Tuesday, August 7, 2012

Sebatang Pen Fountain- Gaya Penulisan yang Kreatif dan Cantik

Kata orang mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Namun aku kurang pasti samada golongan muda sekarang faham apa yang di maksudkan dengan mata pena mahupunmata pedang. Sejarah telah menyaksikan betapa mata pena memainkan peranan penting semasa rakyat bangkit menentang penjajah untuk mencapai kemerdekaan.

Aku masih teringat sewaktu kali pertama kami diwajibkan membeli pen untuk latihan menulis 'cursive' di sekolah. Kami dikehendaki membeli atau mendapatkan pen fountain atau pen berdakwat basah. Bapaku telah membeli sebuah pen fountain berwarna hijau lalu di hadiahkan kepadaku. Aku sangat teruja menerima pen tersebut kerana bagiku ia merupakan satu hadiah yang sangat istimewa bagiku. Pen ini mempunyai alat pengepam yang membolehkan dakwat basah dari botol dakwat masuk ke dalamnya sebelum ditulis. Memang comot habis tanganku setiap kali mengisi dakwat tersebut. Namun itulah antara keseronokan memiliki sebatang pen fountain. Seminggu sekali aku aku akan membasuhnya dengan air biasa untuk memastikan mata penanya tidak tersumbat supaya pengaliran dakwat boleh berterusan keluar. Selepas itu pen itu perlu dikeringkan. Nampak remeh tapi masyarakat zaman itu memang menghargai sebatang pen berlainan daripada sekarang ini.  

Menulis dengan fountain pen ini sangat selesa kerana kita tak perlu tekan atau memerlukan tenaga yang banyak. Lebih cantik lagi jika ditulis cara 'cursive'. Sudah tentu sewaktu baru-baru menggunakannya samalah seperti kita baru belajar menulis, comot sana sini. Tambah tambah lagi tangan kita yang melekat penuh dengan dakwat. Bertambah comotlah lagi kertas yang kita hendak menulis.

Walaupun pen itu mungkin hanya berharga RM2 - RM3 bagiku ia suatu benda yang berharga. Maklumlah setiap hari aku hanya menerima paling banyak hanya 20 sen sahaja untuk belanja sekolah. Membelanjakan sesuatu yang berharga lebih daripada seringgit samalah seperti kita hendak membelanjakan lebih daripada RM100 sekarang ini. 

Dengan memperolehi sebatang pen fountain, kita akan lebih menghargai gaya penulisan yang pelbagai bentuk kreatif. Jika dibandingkan dengan orang dahulu zaman pra kemerdekaan dengan generasi terkini, generasi terdahulu mempunyai tulisan tangan yang sangat cantik berbanding generasi sekarang. Contohnya arwah bapaku mempunyai tulisan yang sangat cantik walaupun ia hanya coretan kecil di diarinya. Sebab itulah orang zaman terdahulu pada pendapat saya berjiwa seni dan boleh melahirkan penulisan dan poster yang begitu cantik untuk membuat orang berhenti seketika untuk memandang,membaca dan menghayati sebuah poster kecil walaupun ia semata-mata untuk menaikkan semangat kebangsaan atau kemerdekaan.

Ia juga telah dijadikan medium untuk menyebarkan dakwah di nusantara ini. Atas sebab inilah aku berpendapat untuk menyebarkan dakwah, sesuatu poster yang bermesej perlu kemas, menarik dan kreatif.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts