Kali pertama saya dengar 'Poem' ini dalam radio IKIM pun saya sudah tersentuh dengan nilai-nilai aqidah atau kesyukuran kepada Allah yang diketengahkan di dalamnya. Kemudian saya layari internet untuk mendapatkan keseluruhan 'stanza poem' tersebut. Mungkin terdapat perkataan yang agak susah difahami tapi tidak mengapa. Pastinya kita ada kamus sebagai rujukan di rumah, bukan ?
Poem ialah salah satu bentuk persembahan berunsurkan Islamik di dalam English Communication kelas saya. Sebelum menyuruh pelajar membuat persembahan, mereka perlu faham sedikit sebanyak apa yang mereka akan persembahkan. Sebagai guru saya akan menerangkannya dalam Bahasa Malaysia agar mereka dapat menghayatinya kelak semasa persembahan. Di sini unsur dakwah memainkan peranan. Disebalik tahu maksud perkataan bahasa Inggeris, saya menengahkan perlunya kepercayaan kepada qadha dan qadar Allah dan yakin Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.
Selepas memahami dan menghayatinya, barulah mereka berlatih. Saya akan membantu mereka dari segi 'pronunciation', intonasi dan pause. Biasanya mereka tidak mengambil masa yang lama untuk berlatih persembahan ini.
Saya teringat seorang guru yang pernah mengajar saya Kimia di sekolah menengah. Setiap kali sebelum habis kelas dia akan mengambil beberapa minit untuk membaca dan membincangkan hadith atau apa-apa saja yang berkaitan dengan Islam. Walaupun kami mengeluh (maklumlah kelas itu biasanya betul-betul sebelum waktu makan tengahari), dia teruskan juga dengan perbincangannya agar kami mendapat sedikit ilmu tentang Islam. Alhamdulillah, akhirnya dengan berkat perbincangan ilmu yang sedikit ini dan ditambah dengan ceramah-ceramah yang dia sendiri usahakan di sekolah, banyak perubahan positif berlaku bukan saja kepada para pelajar bahkan pada rakan sekerjanya juga.
Guru saya ini telah meninggal dunia ketika saya masih belajar di peringkat universiti. Dia ditembak mati di Selatan Filipina semasa berdakwah di sana. Semoga Allah memberkati arwah Cikgu Zaki dan memasukkannya ke dalam Jannatul Firdaus dengan usaha beliau yang sebegitu banyak kepada kami, seluruh warga sekolah. Usaha inilah saya cuba ketengahkan dalam mana-mana kelas yang saya ajar suatu ketika dahulu. Sampaikan ilmu tentang Islam walaupun sedikit namun sentiasa istiqamah.
Persembahan 'Poem' biasanya hanya mengambil beberapa minit sahaja dalam kelas ini untuk mengelakkan rasa bosan. Maklumlah tidak banyak aktiviti dapat di jalankan di sini.Objektif utama di sini ialah menyelitkan kesedaran tentang akhlak dan akidah tentang Islam.
Bagaimana para guru dan pensyarah? Selalukah anda menyelitkan unsur-unsur aqidah dan akhlak dalam pengajaran anda? Sekiranya anda istiqamah melakukan demikian, InsyaaAllah, pelajar anda akan berubah kepada pelajar muslim yang taat kepada perintah Allah.
Bersambung. InsyaaAllah.