Wednesday, May 17, 2017

Little Penguins Secara Dekat- Menarik!

Seketika, lalu seorang pegawai yang bertugas di kawasan penguin parade ini. Kami mengambil kesempatan untuk bertanya."We saw so many of them coming in. How many of them actually come in at this place every night?" tanya suami saya. "Well normally about 1000 or so," kata pegawai tersebut. 'Allahuakbar! 1000 ekor mendarat di pantai itu setiap malam. Sangat banyak! Namun bukan penguin yang sama yang naik ke pantai itu setiap malam. Menurut pegawai tersebut lagi, burung ini  selalunya berehat 3-4 hari dahulu sebelum pulang semula ke laut. 80% daripada kehidupannya di laut. Hanya 20%  di darat. Tidak lama. Mengikut perangkaan, pulau yang kami singgah ini didiami oleh 32000 ekor penguins! Sangat banyak!
Untuk melihat bagaimana penguins ini berarak ke sarangnya boleh layari you tube ini. Hanya klik di gambar itu untuk mendapatkan link tersebut

Melbourne - Phillip Island Little Penguins Parade - YouTube

https://www.youtube.com/watch?v=WFkWfsUHtJw

Terasa teringin pula hendak melihat burung-burung laut  itu secara dekat. Maklumlah burung ini ketinggiannya hanya 13cm atau lebih kurang satu kaki sahaja. Mata orang yang sudah menjangkau lebih separuh abad ini agak kelam melihat makhluk-makhluk kecil itu dalam keadaan yang agak gelap. Pantai pula hanya di sinari cahaya lampu kuning.

Kami melangkah ke tempat yang paling hampir dengan semak dan batu di kawasan pantai. Walau bagaimanapun ia masih dalam kawasan berpagar. Mulanya kami menyangka lubang sarangnya(burrows) dicelah-celah batu di tepi pantai. Namun kebanyakkannya meluru ke arah semak samun. Bukannya  di dalam batu. Teruja kami dapat melihat burung burung itu secara dekat.

Masa untuk melihat burung-burung penguin ini hampir tamat. Pegawai yang bertugas sudah pun mengingatkan kami. Kami mula melangkah meninggalkan kawasan berbangku menjauhi  pantai dan bersiar -siar di bahagian atas. Rupa- rupanya bahagian inilah membawa kami lebih dekat kepada burung-burung ini. Wah, di sini rupanya sarang sarang burung ini!" kata saya kepada suami. "Dan di sana!" kata saya lagi sambil menunjukkan tempat yang lain. Tidak kami sangka sarang-sarangnya meliputi satu kawasan yang besar.

Berjalan ke arah kedai menjual cenderamata, kami di hiburkan dengan riuh burung-burung yang belum masuk ke sarang.Ada yang masih sibuk menguruskan diri di luar sarang. Sama seperti riuhnya burung- burung yang pulang ke sarang di waktu petang di negara kita.  Biasanya ketara bila banyak sarang-sarang burung di satu-satu pokok. Riuh rendah kedengaran di  kawasan berhampiran pokok tersebut. Namun yang berbezanya ialah sarang burung ini terletak di tanah. Pihak hidupan liar Australia telah meletakkan kotak-kotak kayu kecil sebagai sarang bagi burung-burung ini.

Namun jangan kita lupa disebalik keriuhan burung-burung yang pulang ke sarang ini mungkin sebenarnya mereka sedang bertasbih kepada Allah.
Firman Allah
"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun, lagi Maha Pengampun."
Surah Al Isra' 17: 44

Mungkin kita tidak memahami bahasa burung-burung penguins ini tetapi setiap makhluk di muka bumi ini sentiasa bertasbih mengingati Allah. Ini juga sunatullah. Sebab itulah kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh atau mengacau makhluk-makhluk ini.

Bagaimana dengan kita, makhluk yang dikurniakan akal fikiran, yang selepas penghujung hayat di dunia akan diberikan pembalasan di akhirat. Adakah kita selalu bertasbih yakni berzikir kepada Allah?

Bukan sedikit burung-burung penguin yang berada di luar sarang, malah banyak. Ada juga yang berdiri  tegak saja. Mungkin untuk mengeringkan bulunya. Ada yang berlari ke sana sini. Seolah-olah terasa kami berada di satu perkampungan penguins!

Tiba-tiba sederet orang berdiri di hadapan kami. Laluan kami dihalang. Rupa- rupanya seekor penguin sudah berada di jalan tar menghampiri kedai menjual cendermata. Burung itu hanya berdiri tegak memerhatikan kami. Selepas di rasakan penguin itu tidak masuk ke sana, barulah laluan ini dibuka kembali. Kelakar pula rasanya. Namun itu salah satu langkah agar tidak berlaku kelam kabut  kalau sekiranya burung itu terlepas masuk ke dalam kedai pula!

Friday, May 12, 2017

Suatu Pengalaman Baru..Penguins

"Allah...sempat ke ni? Berbaloi ke kita kalut-kalut ni," kata saya kepada suami. Kami harus sampai ke tempat itu pukul 5.15 pm.Walhal jam ketika itu sudahpun 5.30 pm. Kami ada 6 km lagi perjalanan untuk sampai.

