Thursday, April 29, 2010

Kehancuran Masyarakat Pompei- Kisah dan iktibar

Mengikut Harun Yahya dari buku Kaum- Kaum yang Pupus bandar Pompei di musnahkan dengan cara yang sama dengan kaum Lut, iaitu daripada letusan gunung berapi. Rekod-rekod sejarah telah menunjukkan bandar ini ialah pusat untuk memuaskan hawa nafsu dan kegiatan homoseksual. Jumlah sarang pelancuran terlalu banyak sehingga tak terbilang jumlahnya.

Gunung berapi Vesuvius yang terletak berhampiran bandar Naples dan Pompei yang sepi selama dua milllenium telah meletus dengan tiba-tiba sehinggakan lavanya menyapu bersih seluruh bandar Pompei. Tidak ada satu jiwa pun terselamat. Setelah ahli akeologi menjumpai mayat mereka mereka telah menjadi batu dalam gaya apa yang mereka sedang lakukan samada sedang menjamah makanan ataupun melakukan aktiviti yang terlarang. Air muka mereka seolah- olah menanggung kesakitan. Gambar tentang tapak kaum Nabi Lut dan mayat-mayat yang menjadi batu ini ada di tunjukkan dalam buku ini.

Begitulah bala yang di turunkan Allah terhadap orang yang suka melakukan perkara terkutuk samada kaum sejenis atau yang berlainan jenis. Di Malaysia hasil perbuatan terkutuk ini telah melahirkan terlalu ramai bayi luar nikah sehinggakan perbuatan membuang bayi seolah-olah tidak sedkitpun melahirkan rasa bersalah. Bayi dibuang dalam tong sampah telah menjadi paparan berita setiap hari. Ada juga bayi yang telah menjadi habuan anjing liar seperti yang telah diberitakan . Ini tak termasuk dengan berita dasyat yang 'off record' yang diberitakan dari mulut ke mulut. Terjadinya insan dalam perut seseorang perempuan memerlukan 2 orang melakukannya iaitu lelaki dan perempuan kecuali Nabi Isa. Dan ia bermula dengan perkenalan tanpa batas samada mealui cara pertemuan ataupun cara chatting melalui pelbagai medium elektronik yang terkini. Kadangkala jarang sekali kita menilai bagaimana sesuatu hubungan terlarang bermula sehinggalah terlanjur dalam suatu hubungan. Jarang sekali kita ingatkan diri bahawa yang perbuatan yang dikirkan sangat kecil boleh mengakibatkan dosa besar. Hubungan terlarang ini sama seperti penyakit i.e. Prevention is better than cure.

Friday, April 23, 2010

Iktibar Dari Kisah Mengenai Gunung Berapi Kaum Terdahulu

Setelah kita membincangkan pemandangan di kawasan gunung berapi eloklah kita lihat pula kita berbincang mengenai kaum terdahulu yang pupus akibat letusan gunung berapi. Sumber ini saya dapat dari buku karangan Harun Yahya-Kaum-kaumYang Pupus. Salah satu kaum yang pupus akibat letusan gunung berapi ialah kaum Nabi Lut. Kaum Nabi Lut ini aktif dengan budaya homoseksual.

Bandar kaum Nabi Lut ini ialah Sodom yang terletak di kawasan Laut Mati sempadan Israel Jordan. Akibat dari keenganan kaum ini menngikut seruan Nabi Lut untuk meninggalkan perbuatan terkutuk itu dan tidak mengendahkan seruan Nabi Lut, mereka telah di timpa azab.
'Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang terbalik(tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. Sesungguhnya balasan azab yang demikianitu mengandungi tanda-tanda bagi orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya. Dan sesungguhnya negeri kaum Lut yang dibinasakan itu, terletak di jalan yang tetap(dilalui orang)'- Surah Al hijr:73-76

Kenyataan "diterbalikkan " membayangkan kawasan itu mengalami gempa bumi yang kuat. Menurut ahli arkeoloji, Werner Keller, kawasan lurah Sidim yang meliputi Sodom dan Gomorrah telah terbenam ke dalam. Kemusnahannya mungkin disebabkan oleh gempa bumi dan dituruti dengan letupan, petir, perlepasan gas asli dan kebakaran besar.

