Monday, March 30, 2015

Penting ke Belajar Bahasa Lain?

Bahasa sangat penting dalam kehidupan kita samada untuk mendapat ilmu mahupun untuk berkomunikasi.Pengalaman mengembara ke beberapa buah negara membuatkan saya sedar betapa perlunya kita belajar bahasa selain daripada bahasa ibunda kita.

Memang kita harus berbangga dengan bahasa ibunda kita. Jangan sesekali kita ketepikan bahasa ibunda kita terutama berkomunikasi sesama sendiri. Janganlah juga kita kekok untuk menggunakan bahasa kebangsaaan kita.

Namun kita juga harus belajar  bahasa lain. Sejarah memperlihatkan para saintis Islam mendapatkan ilmu daripada bangsa lain. Mereka banyak mengambil ilmu dari ahli sains dan falsafah daripada pelbagai bangsa kemudian menyelidik dan seterusnya mengaitkannya dengan kebesaran Allah.


Contohnya al Biruni, seorang saintis Islam yg pakar dalam bidang Matematik, Astronomi, Kimia, Sejarah, Geografi dan Farmasi sangat pakar dalam pelbagai bahasa.  Kecintaannnya terhadap ilmu mendorong beliau mempelajari bahasa selain daripada bahasa Arab dan Persia. Bahasa lain yang beliau pelajari termasuk bahasa Sansekerta, Ibrani, Suryani dan Yunani. (Sumber-12 Tokoh Pengubah dunia- Khalid Haddad)

Sultan Muhammad Al Fatih, penakluk Konstatinople sendiri mempelajari lebih daripada tujuh bahasa iaitu bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki dan Hebrew. Kesemuanya bahasa ini diperlukan semasa pemerintahannya.

Bagaimana dengan kita.? Janganlah kita anggap cukup dengan belajar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja. Selain daripada bahasa Arab yang merupakan bahasa Al Quran, kita digalakkan mempelajari bahasa-bahasa lain.

Satu pengalaman menarik.
Ketika  kami melancong ke Beijing, kami dibawa ke sebuah restoran yang menghidangkan masakan China Utara. Pemandu pelancong kami terpaksa balik ke rumah selepas kami di bawa ke sana. Kami tidak menyangka makanan yang dihidangkan oleh mereka terlalu pedas. Di negara China antara minuman yang wajib dihidangkan ialah teh China. Oleh kerana makanan tersebut terlalu pedas, kami cuba meminta ais kosong kepada pelayan di sana.

Masjid di salah sebuah perkampungan Islam di Beijing
Lebih lima belas minit kami cuba berkomunikasi dengan mereka agar memberikan kami ais kosong. Segala sign language kami aksikan. Namun tak berhasil. Terpaksalah kami meninggalkan makanan tersebut dan melangkah keluar pulang ke hotel dalam kelaparan. Itulah pengalaman kami yang tidak dapat kami lupakan. Kami gagal membuat persediaan awal untuk belajar sedikit sebanyak bahasa China sehingga gagal berkomunikasi walaupun sekadar meminta segelas ais kosong.

Pentingkah belajar bahasa lain? Ya! Sangat penting!

Wednesday, March 18, 2015

Sampah- Banyak yang terlepas pandang

Tiga senario berbeza.
Senario pertama
Suatu hari ketika dalam satu perjalanan dengan kereta aku ternampak seorang membaling keluar sampah dari keretanya. Secara spotannya  aku terus merungut," Tu tengok, orang dalam kereta Mercedes tu senang-senang aje baling sampah kat jalan! Tu laa jangan dok beli Mercedes ke BMW  dan berlagak macam orang ada nak buangkan sampah dia!" Suamiku tersenyum. " Bukan sebab dia drive Mercedes dia boleh buang sampah macam tu. Orang yang bawa mana-mana kereta pun kalau sikap dia macam tu, dia akan buang saja sampah merata-rata."
Betulke prejudis saya yang 'Orang kaya tak pandai buang sampah!'

Senario kedua.
Rumahku terletak di hadapan sebuah sekolah kebangsaan. Setiap hari aku melihat sampah bertaburan di luar rumah. Paling ketara ialah pada hari Jumaat dimana  sampah paling banyak memenuhi parit dan bahu jalan. Risau dengan demam denggi yang kian meningkat dalam kalangan penduduk kampung, aku meneluh pada jiranku. " Kak Nah,  banyaknya sampah depa buang. Bukan budak -budak sekolah saja, parents yang menunggu tu pun buang depan rumah kita," Kak Nah mengangguk, " Dia orang ni orang kampung. Banyak yang tak belajar kot(cara nak buang sampah dengan betul)! " Aku meneruskan bicara ketidakpuasan hatiku. " Kak Na, generasi sekarang semuanya dah belajar tentang bahaya sampah dan cara-cara pembuangan sampah dengan betul. Semuanya diajar daripada sekolah rendah sampai sekolah menengah!"
Betulke orang kampung tak pandai buang sampah?