Matahari hampir terbenam.Hari sudah mula melabuhkan tirainya. Bukan sengaja kami mahu keluar dalam waktu yang kurang digalakkan sebegini. Namun waktu itu sajalah kami dapat menyaksikan makhluk-makhluk kecil ciptaan Allah ini keluar dari laut menuju ke sarangnya di pantai. Dan mereka hanya keluar ke laut semula sebelum waktu subuh. Keadaan yang normal bagi haiwan nokturnal (haiwan yang aktif pada waktu malam).

Sampai di tempat tersebut kami terus menapak dengan laju.Sudah lewat. Tempat yang dituju agak jauh. Angin dingin laut selat Bass di selatan Australia ini mula terasa sejuknya, menggigit hingga ke tulang  walaupun berpakaian sampai 3 lapis. "Ramainya orang!" terkejut  saya melihat begitu ramai orang sanggup pergi tempat sebegini jauh dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk.  Kelihatan bangku-bangku panjang  disediakan bertingkat-tingkat menghadap ke pantai. Seolah-olah satu pertunjukan poentas. Tangan terasa membeku. Terus saya capai sarung tangan yang memang saya selitkan di dalam beg.

'Penguin parade', itulah istilah yang diberikan kepada perarakan 'little penguins'  dari laut ke sarangnya. Bukan satu perarakan yang perlu disiapkan seperti manusia tetapi  ia berlaku setiap malam tetapi oleh burung-burung penguin yang berlainan. Bukan burung-burung yang sama. Perarakan ini hanyalah daripada laut hingga ke pesisiran pantai. Tanpa perlu apa-apa persiapan sebab Allah telah mengatur segalanya.

Tidak lama selepas kami duduk, kelihatan burung-burung yang tompok putih di dadanya muncul keluar daripada celah-celah ombak memecah ke pantai. Mula-mula seekor dua. Kemudian makin lama makin banyak.  Mereka berdiri tegak berkumpul, mengikut kelompok. Subhanallah....itulah 'little penguins' yang ditunggu-tunggu. Dalam kumpulan 6-10 ekor mereka mula berjalan kemudian melangkah laju menuju ke semak semak di tepi pantai. Comel...langkahnya terkedek-kedek. Bukan terbongkok-bongkok seperti burung biasa. Aneh..namun itulah sunatullah. Diajar Allah kepada makhluknya.'Sunnatullah', peraturan atau sistem atau ketentuan Tuhan untuk hamba-Nya di dunia ini, samada hamba-Nya yang bernyawa mahupun hamba-Nya yang tidak bernyawa.

Tak lama selepas itu ,kelihatan banyak kelompok-kelompok burung penguins di pantai. Baru keluar dalam kedaaan masih basah dengan air laut. Masing masing  berdiri tegak seolah menunggu arahan dahulu untuk berkumpul. Lepas itu barulah menapak laju ke arah sarang. Memang menarik bila melihat begitu banyak kelompok kelompok burung ini berkumpul. Namun kami tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar. Takut burung itu terganggu dan tidak mahu datang lagi ke pantai tersebut. Semuanya diperhatikan daripada atas pentas yang disediakan.

Kebiasaannya begitulah pengalaman yang diceritakan oleh orang yang begitu teruja melihat sesuatu yang baru. Namun penglihatan hasil daripada deria mata, anugerah Allah ini punya beberapa tingkatan. Jika dilihat oleh orang biasa biasa, ia hanya satu pemandangan dan pengalaman yang mengujakan. Jika dilhat dengan menggunakan akal, akan tercungkillah ilmu disebalik penciptaannya. Bagaimana burung penguin ini boleh hidup dilaut begitu lama didalam laut. 80% kehidupannya di laut. Hanya 20% di darat. Dari segi sains, terbit soalan bagaimana keadaan bulunya.?Apa makanannya? Tidurnya bagaimana? Semua persoalan akan timbul di pemikiran kita dan bagi sesetengah orang, mereka akan cuba mencari jawapan bagi sunatullah ini.

Namun yang lebih baik, kita dapat melihatnya dengan mata hati. Jika dilihat dengan mata hati, kita bukan sahaja memperolehi ilmu, malah kita memperolehi iman. Dengan memerhati, mengkaji dan memikirkan tentang apa yang berlaku, contohnya, mengapa burung-burung ini diciptakan, siapa penciptanya membuatkan kita semakin hampir kepada Sang Pencipta, yakni Allah. Betapa terpericinya ciptaan Allah pada burung sebegini kecil.

Inilah yang Allah nyatakan dalam firmannya yang bermaksud:
" Mereka yang sentiasa berzikir(ingat) kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring serta berfikir tentang kejadian langit dan bumi(sambil berkata): 'Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka."
(Surah Ali Imran 3: 191)

Bersambung.
Rujukan:
2.Lihat alam melalui mata hati-pahrol mohamad Juoi-Solusi isu 20

Popular Posts