Maksud ayat'Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi' Surah Hud:82-83 menunjukkan barangkali letupan gunung berapi berlaku di setiap tebing tasik Nabi Lut yang mengakibatkan batu batan meletup dan menjadi seperti di panggang.

Menurut Keller, di bahagian atas lembah Jordan masih kelihatan kawah-kawah tinggi gunung berapi yang sudah pupus. Lingkaran luas lava dan lapisan basalt bertimbun diatas permukaan kapur.
Ini juga membuktikan adanya letusan gunung berapi disini.
Keller telah mencatat bandar Sodom dan Gomorrah terletak di wilayah paling rendah di tasik Nabi Lut(Laut Mati). Apabila seseorang mendayung perahu melintasi tasik tersebut dan sekiranya matahari menyinari ke arah tepat, kelihatan di dasar air, garisan hutan yang disimpan sebagi khazanah laut mati. Batang-batang pokok dan akar-akarnya dapat dilihat didalam gemerlapan air yang hijau. Lembah Sidim, tempat di mana pokok-pokok ini satu masa dahulu tumbuh dengan subur adalah kawasan paling cantik di wilayah tersebut.

Demikianlah sedikit sebanyak penerangan tentang apa yang berlaku pada kaum Nabi Lut yang di tulis oleh Harun Yahya berdasarkan ahli arkeoloji Keller. Sebelum ini saya telah berpendapat malaikat yang menterbalikkan lembah Sodom ini mengikut terjemahan al Quran. Sebaliknya menurut apa yang diselidik oleh ahli arkeologi, sebenarnya berlaku gempa bumi dan letusan gunung berapi yang dasyat. Ambillah iktibar dari kejadian ini. Sesungguhnya kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Wednesday, April 21, 2010

Gunung berapi-Tagatay, Brastagi, Tangkuban prahu

Akhir-akhir ini kita sering di kejutkan dengan berita gempa bumi dan letusan gunung berapi. Sungguhpun negara kita tidak terletak dalam lingkaran gunung berapi pasifik kita perlu sentiasa beringat kerana kuasa Allah tiada siapa yang tahu.Ehmm... masih ingat lagikah subjek geografi yang di pelajari semasa di sekolah menengah dahulu tentang lingkaran api pasifik?
Letusan gunung berapi di Iceland telah menunjukkan kekuasaan Allah yang mengatasi kuasa lain. Dengan sekelip mata saja, ekonomi dunia boleh lumpuh disebabkan penerbangan antarabangsa di Eropah tidak dapat berfungsi walaupun letusan itu berlaku jauh dari lapangan terbang antarabangsa yang besar. Janganlah kita lupa kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Saya telah berpeluang melihat gunung berapi aktif di Filipina dan Indonesia. Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya pergi ke tempat sebegini. Apa yang istimewanya tempat yang merbahaya ini? Sesungguhnya apabila kita melawat tempat sebegini kita dapat menyaksikan kekuasaan Allah yang boleh memusnahkan makhluk beribu- ribu kilometer dari sumbernya khususnya gunung berapi.Walaupun manusia boleh merancang tapi kuasa Allah tiada siapa yang tahu. Gunung berapi merupakan satu kejadian Allah yang sangat menakjubkan.

Di Filipina, kawasan Tangatay yang saya lawati merupakan kawasan gunung berapi yang di kelilingi tasik. Kawasan gunung berapi ini terletak di tanah tinggi ini mempunyai cuaca yang sejuk. Pemandu teksi yang membawa kami ke kawasan itu memberitahu tasik itu sangat panas dan tiada siapa yang sanggup pergi ke sana. Pemandangan di sana sangat indah dan menakjubkan. Dari jauh kita dapat perhatikan tasik itu berasap disebabkan airnya yang terlalu panas. Suasananya dari jauh aman sekali tetapi gunung berapi ini boleh meletus bila- bila sahaja. MasyAllah....

