kepada budaya  negatif atau budaya orientalis.

Kedua, sebagai umat Islam, kami ingin turut serta berbangga melawat apa saja yang berkaitan dengan Islam, tak kira samada terdapat  fahaman- fahaman Islam  yang berlainan. Misalnya ada fahaman yang tidak setuju dengan cara Nation of Islam yang banyak diwakili oleh Blacks.  Perkataan 'negro' jangan sekali- kali digunakan di sini kerana negro menngaitkan orang- orang berkulit hitam dengan hamba. Panggillah mereka dengan 'blacks' atau 'orang berkulit hitam' samada di Amerika mahupun di negara kita. Belajarlah untuk menghormati panggilan yang mereka lebih suka, Itulah yang dianjurkan oleh Islam, bukan?

Al Hujurat:11
Firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak(dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh  dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk.(Larangan- larangan tersebut menyebabkan orang yang melakukannya fasik, maka amat buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat(daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang- orang yang zalim.

 Bersambung

No comments:

Post a Comment

Popular Posts