Monday, April 8, 2013

Syukurnya Dapat Bersolat 'Open Air'

Bersolat semasa pengembaraan biasanya mudah jika kita mengembara di negara sendiri atau di negara Islam kerana  biasanya surau dan masjid banyak didapati di sana. Namun jika kita mengembara di luar negara yang bukan Islam, kita hendaklah bersedia untuk solat di mana- mana sahaja sekiranya masjid atau Islamic Center tak sempat kita kunjungi atas alasan tertentu. 

Walaupun Islamic center semakin banyak di Amerika Syarikat, ada kalanya terdapat tempat- tempat yang dikunjungi tidak terdapat masjid atau ruang khas untuk solat. Keadaan ini ketara di tempat tempat peranginan terutama sekali kawasan pergunungan atau kawasan gurun. Almaklum tidak ramai pengusaha restoran makanan halal di tempat sebegini. Biasanya resoran halal di luar negara  menyediakan surau untuk pengusaha dan pekerjanya supaya mudah mereka menunaikan solat.

Namun semasa pengembaraan ke Amerika Syarikat pada tahun 2012, kami mengambil peluang ini untuk bersolat di tempat yang 'open air' sekali sekala. Salah satu tempat yang kami solat ialah di Sequioa Park, California. Sequoia Park ialah tempat dimana banyak pokok gergasi Sequoia yang tumbuh di kawasan pergunungan. Malah pokok yang terbesar di dunia yang digelar General Sherman juga terdapat di sini. 

Ketika kami sampai di sini, keadaan persekitaran masih bersalji. Kami memilih untuk bersolat di kawasan tempat letak kereta yang kurang salji dan tidak terdapat salji cair yang mengalir di situ supaya mudah kami meletakkan sejadah.  Air paip walaupun sangat sejuk namun ia tidak beku. Terketar- ketar juga kami mengambil wudhu di bilik air yang terdapat di sini. 

Aku sendiri yang mempunyai masalah untuk duduk tasyahud dan tahiyat (akibat  masalah tulang belakang) telah menggunakan bahagian belakang kereta untuk duduk semasa solat. Alhamdulillah,  tak sampai pun 20 minit pun kami gunakan untuk menunaikan solat jamak zuhur asar. Anak bongsuku begitu seronok solat dikelilingi salji. 

Udara dingin yang dikelilngi salji ciptaan Allah ini tiada bandingannya dengan udara sejuk yang keluar daripada pendingin hawa. Suasana hening dikelilingi pokok- pokok gergasi ini tiada bandingannya dengan suasana hening di dalam bangunan ciptaan manusia. Sesungguhnya alam semulajadi ciptaan Allah mempunyai kesan yang istimewa terhadap ketenangan jiwa dalam menghadap menyembah  Illahi.

"Sesungguhnya solat itu fardhu atas orang mukmin dengan kefardhuan yang berwaktu."Surah al Nisa':103

Alhamdulillah,  Syukur dan lega rasanya kerana kami sempat bersolat jamak zuhur asar. Motel seterus yang  hendak  kami tuju dianggarkan sampai hanya selepas hari gelap iaitu pada waktu isyak.

1 comment:

Popular Posts