Di Indonesia salah satu kawasan gunung berapi yang saya lawati ialah Gunung Sibayak di Brastagi, tak jauh dari Danau Toba, Sumatera. Kami di bawa oleh pemandu pelancong kami, Mulyadi ke kolam air panas yang terletak betul-betul di tepi gunung berapi.Itulah kali pertama saya melihat gunung berapi dari dekat dan kami dapat perhatikan bara api di tepi gunung berapi tersebut. Kolam air panas yang kami lawati adalah dari sumber air semulajadi yang di panaskan oleh lava gunung berapi tersebut. Bau belerang terutama dari bahagian sumber air panas itu memang menusuk hidung. Kawasan taman ini agak besar dan dilengkapi dengan beberapa kolam. Kolam air panas ini sering dikunjungi oleh pelancong Malaysia untuk merawat pelbagai penyakit. Hmmm.. memang sedap berendam di sini memandangkan suhu di sekeliling sejuk.Begitupun bahayanya gunung berapi namun ada juga kenikmatan dan kelebihan yang manusia boleh kecapi. Kawasan Brastagi ini terletak di tanah tinggi dan sememangnya suasana amat nyaman sekali.

Selain Brastagi, saya juga berpeluang melawat Tangkuban Prahu yang terletak tidak jauh dari Bandung. Bandung terletak di Pulau Jawa. Kawasan ini merupakan kawasan gunung berapi yang sangat luas. Kami dapat perhatikan kawah gunung berapi yang masih berasap. Pemandu pelancong kami, Mulyadi( namanya sama dengan pemandu pelancong kami di Sumatera tapi orangnya lain) memberitahu kami sekiranya dijangka ada letusan gunung berapi kawasan ini akan ditutup dan biasanya cukup masa untuk beredar dari situ. Mulanya berderau darah kami mendengarnya. Tapi setelah mendengar biasanya pegawai dan saintis mereka dapat mengagak letusan akan berlaku beberapa minggu sebelum berlakunya letusan kami berasa lega sedikit. Bahagian kawah gunung berapi kelihatan kelabu dan bau belerang boleh dihidu di merata tempat. Kami di beritahu amat merbahaya untuk turun ke kawasan kawah kerana suhu yang tinggi dan menghidu asap belerang dengan banyak.Gas sulfur yang dibebaskan adalah gas beracun dan tidak sesuai untuk paru paru terutama sekali penghidap asthma. Namun kami ternampak ada seorang dua yang masih melakukan stunt pergi berdekatan kawasan dalam kawah. Sungguhpun kawasan ini terletak di kawasan tanah tinggi, ia agak panas memandangkan keseluruhan kawasan ini terletak dalam kawasan gunung berapi .
Sesungguhnya kawasan gunung berapi mempunyai daya tarikan semulajadi yang menakjubkan untuk kita menghayati kejadian Allah.

Tuesday, April 6, 2010

Antara Nasyid dan Lagu

Kebanyakan orang berpendapat mana mungkin kita hidup tanpa adanya hiburan dalam hidup kita. Mendengar lagu ialah salah satu hiburan yang paling popular pada masa kini. Sehinggakan ada sebahagian daripada kita sangat suka mendengar lagu samada semasa belajar, bekerja ataupun masa berehat. Saya yakin sebahagian besar daripada pembaca blog ini lebih suka mendengar lagu berbanding nasyid. Ini adalah pengalaman saya sendiri dalam memilih antara yang tiga, nasyid, lagu bermanafaat dan lagu yang tiada manafaat.Sekadar untuk berkongsi pengalaman.......


Dulu masa anak-anak saya di peringkat sekolah menengah(masih ada seorang lagi masih bersekolah), mereka sering mengeluh kawan-kawan mereka sering bercerita tentang penyanyi dan lagu. Mereka tidak dapat ikut serta bersembang kerana mereka tidak dibiasakan mendengar lagu di rumah.

Saya banyak membeli kaset(dulu tak ada CD) nasyid yang saya tahu akan banyak memberi manafaat kepada mereka sejak dari kecil lagi. Saya rasa bersyukur kerana mengekalkan cara begini sehingga ke hari ini meskipun ada juga lagu bermanafaat yang saya ketengahkan kepada ahli keluarga agar menghayati maksudnya.