Senario ketiga.
Pagi Ahad kami pergi bersarapan di kawasan Bandar Baru Selayang. " Ya Allah, banyaknya sampah berterabur kat luar stadium. Tak taulah macamana keadaan kat dalam stadium ni. Entah-entah lautan sampah kot," kataku sewaktu kami lalu berhampiran stadium Selayang. " Gamaknya dia orang tak sediakan tong sampah yang cukup kat stadium ni. Tak nampak pun tong sampah kat kawasan ni." kata suamiku. Sebenarnya ini senario biasa setiap kami lalu kawasan ini pagi selepas apa-apa perlawanan diadakan di stadium.
Betulke orang yang datang melihat perlawanan tak ambil peduli untuk membuang sampah di tempat yang disediakan? Atau tong sampah tak mencukupi di kawasan stadium?

Walaupun aku agak prejudis tentang orang yang mempunyai kereta mewah, aku tahu akhlak memainkan peranan penting dalam keharmonian sesama manusia, kesihatan manusia dan alam sekitar. Semua agama tidak pernah menyuruh umatnya menjadi pengotor dan sewenang-wenangnya mengotor alam sekitar. Segala perbuatan kta semuanya mempunyai 'chain effect' samada kepada keluarga, sesama manusia atau kepada makhluk lain.  Kesannya mungkin ahli keluarga akan melihat dan mencontohi golongan yang lebih berumur membuang sampah secara begini.  Mungkin juga kesannya pencemaran alam sekitar yg melibatkan semua makhluk di bumi ini. Atau kesannya mungkin juga menyebabkan pelbagai penyakit yang disebarkan oleh makhluk Allah yang kecil mahupun besar. Semuanya pernah dipelajari di sekolah.

Putaran roda kehidupan. Apa yang kita lakukan mempunyai kesan kepada kita dan semua makhluk di bumi ini.Jika kita membuat kebaikan, InsyaAllah kebaikan juga yang akan kita perolehi.

Wednesday, March 11, 2015

Monday, March 9, 2015

Betulke kawasan R n R lebuhraya PLUS kawasan larangan merokok?


Suatu hari di kawsan R n R PLUS (di bahagian utara) saya cuba menegur (bukan menjerkah ye!) seorang pemuda yang sedang merokok di hadapan kawasan tandas. " Dek, tahu ke kawasan ni tak boleh merokok?" Tahu apa jawapannya? " Tahu! Tapi kan cuba pergi tengok di gerai kat kawasan gerai makan tu. Depa jual rokok!" jawabnya dengan selamba seolah-olah tidak ada langsung rasa bersalah atau malu bila ditegur oleh seorang yang jauh lebih berumur daripadanya.

Sebenarnya saya terkejut juga mendengar wujudnya gerai menjual rokok di kawasan RNR ini. "Betulke ada gerai menjual rokok di kawasan ini?' tanyaku sambil mengajak anakku mencari gerai tersebut. Hasil tinjauan saya selepas itu memang ada sebuah gerai menjual benda larangan ini.

Cuti Tahun Baru Cina baru-baru ni, saya sempat singgah di sebuah R n R tidak jauh dari Lapangan Terbang KLIA. Di tempat ini satu ketika dahulu saya pernah menegur beberapa orang sedang merokok membelakangkan banner " Kawasana RnR adalah kawasan larangan merokok."  Alangkah terkejut saya apabila melihat kini terdapat sebuah papan tanda ' Smoking Area' terletak betul-betul di tempat yang sama! Dan papan tanda ini betul-betul berhadapan dengan surau! Tinjauan saya ke beberapa buah R n R juga menunjukkan terdapat sudut merokok di kawasan rehat tersebut.

Sayang seribu kali sayang usaha tanpa penguatkuasaan, usaha pihak PLUS seolah-olah hangat-hangat tahi ayam saja. Menjadikan satu tempat untuk merokok di kawasan larangan merokok adalah satu langkah yang sangat pelik terutama sekali di depan surau. Tempat ini jugalah tempat tumpuan orang Islam!

Sayang seribu kali sayang. Fatwa yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Agama Islam tentang Islam mengharamkan merokok,seolah-olah tenggelam dek nafsu pihak gerai dan tuan badan sendiri.

'Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.'
Sumber:http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/merokok-dari-pandangan-islam 

Sayang seribu kali sayang saban tahun guru-guru peringkat menengah berpenat lelah mengajar tentang bahaya merokok namun begitu ramainya golongan muda yang keluar dari sekolah tidak segan silu menghembuskan asap beracun ini kepada rakan-rakan dan orang ramai. Terdapat lebih 4000 jenis bahan kimia yang memudaratkan dan merokok boleh membawa kepada pelbagai penyakit yang merbahaya!

Sayang seribu kali sayang ramainya golongan berumur yang masih tidak  berusaha untuk berhenti merokok walaupun tahu mereka menjadi contoh teladan yang tidak baik kepada generasi muda. Dengan berkopiah di kepala, mereka tidak segan silu menyalakan benda yang memudaratkan dihadapan anak-anak muda.

Sayang seribu kali masa dan wang dihabiskan begitu saja untuk benda yang merosakkan tubuh badan sendiri sedangkan ramai di luar sana terkapai kapai nencari sesuap nasi. Dengan menahan sebatang rokok saja anda boleh mengisi satu perut seorang fakir yang pahalanya membawa ke akhirat, InsyaAllah.

Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud:
 “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.


Fikir-fikirkanlah

Popular Posts