Monday, July 22, 2019

3 Pertemuan di Carbondale Muslim Center

Hari kedua kami berada di Carbondale ialah hari Jumaat, penghulu segala hari. Biasanya bila hari Jumaat kami mengambil peluang untuk menunaikan solat Jumaat di masjid atau Islamic Center.
Carbondale Muslim Center hanya 10 minit perjalanan dari Southern Illinois University (SIU). Sangat mudah menjumpainya.
 
Tiba di masjid ini, kami dapati sudah ramai jemaah yang tiba. Masjid dua tingkat ini mempunyai ruang solat di bahagian atas. Bilik air dan bilik wudhu di bahagian bawah. Tempat solat kaum wanita di bahagian belakang di tingkat atas juga. Ramai juga wanita yang solat jumaat di sini. Tak dapat saya bayangkan betapa ramainya lagi jemaah bila pengajian semester di universiti bermula. 

Usai solat, seorang wanita menghampiri kami dan menanyakan samada kami orang Malaysia. Ooh rupanya masih ada orang Malaysia di Carbondale ini yang tidak balik bercuti ke Malaysia. Rupa-rupanya mereka sekeluarga. Kedua-dua Masita dan suaminya sedang belajar di peringkat Phd di SIU. Selepas bersembang panjang, Masita mengajak kami ke 'Bake Sale' di tingkat bawah masjid. Banyak juga makanan yang di jual di sini yg sesuai dijadikan juadah tengahari. Cara membelinya ialah dengan menggunakan tiket. Ramai para jemaah memilih untuk makan terus di sini memandangkan meja dan kerusi disediakan.
Di sini saya bersua pula dengan seorang 'senior' yang pernah belajar di sekolah yang sama  dengan saya satu ketika dahulu. 'Small world!'. Walaupun saya tidak mengenali beliau, sikap peramahnya menyebabkan saya dan suami mudah untuk bersembang dengannya. Rauzan(Awang) sudah lama menetap dan bekerja di negara ini. Sudah semestinya dia seronok berjumpa dengan rakan senegaranya. Khabarnya dia akan berpindah ke Chicago beberapa hari selepas itu.
Tak lama selepas itu, anak sulung saya sekeluarga tiba di masjid. Alhamdulillah Allah pertemukan kami setelah lebih 2 tahun mereka kembali ke negara ini. Itulah kali pertama juga kami bertemu Adam, cucu kedua kami. Oleh kerana sudah agak lewat, kami mengajak mereka merasa juadah yang dibeli dahulu sebelum ke tempat lain.
Tiga pertemuan yang di atur Allah. Mulanya kami  merancang untuk hanya solat Jumaat di situ. Namun Allah jua perancang terbaik sebab mentaqdirkan 3 pertemuan ini. Semuanya hanya dengan kehendaknya dan berlaku di rumahNya. Kami bertambah yakin dalam permusafiran ini sekiranya kita dekat dengan Allah, Allah akan tambahkan nikmatNya dengan tidak di sangka sangka.  Alhamdulillah.

Popular Posts