Friday, November 10, 2017

Fardhu Ain, perlu ke belajar lagi?

"Kelas fardhu ain? Nak belajar apa lagi? Kan kita dah belajar dulu," kata seorang sahabat. Kami berjumpa  di masjid selepas solat asar tempohari. Saya menghadiri kelas fardhu Ain sebelum itu.
"Awak masih ingat ke semua yang kita dah belajar masa sekolah dulu?" tanya saya.
"Ingat  juga sikit-sikit. Rukun solat, rukun puasa, bersuci....eh bukan semua tu dah kita belajar kat sekolah kan?" katanya, sambil tersenyum, yakin. 

"Ya, itu kita dah belajar masa sekolah dulu. Tapi fardhu ain bukan setakat tahu rukun solat, puasa dan taharah saja. Awak percaya dengan istilah 'Islam is a way of life?" tanya saya lagi. Kami duduk sebentar usai solat asar berjemaah. Masjid ini sentiasa dibuka untuk orang ramai. Tidak perlu kita tergesa-gesa keluar daripada dewan solat selepas solat jemaah. 

 'Ya...tapi apa kaitannya  'Islam  is a way of life' dengan  fardhu ain? tanya sahabat lama saya ini. Alhamdulillah sahabat saya ini berfikiran terbuka. Mudah menerima pendapat orang.  
"Seluruh hidup kita merupakan satu ibadah. Solat, puasa, zakat hanya sebahagian daripada fardhu ain. Awal tahun ini mak saya meninggal dunia. Harta emak tak banyak. Tapi nak uruskan harta yang sedikit itu pun perlu ada ilmu, " saya mula berhujah.
"Innalillahi wainna ilaihi roji'un. Nak uruskan harta pusaka? Eh.. Kan  Amanah Raya boleh buat ?"
"Kita perlu juga pengetahuan sedikit tentang pengurusan harta pusaka. Bukan semua yang boleh diuruskan oleh pihak Amanah Raya.
Contohnya, zakat. Berapa ramai yang ambik kisah tentang mak bapa kita sudah bayar zakat simpanan dan zakat harta?" tanya saya.
"Hmm... Tak tahulah pula.  Saya terlalu sibuk. Hal kerja, hal anak-anak," katanya tunduk,memikirkan sesuatu.

"Sebab tulah kelas fardhu ain tu penting. Yang kita belajar di sekolah berpuluh tahun lalu tu hanya 'basic'. Itu pun tak semua yang kita ingat. Ilmu perlu ditambah dari sehari ke hari. Bukannya bila dah timbul satu masalah baru nak mencari jalan penyelesaian. Kita tak boleh sekadar rujuk pada google, facebook dan whatsapp. Lepas tu kita yakin  dah dapat ilmu. " tambah saya lagi, penuh semangat. 
"Setuju, saya pun banyak beli buku fiqah. Ada yang belum buka pun lagi plastiknya. Biasanya bila timbul masalah agama baru nak pergi belek buku-buku tu. Kadang bila terasa malas, google je,"katanya mengangguk, tanda setuju. 

"Kadang-kadang kita tak tahu pun ibadah yang kita buat itu betul ke tidak. Dengan kelas fardhu ain, barulah kita sedar apa yang kita lakukan itu sebenarnya betul atau tidak." tambah saya lagi.

"Dalam kelas ini juga saya belajar bagaimana memperelokkan ibadah yang biasa kita buat. Tambahkan amalan sunat , cara khusyuk agar mudah Allah membantu kita. "ujar saya lagi.

"Hmm.. Dah lama saya tak semak perkara-perkara sunat  dalam solat. Sibuk sangat. Tapi berniaga pun tak adalah maju sangat. Mungkin itu puncanya,"keluh sahabat lama saya ini. 

Seketika saya teringat satu  petikan artikel yang saya baca daripada ruangan 'Beduk diketuk' dalam Majalah Solusi tentang keperluan belajar fardhu Ain yang sering diperlekehkan orang.

