Kami berjalan menaiki boardwalk yang disediakan oleh pihak Yellowstone National Park untuk mencari sumber air sungai yang panas ini. Subhanallah! Bahagian atas ini rupa-rupanya beberapa tasik yang dikelilingi selut panas. Sungai yang mengalir ke bawah kelihatan berasal daripada sebuah kawah yang sangat besar!
Kata orang 'a picture is worth a thousand words'. Sekeping gambar boleh memberikan pelbagai tanggapan dan penceritaan . Namun sekeping gambar tak akan dapat menceritakan perasaan seseorang mengalaminya. Dalam konteks pengembaraan, biar seribu gambar yang dipaparkan tak akan sama dengan apa yang dinikmati semasa berada di satu-satu tempat yang istimewa.
Secanggih mana pun google street view yang membolehkan kita menikmati pemandangan secara dekat dan terperinci tentunya tidak sama apa yang kita rasai oleh 5 pancaindera anugerah Allah ini. Kehadiran kami di sini membolehkan kami menggunakan pancanindera yang dianugerahkan Allah utk menyaksikan pelbagai bentuk ciptaan Allah dan mendengar pelbagai aktiviti geothermal. Bahang mata air panas yang dihasilkan oleh bermacam-macam sumber kurang terasa walaupun berada betul-betul di hadapannya. Cuaca ketika itu sangat sejuk menusuk ke tulang.

Selut di sekeliling bawah board walk(jalan berpapan) sejauh 800 meter ini tampak agak gelap. Namun jangan tertipu dengan keadaan selut sebegini sebab melangkah ke dalamnya mungkin membawa maut. Selut ini adakalanya selut yang bergelegak dan tanahnya mungkin boleh mendap sangat dalam.
Grand Prismatic merupakan mata air panas yang ketiga terbesar di dunia Sukar hendak dipercayai di sebalik kepanasan sebegini wujudnya habitat mikroorganisma ciptaan Allah hidup di sini. Ahli sains mendapati wujudnya bakteria dan mikroorganisma lain yang hidup di kawasan air panas ini. Mikroorganisma ini membentuk habitat mereka yang dikenali sebagai 'bacterial mats'. Habitat ini sebenarnya seperti sebuah hutan kerdil (miniature), dimana ada yang tumbuh menegak seperti pokok dan ada yang hidup di bahagian bawahnya. Sungguh cantik kerana 'bacterial mats' ini terdiri daripada pelbagai warna. Sebenarnya warna kemerahan yang kami saksikan itu bukannya air tapi tempat tinggal mikroorganisma yang hidup di air panas.
"Wahai manusia ! Telah dibuat suatu perumpamaan, maka dengarkanlah! Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptanya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka tidak akan dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Sama lemahnya yang menyembah dan yang disembah. Mereka tidak mengagungkan Allah dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa."
Al Hajj: 73-74
Rujukan
1.https://en.m.wikipedia.org/wiki/Excelsior_Geyser
2. http://travel.nationalgeographic.com/travel/national-parks/yellowstone-national-park/#/gray-wolves-yellowstone-snow_92686_600x450.jpg
3. .http://www.yellowstone-notebook.com/excelsior.html