Thursday, November 20, 2014

Wednesday, November 12, 2014

Hijrah Rasulullah- Peranan Abdullah bin Abu Bakar dan 'Amir bin Fuhayrah


Rasulullah dan Abu Bakar berada di dalam gua Thur selama tiga malam. Abdullah bin Abu Bakar bermalam berdekatan kedudukan mereka berdua.

Kata Aisyah:" Abdullah adalah seorang anak yang mahir dan pintar Tatkala waktu sahur dia keluar dari sisi mereka berdua lalu berpagi- pagi bersama orang Quraisy di Mekah seolah-olah malam tadi dia tidur di Mekah. Di Mekah, dia mengintip-intip sebarang perbualan berkaitan perancangan terhadap Rasulullah saw lalu diingatnya betul- betul, kemudian berita ini disampaikannya kepada mereka berdua ketika hari telah jauh gelap. 

'Amir bin Fuhayrah, hamba Abu Bakar mengembala kambing dikawasan tersebut. Tatkala waktu Isyak,'Amir bin Fuhayrah menghalau kambing ternaknya ke tempat mereka bersembunyi lalu di situ dia membekalkan susu perahan kambingnya. Apabila hari telah jauh malam, maka dibawanya kambing- kambingnya pulang. Begitulah yang dilakukannya setiap malam dalam tempoh tiga malam tersebut." 

'Amir bin Fuhayrah akan membawa kambing- kambingnya mengikut jejak yang dilalui oleh Abdullah bin Abu Bakar apabila dia pergi ke Mekah supaya kesan jejak tapak kakinya akan hilang.  

Sumber: Sirah Nabawiyyah - Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri

Tuesday, November 4, 2014

Hijrah Rasulullah-Kisah Rasulullah saw dan Abu Bakar di Gua Thur

Setelah mereka sampai ke Gua Thur, Abu Bakar berkata:" Demi Allah, jangan engkau masuk ke dalamnya melainkan aku masuk terlebih dahulu. Kalau ada apa-apa bahaya, maka biar aku yang kena, asalkan jangan kamu."

Abu Bakar pun masuk dengan menguis-nguis kakinya. Didapatinya sebelahnya ada sebuah lubang lalu dikoyakkan kainnya dan ditutupi lubang itu. Kemudian didapati ada dua lubang lagi lalu ditekapkan dua kakinya ke lubang itu, kemudian dipanggilnya Rasulullah saw masuk. Rasulullah saw masuk , kemudiannya meletakkan kepalanya ke pangkuan Abu Bakar lalu tertidur.

Tiba- tiba kaki Abu Bakar disengat oleh binatang berbisa dari lubang tersebut. Namun ditahan kesakitannya tanpa bergerak kerana tidak mahu Rasulullah terjaga sehingga air matanya mengalir dan menitis di atas wajah Rasulullah saw. Lalu Rasulullah saw berkata:" Apa kena dengan kamu, hai Abu Bakar?" Jawabnya:" Aku disengat." Lalu Rasulullah saw meludah ke tempat sengatan itu lantas hilanglah kesakitan yang dirasainya.

Gua Thur ini tidaklah besar. Tinggi Gua lebih kurang 1.25 meter dengan panjang dan lebar sekitar 3.5 meter. Sewaktu persembunyian dalam Gua Thur, Abu Bakar al Siddiq r.a. bimbang jika ada dalam kalangan Quraisy akan menjumpai mereka pada ketika itu dan akan bertindak membunuh Rasulullah.

Dalam hadith riwayat Anas r.a. bahawasanya Abu Bakar al Siddiq menceritakan ," Aku bersama- sama Rasulullah saw di dalam gua lalu aku dapat melihat kaki pihak Musyrikin betul- betul berada di hadapan celah- celah lubang bertentangan dengan mataku. Aku lantas berbisik," Ya Rasulullah, jika salah seorang daripada mereka mengangkat kakinya atau melihat ke arah kakinya nescaya mereka akan dapat melihat kita.'

Lantas Baginda SAW bersabda yang bermaksud:' Wahai sahabatku, Abu Bakar. Apakah yang terlintas difikiranmu tentang perihal dua orang apabila Allah SWT merupakan pihak yang ketiga bersama mereka?'"

Begitulah sikap dua orang sahabat sejati, seorang cuba melindungi keselamatan sahabatnya dengan penuh kesungguhan. Manakala seorang lagi cuba cuba menenangkan sahabatnya yang gusar.Bagaimana dengan sikap kita terhadap sahabat sendiri?

Sumber: Sirah Nabawiyyah - Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri
               Bayu Kerinduan di Bumi Haramain- Ust Ahmad Husni Abd Rahman

Popular Posts