"Mengikut kajian tidak rasmi, hampir 80% Melayu Islam tdak solat. Yang mengerjakan solat pula, berapa ramai yang benar-benar memahami, menghayati dan melaksanakan tuntutan solat dalam kehidupan?"
Oleh sebab itulah kita perlu mendalami pengetahuan tentang fardhu ain.
"Fardhu ain umpama tapak. Fardhu kifayah pula bangunan di atas tapak. Bangunan akan lemah, kalau tapak bermasalah. Tanah runtuh, bangunan roboh."(1)

Kenapa ekonomi kita bermasalah? (walaupun ada yang mengatakan ekonomi kita ok)
"Kata sesetengah pakar, akibat sikap monopoli segelintir elit Melayu yang kaya raya. Kata sesetengahnya pula, akibat rasuah , 'Ali Baba ', malas, boros,tamak...semua sifat negatif ini boleh dicegah kalau kita benar-benar mendirikan solat. Solat akan mencegah kemungkaran. Termasuk kemungkaran ekonomi.

Puasa juga ialah fardhu ain. Puasa membersihkan hati. Apabila hati bersih, kita boleh menggunakan teknologi, bukan 'digunakan 'teknologi.....
Cuba kita telusuri peristiwa israk mikraj  yang ditempuhi oleh Rasulullah.
Sebelum menaiki buraq untuk mikraj merentasi ketujuh- tujuh langit, Rasulullah terlebih dahulu 'dibedah' dan dibersihkan hatinya....
"Pembedahan hati "melambangkan usaha membersihkan hati, sama seperti tujuan kita berpuasa. Manakala buraq itu lambang teknologi, satu kenderaan yang bergerak  melebihi kecepatan cahaya. Rasulullah s.a.w. dibersihkan hati terlebih dahulu, barulah Baginda israk dan mikraj menggunakan 'teknologi' buraq!"

Lihat sahaja teknologi ICT, ketika kita boleh menggunakannya untuk mendapat ilmu dan maklumat, ramai anak Melayu melepak di kafe siber, leka dengan permaian video dan pornografi. Membazir dengan telefon bimbit ribuan ringgit hanya untuk bersuka-suka dan berseronok. Itu tidak termasuk berjuta-juta wang Melayu dibazirkan hanya untuk menghantar sms dalam progaram realiti. Kenapa? Semuanya sebab hati kita kotor!"

Bagaimana pula dengan pekerjaan kita? Contohnya,mengapa suatu perniagaan boleh gagal,sedangkan kita sudah berusaha bersungguh-sungguh?Adakah ia bersangkutan dengan fardhu ain juga?
" Ada masalah solatnya yang memberi impak kepada perniagaannya.
Jika seseorang itu benar-benar mendirikan solat dan menjaganya, akan terserlah perlakuan-perlakuan baik hasil solatnya itu. Solat ialah satu proses melahirkan output positif dalam perlakuan manusia. 

Solat ialah latihan untuk fokus hati bagi mengingati Allah. Kehidupan ini pun mesti fokus kepada matlamat. Ini asas disiplin diri. Solat juga melatih kita mengurus waktu, bersih, tawaduk, yakin diri dan nilai murni lain yang berguna dalam perniagaan. Semua ini terkandung dalam rukun fi'li, qauli dan qalbi solat. 

Peliknya,ramai yang solat tetapi tidak berdisiplin, pengurusan masanya lintang pukang, janji tidak boleh dipegang....."
Bagaimana boleh jadi keadaan sebegitu?
"Pasti ada masalah dengan solatnya...ia menjadi ritual yang tidak membina spiritual. Ia jadi rutin yang tidak membina disiplin.
Setiap perbuatan, bacaan dan penghayatan dalam solatnya tidak selari dan tiada sinergi. Hanya baca, tidak faham dan tiada penghayatan. Badan rukuk, dahunsujud, tetapi tiada rasa kehambaan dalam hati.

Banyak bezanya antara solat sah dan solat yang khusyuk.Solat sah tidak berkesan mengubah peribadi. Hanya solat yang khusyuk mampu memberi kesan kepada keperibadian...kerana hanya solat yang khusyuk mampu menyentuh hati. 