Penghayatan lagu(Appeciating songs) ini telah saya pelajari sejak dari tingkatan 4 lagi. Kalau sebelum itu saya hanya menyanyi lagu tanpa menghayati liriknya(pakai hentam saja). Sejak saya belajar di universiti dan mendapat hidayah dari Allah untuk menjauhi lagu yang tidak bermanafaat, saya belajar untuk menghayati lirik-lirik nasyid. Bagi saya, menghayati lirik nasyid dapat membantu kita mengingati sejarah Islam, mengingati Allah(juga berzikir) dan memperbaiki akhlak kita.

Pada peringkat sekolah rendah, nasyid banyak membantu anak-anak saya menghafal matapleajaran sirah dan fiqah. Saya masih ingat lagi masa itu nasyid itu di nyanyikan oleh ahli kumpulan Rabbani yang ketika itu masih kecil lagi. Kemudian kumpulan Raihan muncul dengan keluaran mereka yang pertama. Nasyid mereka dengan rentak yang menarik telah menyebabkan saya ingin memiliki kaset mereka. Puas mencari di merata tempat akhirnya dapat juga saya membeli kaset tersebut.Lagu- lagu kumpulan Hijjaz juga banyak membantu dalam matapelajaran mereka.Tanpa di sedari ia juga membantu saya mengingati semula fakta-fakta tersebut apabila menyanyi bersama anak. Juga lagu kanak-kanak bahasa Inggeris( Popular children songs) dapat membantu dari segi percakapan dalam bahasa Inggeris. Lagu- lagu ini saya ajar agar mereka dapat biasakan diri mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris

Semasa anak saya di sekolah menengah, jenis nasyid harus di sesuaikan dengan umur mereka. Mereka lebih suka nasyid yang mempunyai maksud yang tersirat dan lebih rancak dan sentimental. Ketika inilah mereka mengenal kumpulan Inteam, UNIC, Mirwana, Brothers dan lain lain lagi penasyid solo.Di sebalik kesibukan dalam urusan rumahtangga ada kalanya saya mengambil satu atau dua nasyid untuk di hayati liriknya. Alhamdulillah, dengan membuat kelas tuisyen saya dapat mengajak pleajar saya untuk bersama-sama menghayati nasyid. Kebanyakan dari mereka langsung tak mendengar nasyid di rumah. Di kelas tuisyen ini lah mereka mendapat serba sedikit pendedahan tentang penghayatan nasyid. Di samping belajar seperti biasa, saya telah menekankan aspek kerohanian kepada mereka.

Kelas English communication yang saya adakan telah membolehkan saya memperkenalkan nasyid-nasyid dalam bahasa Inggeris dan sekali gus saya menerangkan tentang maksud nasyid tersebut supaya mereka dapat menghayatinya. Kebanyakan dari mereka yang menghadiri kelas ini langsung tak pernah mendengar nasyid dalam bahas Inggeris. Ada kalanya mereka hanya tahu lagu bahasa Inggeris tanpa tahu maksudnya. INI BAHAYA. Ada kalanya lagu itu mempunyai lirik yang mensyirikkan Allah. Ada juga lirik menyuruh melakukan perbuatan yang dilarang dalam agama. Selain daripada nasyid saya juga memperkenalkan lagu-lagu Inggeris yang boleh membawa manafaat kepada mereka.

Penghayatan nasyid dan lagu adalah perlu agar kita tak lari dari mengingati Allah dan mendapat keberkatan atas apa yang kita lakukan setiap hari. Setiap perbuatan kita juga  harus tak melalaikan kita dari mengingati Allah.

Mungkin ada sebahagian daripada kita berpendapat "Ala... saja nak relaks jadi dengar ajelah. Tak ada kesan pun." Sebenarnya apa yang kita dengar memberi kesan kepada kita sedikit demi sedikit.Kadangkala kita terkhayal mendengar alunan lagu tersebut. Secara tak sedari kita jadi lali mendengar lagu yang tak bermanafaat.

Kenapa kita tidak jadikan nasyid dan lagu yang bermanafaat menjadi halwa telinga kita agar kita mendapat pahala setiap kali kita mendengarnya. Sebenarnya tidak semestinya lagu barat saja yang kita anggap tak bermanafaat malah lagu Melayu juga banyak banyak membawa kepada kemungkaran. Oleh itu eloklah kita membuat pilihan sewajarnya antara nasyid, lagu bermanafaat dan lagu yang tiada manafaat.

Popular Posts