"Banyaknya papan tanda dalam bahasa Arab!",bisik hati kami. Di kiri dan kanan sepanjang jalan ini bangunan dan papan tanda iklan kebanyakannya diselitkan dengan bahasa Arab. Terasa seolah-olah berada di satu negara Arab pula sedangkan kami berada tidak jauh daripada Detroit di Michigan.
Rupa-rupanya tempat ini, Dearborn merupakan petempatan orang Arab terbesar di Amerika Syarikat. Patutlah nampak banyak iklan makanan Arab di sepanjang Warren Avenue ini. Mengikut perangkaaan terkini menunjukkan terdapat lebih 40 000 keturunan Arab di sini. Berdasarkan sejarah, kumpulan orang Arab yang pertama berhijrah ke sini beragama Kristian. Awal abad ke 20 ramai imigran Arab yang beragama Islam mula bertapak di sini, kesan dari Perang Teluk dan perang saudara. Antara mereka ada yang berasal dari Yaman, Iraq, Syria, Palestin dan Lebanon. Kami sempat singgah di New Yasmeen Bakery untuk membeli roti dan beberapa makanan yang lain buat bekalan perjalanan seterusnya. Selain daripada roti,baklava dan makanan halal daripada luar negara, mereka juga menjual makanan yang sudah siap di masak seperti pasta serta nasi dan lauk Arab di bahagian cafe. Mudahnya nak dapat makanan 100% halal yang di hasilkan oleh orang Islam di kawasan Dearborn ini. Mengikut Zabihah.com terdapat lebih daripada 180 buah restoran dan kafe halal di sekitar kawasan ini. Bahkan kafe halal yang menjual burger dan pizza juga terdapat di stesen-stesen minyak. Satu-satunya muzium National Arab American di Amerika Syarikat juga terdapat di sini. Malangnya kami tidak berpeluang untuk singgah disebabkan kesuntukan masa. Beberapa sekolah Islam juga didirikan di sini. Oleh itu, lebih mudah bagi anak-anak orang Islam mendapat ilmu tentang agama Islam khususnya tentang fiqh dan al Quran. Kita tidak tahu mengapa ramainya orang Arab yang berhijrah ke Amerika Syarikat meskipun kadangkala berdepan dengan isu Islamophobia. Disebalik penghijrahan ini pastinya terselit seribu hikmah bagi mereka dan orang di sekitar mereka. Selain kesusahan yang dihadapi terutama generasi awal, mereka juga punya peranan untuk berdakwah pada orang di sekeliling. Dan perkara yang utama dalam berdakwah ialah mempunyai akhlak yang baik. Untuk kekal menjadi contoh akhlak yang baik, penghijrahan mesti bermula daripada hati sendiri.'Jika sebelum ini kita hanya percaya kepada Allah, marilah hijrahkan hati supaya yakin kepada Allah. " Percaya " hanya berlegar di kepala (mengetahui), tetapi belum lagi meresap ke dalam hati(merasai)Yakin kepada Allah Yang Maha Melihat berbeza dengan hanya mengetahui Allah Maha Melihat. Mengetahui itu cukup dengan dalil dan hujah- kita peroleh dengan belajar. Tetapi untuk merasai perlukan penghayatan dan pengamalan - kita peroleh dengan mujahadah dan ibadah.Untuk sah menjadi Muslim, cukup dengan beriman pada tahap percaya. Tetapi agar iman memberi impak kepada perlakuan dan kehidupan, kita perlukan iman pada tahap yakin. Hanya iman pada tahap yakin mampu meninggalkan kejahatan. Misalnya, hanya orang yang "rasa" Allah melihat mampu untuk tidak mencuri tetapi orang yang hanya tahu Allah melihat masih tega melakukannya.'Tenang di Hati- Ustaz Pahrol Mohd JuoiBersambung.https://en.m.wikipedia.org/wiki/History_of_the_Middle_Eastern_people_in_Metro_Detroit https://wdet.org/posts/2016/09/09/83848-a-closer-look-at-muslim-populations-in-dearborn-and-hamtramck/ https://www.huffingtonpost.com/brian-stone/what-if-america-looked-like-dearborn_b_9328288.html
https://en.wikipedia.org/wiki/Dearborn,_Michigan