Fardhu ain seperti solat, puasa, zakat dan lain lain  jika dillaksanakan dengan betul, akan menjamin  ketenangan hati, kedamaian keluarga dan keharmonian masyarakat....itu kita nikmati daripada dunia lagi."(1)

(1)Beduk diketuk Khas-Pahrol Mohd Juoi-Solusi Isu  107

Fardhu ain, ilmu yang kita ada amat 'basic'. Tambahkan ilmu mengenainya agar kita memperoleh kejayaan dan ketenangan di dunia lagi.

Thursday, November 9, 2017

Pertemuan Dengan Sahabat....Bermusafir

Pertemuan saya dengan seorang teman agak hambar. Berjumpa setelah lebih 30 tahun berpisah. Sewaktu berbual dengannya tempohari saya dapat merasakan dia kurang mengenali saya.

Tahun 80an dulu saya pernah bermusafir bersamanya ke konvensyen MISG  di bahagian tengah Amerika Syarikat. Perjalanan pergi saja mengambil masa beberapa hari. Kembara yang agak lama. Sudah semestinya timbul bibit-bibit persahabatan

Namun, selepas itu kami terputus hubungan. Maklumlah ketika itu saya masih bujang dan dia sudahpun berkeluarga, Punya anak seorang. Pastinya dia sibuk mengurus keluarga ketika itu. 

source: Google maps
Mungkin juga dugaan hidup selepas tamat pengajian di sana membuatkan dia ingin melupakan pengalaman pahit yang dilaluinya." Sorry, akak ni pernah memory loss," katanya ketika bersalam sebelum keluar dewan. Patutlah saya dapat rasakan dia tidak mengenali saya. Memang saya tidak tahu langsung dia telah mengalami liku-liku hidup sebegitu. Semoga Allah memberi ketenangan dalam meniti usia emasnya kini. 

Dalam menyusuri lebuhraya kehidupan ini, dugaan dan cabaran pastinya perlu ditempuhi oleh kita sebagai makhluk Allah. Adakalanya kita berjaya mengatasinya adakalanya tidak. Namun yang penting ialah apakah usaha kita lakukan untuk menempuhi segala dugaan dan halangan. Jerit perih, usaha yang istiqamah dan bersungguh-sungguh tetap ada ganjaran di akhirat kelak.

'Hidup ialah siri ujian yang berterusan dan berkesinambungan. Selagi hidup, selagi itulah diuji. Ini sangat memenatkan. Bukan sahaja anggota fizikal tetapi elemen dalaman kita juga . Jiwa fikiran dan emosi perlu direhatkan dan dirawat. Justeru, musafir kehidupan yang penuh ujian ini perlukan R n R( Rehat dan Rawat) 
Bagaimana jiwa, fikiran, emosi dan fizikal kita direhatkan dan dirawat? Jawabnya, dengan solat. Solat, kaedah yang paling efektif untuk merawat diri kita. Solat itu rehat. 

Dalam solat ada kerehatan kerana itulah masa hamba 'berkomunikasi' dengan Tuhannya, Yang Maha Pengasih dan Maha Berkuasa. Bayangkan seorang kekasih sedang berbisik dengan kekasihnya. Bukankah itu satu keindahan dan kemanisan? 
Firman Allah:" Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
(Al Ra'd 13: 28)

Dalam kehidupan yang sangat meletihkan ini, jangan sekali-kali mengabaikan solat. Solat ialah saat yang paling intim antara hamba dengan Tuhan. 
Jangan gopoh  dan tergesa-gesa dalam hidup, bertenang dan berehatlah selalu dengan solat.'
Ust. Pahrol Mohd Juoi- Solusi isu 68

Seketika, saya teringat perjalanan bermusafir ke Illinois yang pernah kami tempuhi bersama satu ketika dahulu. Melalui kawasan gurun berbatu yang pelbagai bentuk di New Mexico. Juga kawasan yang dipenuhi salji di Illinois. Dua keadaan alam yang yang amat berbeza. Subhanallah, amat unik dan indahnya ciptaan yang Maha Berkuasa. 

Popular Posts