Wednesday, August 3, 2011

Betulkah Kita Masyarakat Yang Sukakan Kebersihan?

"Busuknya!" keluh anakku  sewaktu masuk ke dalam kawasan tandas salah sebuah tempat bersejarah di Perak. Kawasan ini merupakan tempat perlancongan yang agak besar kerana terdapat pelbagai tempat yang boleh dilawati dalam kawasan itu sendiri. Antaranya ialah beberapa buah rumah, sebuah muzium, masjid dan juga kedai cenderamata.


Seringkali bila kita pergi bercuti dalam negara, kita selalu berhadapan dengan keadaan sebegini. Masuk saja dalam kawasan 'kamar kecil' mulalah terbau sesuatu yang memang tidak menyenangkan.  Bukan semua tapi banyak juga tempat yang terpaksa aku hadapi kerana desakan panggilan tabii. Agak-agaknya sejauh  mana kesedaran rakyat Malaysia khususnya orang Melayu Islam kita ini yang peka tentang kebersihan lebih- lebih lagi untuk bersuci.

Pernah satu ketika dahulu. pihak kementerian penerangan melancarkan kempen tandas bersih. Mulanya nak ketawa juga kami meihat iklan itu di TV. Maklumlah mana pernah ada iklan tandas sebelum ini. Walaubagaimanapun iklan itu memang ada mesej yang berguna kepada semua pengguna dan pengendali tandas yakni berusaha membersihkan tandas dan selalu pam tandas sebelum keluar. Malangnya  kempen seterusnya berkenaan kebersihan tandas tidak di teruskan.



Aku pernah ke satu kawasan yang agak jauh dari bandar di Chiangmai sewaktu aku melancong ke sana. Ketika itu aku bersama keluargaku dalam perjalanan ke Chiangrai, satu bandar yang hampir dengan sempadan Thai, Myanmar dan Laos. Kami singgah sebentar di kawasan rehat ni bagi membolehkan pemandu berehat sebentar sementara kami ke tandas. Kawasan ini tiada kemudahan seperti RnR lebuhraya kita. Namun begitu sebaik saja kami melangkah masuk ke dalam kawasan bilik airnya, kami dapati ia sangat bersih. Semuanya tersusun atur. Tiada kelihatan kertas tisu tandas bertaburan dan baunya tidak hancing walaupun tiada pewangi .

Aku juga pernah ke sebuah kedai kopi lama terletak di kawasan yang agak sunyi di bandaraya Singapura. Oleh kerana tak tahan dengan perut yang  memulas, aku terpaksa singgah di sana. Mulanya aku mengagak sudah tentu tandasnya teruk. Maklumlah ini kedai kopi lama. Leganya hatiku sebaik saja  aku melangkah masuk ke bilik kecil apabila melihat ia sangat bersih. Kalah kawasan tandas tapak bersejarah yang aku lawati di Perak. Walaupun tandasnya tidak baru dan tidak mempunyai kemudahan lain, kebersihannya sangat dijaga.


Sebenarnya bersih atau tidak sesebuah tandas bergantung kepada kerjasama semua pihak. Pengendali-orang yang bertanggungjawab menguruskan tandas  dan juga kita sendiri sebagi pengguna tandas. Sekiranya di rumah kita sentiasa memastikan kebersihan tandas sendiri, kenapa tidak kita sebagai pengguna bersama-sama bantu menjaga kebersihan tandas yang kita gunakan samada di kawasan rehat, masjid mahupun di restoran. Fikir-fikirkanlah.



No comments:

Post a Comment

Popular Posts